“Diet adalah Bedah Plastik Terbaik”_ IZZAT ZIN

Masyarakat sering menjadikan topik berat badan sebagai isu terpenting dalam kehidupan. Walau apa pun tanggapan kita terhadap bentuk tubuh yang kurus dan fit itu nampak cantik dan sihat, ia tidak bermakna orang yang berbadan ‘besar’ itu menjelekkan pandangan. Cuba singkirkan fikiran negatif dan hapuskan sikap stereotype terhadap orang lain kerana setiap manusia punya cara tersendiri untuk tampil cantik, sihat dan hebat. Belajar melihat kejayaan orang lain yang berjaya untuk kurus tanpa sebarang produk kurus, agar mampu menginjak keyakinan diri ke arah lebih baik.

Suatu ketika Izzat Zin pernah mencapai berat badan mencecah sehingga 140 kg, seluar size 46 dia sendiri mengakui betapa sukarnya untuk dia menjalani kehidupan ketika itu. Berfikir panjang mengenang nasib sekiranya dia tidak mahu berubah juga bertindak, mungkin dia kekal seperti itu tanpa ada yang menghiraukan kewujudannya. Dia juga mahu menerima kemesraan serta layanan istimewa seperti mereka yang memiliki raut wajah yang tampan, mahu menyarungkan pakaian indah dari label berjenama serta mendapat pekerjaan yang baik seperti orang-orang lain yang menganggap penampilan fizikal sebagai tunjang utama untuk berjaya.

Apa salahnya menjadi orang yang gemuk? “Ya, saya dahulu juga sering menganggap perkara itu normal, namun masyarakat memandang saiz fizikal yang besar ini sebagai satu isu yang sangat besar bagi mereka serta meletakkan yang gemuk sebagai entiti yang lambat, malas, busuk dan tidak boleh melakukan lebih dari luar keupayaan, lebih menyakitkan bila ada yang melabelkan individu bersaiz besar ini sebagai bahan jenaka yang tiada perasaan. Saya menerima setiap kata-kata orang dengan senyuman, sehingga satu ketika ada sahabat yang berkata, sampai bila saya hendak jadi begini, gemuk, berkulit gelap dan nampak busuk. Kata-kata itu cukup menangkap ke dalam hati sanubari, sangat menusuk dan sedikit mengguris. Itu semua ada benarnya dan dari situlah saya tekad mahu berubah.

Dua tahun berdiet

Saya mula menyusun rencana diet, ketika itu saya berusia 24 tahun dan target pertama saya adalah untuk turun sehingga 100 kg. Apa yang saya lakukan? Saya elak dari mengambil nasi, roti dan segala jenis karbohidrat seperti mee kuning dan mee hun. Saya menikmati oat dan buah-buahan sahaja untuk tempoh itu. Hanya berdiet dan tiada sebarang rutin senaman saya lakukan, hasilnya memang kurus, tetapi kurus yang tidak sihat. Sejak itu barulah saya mula melakukan senaman dan mengatur kembali sistem pengambilan diet agar lebih seimbang. Saya mula mengamalkan pengambilan protein dalam setiap hidangan harian, bersenam secara kerap bagi mendapatkan bentuk tubuh yang lebih fit.

Cabaran

Ketika pertama kali berdiet, cabaran paling sukar untuk dilalui adalah berhadapan dengan orang di sekeliling. Pada mulanya mereka kurang memberi sokongan dan menganggap apa yang saya lakukan sekadar angan-angan kosong, setelah melihat hasilnya barulah mereka memberi lebih sokongan dan dorongan. Bukan mudah untuk mengawal nafsu makan, jadi saya harus disiplin setiap hari agar tidak tergelincir daripada matlamat. Selain itu, cabaran untuk mengekalkan bentuk tubuh dan menjadi lebih baik adalah lebih sukar, jadi tetapkan matlamat dan jangan sesekali kembali semula ke sikap lalu. Ubah segala-galanya dan jadilah orang baru yang lebih positif dan sihat.

Motivasi

Saya pernah kembali gemuk semula, ketika itu saya terlalu selesa sehingga alpa dengan diet dan rutin senaman yang saya amalkan selama ini. Namun pengalaman itu mengajar saya erti diet yang seimbang dan memahami tubuh sebaiknya. Apa menu yang boleh menyebabkan badan mudah naik dan sebaliknya, kini berat saya sekitar 82 kg dan sedang berusaha untuk menjadi lebih fit dan sihat. Banyak faktor yang memotivasikan untuk terus kekal sihat, antaranya melihat orang-orang di bawah jagaan saya mendapat bentuk tubuh seperti yang mereka idamkan. Saya tidak boleh gemuk kerana saya sendiri mengajar dan memberi ilmu mengenai kesihatan, di samping perlu kekal aktif dan mengatur pemakanan yang lebih sihat. Saya sering mengingatkan pelajar saya bahawa kita memang perlu hidup secara sihat, tetapi janganlah sehingga mengabaikan corak hidup yang ceria dan membebankan. Diet secara sederhana dan jadikan diet sebagai satu rejim yang menggembirakan bukan menyiksakan.

Perubahan

Sejak mengalami perubahan fizikal ini, rezeki datang melimpah ruah, selain kesihatan lebih terpelihara. Keyakinan diri juga semakin meningkat dan corak komunikasi saya semakin diterima. Selain itu, badan menjadi lebih ringan dan sangat aktif dalam beriadah,  jika dahulu saya seorang yang sangat malas untuk bersenam, kini aktiviti seperti mendaki gunung dan marathon adalah rutin senaman yang kerap kali saya lakukan.

Menu yang saya amalkan

Kini, menu diet yang saya amalkan adalah pengambilan protein dalam setiap hidangan. Selain itu saya juga akan minum minuman protein setiap kali bangun tidur kerana ia bagi memulihkan kembali struktur muscle kita setiap pagi. Tengah hari pula saya akan mengambil sayuran bersama ayam dan malam saya lebih kepada siakap stim ataupun sup ayam kurang minyak dan garam. Saya juga mengambil supplement seperti fat burner, vitamin c, magnesium, teh hijau dan black coffee untuk meningkatkan lagi tahap metabolisme dalam badan.

 

Tip kurus dan sihat

1.Paling penting, 80% kurus adalah dari penjagaan makanan, manakala 20% senaman akan membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan anda.

2.Rajinkan diri untuk membaca info-info berkenaan kesihatan dan diet yang betul. Jika rasa hampir mengalah, cepat-cepat baca kisah kejayaan orang yang boleh lakukan.

3.Jangan terlalu memaksa badan untuk cepat kurus. Ini akan menyebabkan badan cepat berasa bosan dan stres. Bila stres proses penurunan berat akan terganggu.

4.Lupakan pengambilan nasi, kerana jika disiplin paling mudah ini pun sukar untuk anda amalkan, langkah seterusnya akan menjadi lebih susah kerana nasi adalah karbohidrat yang paling mudah kita dapatkan setiap hari, jadi elakkan dari mengambilnya terus.

5.Baca kisah kejayaan orang yang telah berjaya.

6.Banyakkan senaman kardio yang diselang dengan latihan berat bagi mengelakkan badan menjadi terlalu kurus.

  1. Jangan berfikir negatif; “Everybody have their own struggles”

 

 

Tugas sebagai jurulatih

Kini saya bertugas sebagai seorang jurulatih Zumba juga jurulatih kecergasan di The Bossters Johor Baharu. Di sana saya mengajar mereka untuk berdiet dan bersenam dengan cara yang betul. Akan datang saya akan mewujudkan satu program sendiri iaitu Battle Body Project Malaysia juga Fitness Tour yang mengetengahkan perihal diet dan teknik senaman di rumah yang harus dipraktikkan setiap di antara kita. Saya mahu orang di luar sana jadikan saya sebagai idola, bagaimana saya boleh kurus dan turunkan berat badan, begitu juga anda.

Nasihat

Diet, diet diet dan bersenam untuk hidup yang lebih sihat, jangan terlalu obses sehingga tidak mahu makan. Amalkan diet mengikut piramid makanan yang seimbang serta lakukan senaman. Untuk permulaan, tetapkan niat dan terus lakukan, jika tiada langkah mula mula, ia akan kekal sebagai angan-angan selamanya!

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: