• 5
    Shares

Mohd Shahir Abdul Rahim mengakui dirinya dulu seberat 113 kilogram.

Mengimbau kembali pengalaman sepuluh tahun lalu, anak kedua dari lima orang adik-beradik ini mengakui boleh menghabiskan 24 biji donat seorang diri. Mungkin kerana ketika itu dia masih seorang remaja, maka berat badan bukanlah faktor penghalang buat dirinya untuk tampil di khalayak.

Meskipun, ada kalanya pandangan kurang menyenangkan dari masyarakat sekeliling, namun tidak pernah sekalipun Shahir mempedulikannya. Sehinggalah pada tahun akhir pengajian di Universiti Malaya (UM), perasaan ingin berubah mula terbit di hatinya hingga mendorong untuk menurunkan berat badan.

“Sebenarnya banyak juga faktor yang mendorong transformasi. Tapi, faktor paling utama mestilah sebab konvo. Saya nak kelihatan segak dan kemas seperti orang lain. Lebih-lebih lagi semasa mengambil gambar mengenakan jubah konvo bersama segulung ijazah. Dan juga sebagai persediaan rapi sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

 

 ‘PANTANG’ NASI SETAHUN

“Pada awalnya, agak susah juga untuk berdiet. Dari seorang yang suka makan, saya perlu ubah dengan mengehadkan pengambilan makanan. Saya mula ‘set gol’ untuk turun dua kilogram dalam masa sebulan. Namun, jika turun lebih dari itu saya gembira. Hasilnya dalam tempoh empat bulan berat badan saya menurun sebanyak lapan kilogram. Satu pencapaian yang membanggakan.

“Daripada segi pemakanan pula saya makan apa sahaja kecuali nasi. Saya ‘pantang’ nasi selama satu tahun. Pada waktu pagi, saya bersarapan dengan roti sebelum ke kuliah. Tengah hari pula, saya makan lauk sahaja asalkan bukan yang bergoreng. Pada waktu malam, saya hanya mengambil makanan berasaskan sup dan sebelum tidur saya mengamalkan minum secawan teh hijau untuk penghadaman.

Mengelak makanan tertentu atau mengurangkan sukatan pengambilan makanan selalunya kurang berkesan jika tidak disusuli dengan aktiviti fizikal seperti bersenam. Bagi menjayakan misi berkenaan, Shahir turut melakukan senaman sekurang-kurangnya sekali sehari untuk mengekalkan momentum aktif dan mengelakkan kemalasan di kemudian hari.

“Untuk mencapai target yang tidak menjerat badan, saya menyeimbangkan pengambilan makanan dengan senaman. Saya lakukan senaman dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang selama satu jam. Namun apabila mula sibuk dengan urusan, saya hanya melakukannya sekali sehari pada waktu petang sahaja. Atau jika terlalu sibuk memadai dengan tiga kali seminggu.

Kesungguhan yang dipamerkan jejaka Batu Pahat, Johor ini tidak hanya terhenti setakat itu. Baginya, setiap usaha yang dilakukan pasti akan berjaya jika dilakukan secara berdisiplin dan berhemah. Tanpa kecekalan yang tinggi, siapa pun akan terkandas di tengah jalan.

SIMPAN BAJU SAIZ M

Mengulas lanjut, jejaka 30 tahun ini mengakui turut berasa putus asa dan tidak yakin dengan kejayaannya. Namun, halangan itu dihadapi dengan meletakkan satu sasaran yang jelas.

“Mula-mula dulu timbul juga rasa putus asa. Rasa lapar membuak-buak. Terliur lihat orang lain makan dan banyak lagi halangan-halangan lain. Namun, saya yakinkan diri dan ingat kembali pakaian-pakaian yang saya cuba dalam fitting room setiap kali ke pusat membeli-belah,” katanya sambil ketawa.

“Biasanya, saya akan cuba baju bersaiz M dan membelinya jika berkenan. Saya akan simpan di dalam almari dan melihatnya semula apabila rasa give up. Itu antara penyumbang semangat untuk kekalkan disiplin. Selain itu, saya juga mencari ikon untuk dijadikan contoh pembakar semangat.

“Namun, semangat terbesar ialah adanya dua orang rakan yang turut serta dalam ‘cabaran’ ini. Kami sama-sama bersaing merebut berat badan ideal.

Walaupun sibuk bekerja, namun Shahir yang kini memiliki berat badan 75 kilogram masih meneruskan gaya hidup aktif sebagai usaha mengekalkan bentuk badannya.

“Setelah melaluinya sendiri, baru saya tahu untuk menurunkan berat badan tidaklah susah. Namun, untuk mengekalkan berat badan ideal itu yang susah. Bagi yang memiliki tahap metabolism mudah gemuk dan mudah kurus ini penjagaan makanan amat dititikberatkan.

“Sehingga ke hari ini, saya masih mengamalkan pengambilan teh hijau sebelum tidur dan hanya mengambil nasi dua kali seminggu.

“Selain berjaya mendapat berat badan ideal, apa yang paling membanggakan ialah adik lelaki saya turut mengikut jejak langkah setelah melihat kejayaan saya,” ujar Shahir akhiri perbualan.

Temubual Bersama Wartawan  Fadhlin Ismail

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: