•  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Di dalam buku Rich Dad Poor Dad turut  menekankan konsep aset dan liabiliti serta memaksimumkan penggunaan aset kepada mesin jana wang yang berkesan sehingga mendapatkan pendapatan pasif. Pendapatan pasif ini pula dijana tanpa pemilik aset tersebut berbuat apa-apa. Dengan ini, pemilik aset dapat bebas menjalankan kehidupan sendiri tanpa perlu risau mendapatkan wang kerana hidupnya telah ditaja oleh pendapatan dari aset yang menjana wang.

Dalam siri ini saya ingin berkongsi tentang bagaimana seseorang yang boleh kaya walaupun tidak dilahirkan dalam keluarga kaya. Rich kid, poor dad. Anak kaya, bapa miskin.

Tidak dapat dinafikan mempunyai keluarga yang kaya adalah satu kelebihan dalam membina kekayaan.

Namun sebenarnya banyak jutawan hebat tidak dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya. Kebanyakannya dari keluarga yang miskin atau sederhana. Tentunya ada rahsia yang menyebabkan mereka dapat mencapai kejayaan walaupun sebenarnya nasib tidak menyebelahi mereka pada awalnya.

 

Memahami nilai wang

Membesar dalam keluarga yang miskin menyebabkan anda memahami serta menghargai nilai duit. Untuk hidup, anda perlu wang, dan untuk mendapatkan wang, anda perlu bekerja atau berniaga. Jika terlalu banyak masa dan tenaga digunakan untuk mendapatkan wang, maka setiap wang hasil titik peluh lebih dihargai berbanding mereka yang mendapatkannya secara percuma atau senang.

 

Keinginan yang Tinggi

Disebabkan ada jurang yang besar di antara kehidupan susah dan kaya, mereka yang membesar dalam keadaan kekurangan pasti memiliki keinginan yang tinggi untuk merasai apa yang mereka tidak dapat rasa. Kanak-kanak yang tidak dapat makan di restoran mahal, mainan yang mahal dan mereka didedahkan dengan kawan-kawan di sekolah yang sentiasa cukup dan mempunyai kelengkapan yang mahal, pasti mewujudkan keinginan yang tinggi untuk melengkapkan jurang itu.

Hasilnya, mereka membina satu keinginan yang tinggi untuk mencapai dan memperbaiki kedudukan mereka.

Jurang yang besar ini penting kerana ia akan meningkatkan keazaman. Kita boleh lihat dalam perlumbaan, orang yang berada di belakang sedar akan jurang dan akan sentiasa merapatkan jurang dengan orang di hadapan. Orang yang berada di hadapan sekali walaupun dia mempunyai kelebihan, dia tidak boleh berasa selesa dan akan sentiasa memandang ke belakang. Dalam situasi ini, kebanyakan pelumba yang bagus tidak terburu buru ke hadapan, namun mengikuti dari belakang dengan jarak jurang yang dijaga.

Berusaha untuk mendapatkan sesuatu

Disebabkan keterbatasan sumber wang, seorang yang dilahirkan dalam keluarga susah perlu gigih berusaha untuk mendapatkan apa yang dihajati. Seorang kanak-kanak yang terlalu ingin dibelikan mainan tetapi ibu bapa tidak dapat memenuhinya, akan mencari jalan yang lain untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Sering kali mereka akan mencari duit dengan berniaga kecil kecilan, bekerja secara separuh masa dan sebagainya. Dengan hasil penat lelah inilah mereka belajar berusaha gigih dan inilah modal utama untuk menjadi orang kaya dan berjaya di masa akan datang.

 

RICH KID, RICH DAD

Bagaimana pula anda sebagai ibu bapa mahu memastikan anak anda lebih kaya daripada anda? Jika anda bekerja makan gaji, anda perlu pastikan anak anda lebih tinggi pencapaian dan jawatan dari anda. Jika anda ada Diploma, pastikan anak anda ada Ijazah dan seterusnya.

 

Jadilah RICH DAD dahulu

Kunci membina generasi yang kaya terletak pada bapanya. Jadi si bapa perlu menjadi seorang yang bijak menguruskan kewangan dan bijak mengembangkan wang. Si bapa perlu merintis satu bisnes yang mana akhirnya akan disambung menjadi empayar yang besar oleh generasi seterusnya.

Kita boleh lihat contoh empayar perniagaan yang besar dipunyai oleh keluarga Rothchild (bank), Rockefeller (minyak mentah), Toyota (Automotif), Ford (Automotif), Quandt ( BMW Group) dan banyak lagi contoh contoh yang lain.

 

Didik anak dengan prinsip

Sekaya atau semiskin mana pun anda, pastikan didikan anda dengan prinsip hidup yang betul. Pastikan anak anak mengerti nilai wang, mempunyai cita-cita, tabah dan berusaha. Sebagai contoh John Gardner berkata kepada anaknya; Jika anda mahu, pergilah dapatkannya. Noktah.  (If you want if, go get it. Period.)

 

POOR KID, RICH DAD

Akibat beberapa kesalahan fatal daripada ibu bapa dalam mendidik anak adalah memanjakan anak berlebihan dan tidak mengajar anak cara mengurus kehidupan, kewangan, dan bisnes dengan betul. Oleh sebab itu walaupun keluarga kaya, namun yang mewarisi kekayaan itu tidak berkualiti, maka harta akan habis juga akhirnya. Maka jadilah fenomena, anak miskin, bapa kaya.

Anda mahu situasi yang mana? Rich Kid Poor Dad, Rich Kid, Poor Kid, atau Poor Kid Rich Dad? Anda tentukan.

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: