OPTIMIS, ITU YANG PENULIS LIHAT PADA SOSOK TINGGI LAMPAI INI. SELALU TERSENYUM DAN RENDAH DIRI, ANAK MUDA INI PUNYA IMPIAN DAN VISI BESAR BUAT SUKAN SQUASH TERUS KEKAL RELEVAN, BAIK PADA PERINGKAT NASIONAL, WAIMA PERINGKAT OLIMPIK. BAGI SANJAY, SQUASH BUKAN SEKADAR SUKAN, IA SEBUAH PENGHIDUPAN.

Permulaan

Saya cintakan sukan ini sejak kali pertama saya menghayun raket. Saya masih ingat, ketika itu saya hanya berusia 10 tahun. Ia bagai satu perasaan yang tak tergambar. Ya, saya selesa dengan sukan ini berbanding sukan-sukan lain di arena sana.

Pencapaian

Memenangi dua pingat emas Sukan SEA tahun lepas di Singapura. Saya juga memenangi dua pingat emas SUKMA mewakili Sarawak pada 2012 dan 2014, buat dua kali kejohanan berturut-turut. Selain itu, saya juga mewakili Malaysia menerusi Men’s World Team Squash Championship. Sekarang saya merupakan pemain Squash lelaki nombor tiga negara.

 

Perkembangan

Buat masa ini, saya tidak bermain sepenuh masa seperti sebelumnya. Ini kerana, saya sedang menjalani pengajian Pengurusan Perniagaan untuk tahun kedua di Universiti Malaya. Saya sedar bahawa saya perlu seimbangkan sukan dengan pelajaran. Pelajaran itu penting bukan sahaja sebagai bekalan hidup, malah sebagai bekalan saat saya tidak lagi bergelar seorang atlet kelak. Maksud saya, suatu hari nanti saya akan bersara, saya perlu persiapkan diri dengan ilmu. Sekarang pun, saya sedang menjalani peringkat kedua kursus kejurulatihan. Saya berhasrat menjadi jurulatih bila tiba waktunya nanti.

Olimpic Dreams

Squash merupakan satu-satunya sukan yang kamu boleh bermain bola secara seorang diri. Bola yang dihayun raket, akan kembali semula kepada si penghayun. Boleh saya katakan, sukan ini unik. Namun sayang, majoriti orang tidak tahu apa itu sebenarnya sukan Squash. Mereka hanya mengenali Datuk Nicol Ann David tanpa mereka mengetahui sedikit pun hal sukan ini. Oleh itu, sukar buat kami menangkap mata dan minat penonton berskala besar. Ini juga merupakan salah satu punca utama kenapa sukan ini tidak dapat menembusi Sukan Olimpik. Kurang penajaan dan sokongan dari organisasi juga di antara punca sukan ini masih di posisi statik.

Idola

Amr Shabana dari Mesir. Dia merupakan bekas pemain Squash lelaki nombor satu dunia. Dia juga pernah merangkul empat kali Kejohanan Squash Dunia. Kini dia sudah bersara dari arena Squash. Saya sangat mengagumi dia. Lagi pula, dia juga bermain Squash menggunakan tangan kiri, sama seperti saya. Ramai orang berkata orang Asia tidak mampu untuk bermain sukan ini, tetapi dia buktikan pada mereka semua, mereka salah. Dari sudut pengaruh pula, ayah lah penyumbangnya. Sedari kecil, saya melihat dia bermain Squash mewakili negeri Sabah.

Proud and honours

Saya merupakan anak jati Miri, Sarawak. I left home when I was 14 years old. Saya membesar di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan berlatih di Kompleks Sukan Negara sehingga sekarang. Tahun lalu, saya menetap di England selama hampir lima bulan. I live on my own. Segala perbelanjaan ditanggung sendiri. Ia sememangnya momen sukar dalam hidup saya. Tanpa sebarang sokongan, saya perlu belajar jaga diri untuk berlatih dan memburu pengetahuan di bumi asing. Jauh dari keluarga, saya gadaikan banyak perkara, terutama masa muda saya ini, demi sukan Squash.

Ada orang pernah berkata pada saya bahawa saya tidak patut menceburkan diri atas sukan ini. Ia tak menguntungkan dan tidak akan membawa saya ke mana-mana dalam kehidupan. Ekoran ini, saya harus kuat berlatih dan juga harus kuat belajar bagi membuktikan pada mulut-mulut tadi, apa yang mereka katakan tidak benar sama sekali. Saya akan ubah pemikiran dangkal mereka.

Harapan

Saya juga berharap sukan Squash ini layak dipertandingkan di peringkat Olimpik. Supaya Squash dikenali dan diakui bukan sahaja oleh jawatankuasa sukan Olimpik, malah diakui dan disenangi oleh hati rakyat Malaysia. Datuk Nicol Ann David sudah bersusah payah menaikkan taraf sukan ini dan membawa nama negara ke persada dunia. Kita sebagai rakyat, paling kurang, hargai dan kenali lah sukan Squash demi Malaysia.

Akhir kata, jujur saya kata, tak semua orang memandang sukan sebagai masa depan mereka. Ini realiti masyarakat kita. Namun, saya percaya, dengan apa yang saya tempuhi selama saya membesar bersama sukan, saya boleh katakan, sukan membawa saya ke tahap-tahap yang tinggi dalam kehidupan. Tahap yang tak pernah pun saya bayangkan. Asal kamu punya mimpi dan visi. Terus bermimpi kerana suatu hari nanti ia akan menjadi kenyataan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: