• 40
    Shares

Ekapol Chantawong yang juga merupakan jurulatih dari pasukan bola sepak “Mu Pa” akhirnya keluar dari kompleks gua Tham Luang malam tadi setelah terperangkap selama 17 hari.

Jurulatih yang berusia 25 tahun itu bukan sahaja menjadi jurulatih bola sepak bagi budak-budak mangsa tersebut, tetapi juga sepanjang mengharung kemelut lebih dua minggu itu, turut menjadi pelindung dan tempat bergantung harap ketika mereka berjuang untuk terus hidup dalam gua yang penuh bahaya itu.

Orang terakhir yang keluar dari gua

Sebagai orang terakhir keluar dari gua itu hari ini (semalam), “Ekk” yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya sejak kecil lagi dan tinggal dengan ibu saudaranya, tetap menunaikan janji kepada keluarga budak-budak itu untuk menjaga anak-anak mereka sepanjang berdepan bahaya dalam gua bawah tanah itu.

“Saya berjanji akan menjaga budak-budak itu sebaik mungkin. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala sokongan yang diberi,” tulis Ekk dalam sepucuk surat yang begitu menyentuh perasaan, sembilan hari selepas mereka ditemui juruselam British sedang duduk di sebuah tubir disebut “Nerm Nom Sao” dalam gua berkenaan.

Surat Minta Maaf

Surat yang juga ditulis oleh setiap seorang daripada budak-budak itu berusia antara 11 dan 15 tahun telah diserahkan kepada ibu bapa masing-masing oleh juruselam dari unit SEAL Royal Thai Navy. Dalam suratnya, Ekk yang pernah menjadi sami Buddha sebelumnya, turut meminta maaf kepada ibu bapa budak-budak itu, kerana berasa bertanggungjawab membawa anak-anak mereka mengharungi bahaya dalam trip yang tidak dirancang ke dalam gua yang dilanda banjir itu.

Menurut laporan media, dia membawa budak-budak itu ke gua selepas latihan bola sepak, tanpa menyedari hujan lebih telah membanjiri sebahagian daripada gua itu.

Wira Sebenar

Namun, ibu bapa berkenaan malah majoriti masyarakat Thai enggan meletakkan kesalahan ke atas jurulatih itu, sebaliknya menyifatkan Ekk sebagai wira sebenar hingga budak-budak itu berjaya dibawa keluar hidup-hidup dari gua berkenaan.

Ekk mengajar pemain-pemain bola sepak itu cara melakukan meditasi sebagai jalan untuk menenangkan jiwa sepanjang terperangkap di dalam gua.

“Saya tahu dia seorang yang baik,” kata Kum-aey Promthep, nenek kepada salah seorang budak-budak itu kepada media tempatan.

Keluarga lain budak-budak itu menyokong pandangan Kum-aey.

Timbalan pengarah dari kementerian keadilan Thawatchai Thaikieaw disebut oleh media tempatan sebagai berkata beliau bimbang jurulatih itu akan ditekan kemurungan sebaik keluar dari gua.

“Saya khuatir dia akan menyalahkan dirinya seorang. Ini boleh menyebabkan kekecewaan pada dirinya,” kata beliau.

Seorang pegawai polis di Balai Polis Mae Sai yang berkuasa ke atas kawasan gua Tham Luang dilaporkan berkata pihaknya sedang mempertimbang sama ada hendak mengenakan dakwaan terhadap jurulatih itu kerana membawa budak-budak itu ke dalam gua.

Apa pun bersyukur kerana kesemua mangsa dapat dikeluarkan daripada gua dengan selamat walaupun terperangkap selama 17 hari di dalam gua itu.

Sumber : Bernama

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: