• 170
    Shares

“The best time to start a business is 7 years ago. The second best time in now! Kata-kata inilah yang sering dia ungkapkan tatkala pertama kali kami bersua muka. Cukup tinggi motivasi, dikelilingi pula pejuang spiritual juga usahawan penuh ilmu sepertinya membuatkan sesiapa sahaja akan teruja untuk mendekati dan mengenali individu berkarisma ini. Merendah diri, Jamaluddin Bahari atau lebih dikenali sebagai Sifu Jamal, sangat optimis dalam usahanya memperluaskan perkongsian mengenai pemasaran secara online juga memperjuangkan peningkatan taraf hidup usahawan yang benar-benar fokus untuk berjaya.

FOKUS

“Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ apabila anda melabelkan diri anda sebagai seorang usahawan, perkara utama yang perlu anda terapkan ialah menjadi fokus. Faham apa produk anda, siapa lapangan pelanggan anda dan tidak perlu terlalu mengikut apa yang orang lain lakukan. Kenali diri anda terlebih dahulu dan buatlah perniagaan yang anda benar-benar minat dan boleh mendatangkan keuntungan.

Dalam bisnes internet, pelbagai peluang akan muncul dan menjanjikan pulangan yang besar sekaligus membuatkan anda kabur untuk memilih. Apabila melihat orang menjual tudung, anda pun mahu menjual tudung, orang membuka restoran, anda pun turut mahu membuka restoran. Apa yang terjadi, bila kurangnya pengalaman juga ilmu membuatkan perniagaan tadi lingkup disebabkan persaingan yang semakin sengit.”

JANGAN PUTUS ASA

“Saya juga sering didatangi mereka yang gagal dalam berniaga dan mereka mahukan suatu anjakan baru apabila masuk ke seminar saya, namun apa yang mendukacitakan setelah beberapa kali bersama mencari ilmu, mereka masih tidak menjumpai jalan keluar dan menyalahkan kami. Sikap putus asa seperti ini juga adalah virus yang harus usahawan elakkan. Mudah mengalah adalah pembunuh nombor satu kejayaan. Ada juga yang menganggap ilmu yang kami sampaikan di SifuFBads terlalu teknikal dan menyukarkan mereka.

Anda tidak akan gagal selagi tidak berhenti mencuba, buat sehingga jadi! Jika masih juga gagal, anggap anda masih ada peluang selagi punya keyakinan dan anda perlu tahu apa kelemahan yang harus diatasi. Apa strategi yang perlu anda lakukan dan cari jalan keluar. Selain itu sasaran anda juga harus relevan dan bersesuaian dengan kredibiliti juga perniagaan anda.”

JANGAN LETAK SASARAN TERLALU TINGGI

“Jangan letakkan sasaran yang terlalu tinggi kelak anda yang akan berasa cepat mengalah. Buat secara berperingkat agar ianya nampak mudah untuk dicapai. Mendapatkan semangat selepas terasa diri ini tewas juga saya galakkan anda dengan membaca semula kisah-kisah mereka yang berjaya. Fahami resepi kejayaan dan  jadikan mereka sebagai inspirasi untuk memajukan perniagaan.

“Antara tokoh hebat yang telah berkolaborasi dengan kami ialah Prof Muhaya, Datuk Hussamuddin Yaacub (Pengarah Urusan Karangkraf), dan juga Dr Ary Ginanjar (pengasas ESQ). Terbaru, Datuk Seri Vida turut mendapatkan konsultasi dan latihan dari SifuFBads. Mereka adalah individu berpengaruh yang punya empayar gergasi yang harus anda semua contohi. Tidak sekalipun gentar dan mengalah walau dilanda masalah, putus asa tiada dalam kamus hidup mereka.”

KONGSI ILMU

“Saya seronok berkongsi ilmu ini, melihat kejayaan demi kejayaan, saya tidak mahukan duit mereka, sebaliknya kepuasan itu yang saya dambakan.  Saya gembira apabila mengetahui ada peserta yang mampu menjana pendapatan lima kali ganda. Ada juga yang sudah hampir gagal tetapi perniagaan meningkat semula apabila menggunakan pengiklanan di laman sosial. Ingatlah rezeki itu milik Allah, kita tidak boleh menyangkal mahupun mempersoalkan, kita hambanya perlu sentiasa berusaha dan terus berikhtiar untuk terus berjaya.”

 

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: