• 19
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    19
    Shares

SECARA UMUMNYA PUASA MEREHATKAN SALURAN PENCERNAAN (USUS), ENZIM DAN HORMON YANG BIASANYA BEKERJA UNTUK MENCERNA MAKANAN SECARA TERUS-MENERUS SELAMA KIRA-KIRA 18 JAM, KECUALI TIDUR. APABILA BERPUASA, ORGAN PENTING ITU DAPAT BEREHAT SELAMA LEBIH KURANG 14 JAM. DALAM JANGKA MASA INI TIADA MAKANAN ATAU MINUMAN YANG MASUK KE DALAM SISTEM PENCERNAAN.

14 JAM BUKANLAH TEMPOH LAMA

Gastrik tidak bermakna tidak boleh berpuasa. Malah, berpuasa (atau mengosongkan perut) adalah baik untuk kesihatan secara keseluruhan. Memang orang yang ada gastrik tidak ‘tahan’ dengan keadaan perut kosong, tetapi mengosongkan perut selama 14 jam bukanlah tempoh yang lama.

Satu budaya yang selalu disalah anggap oleh pesakit gastrik adalah pengambilan ubat tahan sakit boleh mengurangkan gastrik. Sesetengah ubat tahan sakit mempunyai satu bahan kimia yang boleh mengurangkan penghasilan prostaglandin; seterusnya menyebabkan lapisan perut mudah terhakis oleh ‘asid gastrik’.

“Prostaglandin adalah sejenis bahan kimia seakan-akan hormon yang bertanggungjawab melindungi lapisan perut daripada tindakan hakisan asid gastrik (asid yang dirembeskan oleh sel di dalam perut). Apa yang terjadi kepada pesakit gastritis adalah hasil ketidakseimbangan dua faktor iaitu yang melindungi dan faktor agresif yang menyebabkan keradangan pada lapisan permukaan perut.

Selain ubat tahan sakit, ubatan tradisional juga mempunyai komponen bahan kimia yang boleh menyebabkan penghasilan prostaglandin di perut terbantut. Pengambilan kedua-dua jenis ubatan ini boleh menyebabkan gastrik bertambah teruk.

Gastrik disebabkan bakteria pula boleh diubati dengan pengambilan antibiotik. Namun ada pesakit tidak menghabiskan ubat dan biasanya berhenti selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.

 

MAKAN SECARA SIHAT

Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut antaranya sakit perut, pada bahagian atas abdomen atau pedih ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya dan hilang selera makan. Perkara paling penting yang sering diabaikan adalah pengambilan makanan yang tidak teratur dan seimbang.

“Cara pemakanan yang tidak teratur sering kali menyebabkan gastrik menyerang. Mereka yang berpuasa disarankan mengikut amalan pemakanan yang sudah ditetapkan seperti melambatkan sahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.

“Pastikan berbuka puasa dalam kuantiti sederhana dan menjarakkan pengambilan pemakanan. Contohnya berbuka dengan kurma dan segelas air seterusnya solat Maghrib dahulu. Kemudian makan nasi separuh pinggan, ikan stim berserta sayuran dan buah-buahan. Selesai terawih, makan buah-buahan, oat atau roti,” katanya yang menggalakkan kita makan makanan yang dipanggang berbanding digoreng.

Minum air kosong sekurang-kurangnya dua liter sepanjang malam pada Ramadan, dua gelas susu atau jus buah-buahan yang tidak berasid contohnya pisang sewaktu sahur. Banyakkan makanan mengandungi karbohidrat kompleks seperti beras perang, kekacang, badam dan oat. Elakkan berbuka dengan kuantiti makanan yang banyak dan tidur selepas berbuka puasa.

 

MAKANAN YANG PERLU DIELAKKAN SEPANJANG RAMADAN

  1. Elakkan makan makanan yang mendatangkan kerengsaan pada perut seperti makanan pedas, berempah, berminyak, bergoreng dan berlemak.
  2. Makanan di dalam tin – kerana kandungan asid yang tinggi
  3. Minuman bergas dan beralkohol
  4. Makanan yang mempunyai asid tinggi – contohnya limau, oren, tomato
  5. Berhenti merokok. Asap rokok juga memberi kesan kepada lapisan pelindung dalam perut. Merokok sebenarnya menggalakkan penghasilan asid perut, melambatkan proses penyembuhan luka dan meningkatkan risiko ulser bertukar menjadi kanser.
  6. Minuman yang tinggi kandungan kafein seperti teh, kopi

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: