Tongkat Ali merupakan sejenis tumbuhan herba yang telah digunakan sejak berzaman sebagai makanan kesihatan. Ia turut dikenali sebagai longjack atau nama saintifik Eurycoma longifolia. Selain itu, orang tempatan juga menggelarnya Pasak Bumi atau Tung Saw.

Tumbuhan ini banyak ditemui di kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura dan Indonesia. Tongkat Ali dikenali dengan potensinya merawat masalah seksual khususnya dalam kalangan lelaki.

Ingin tahu apa khasiat Tongkat Ali? Baca selanjutnya.

1. Merangsang kadar testosteron

Testosteron adalah hormon utama bagi lelaki. Ia mempunyai banyak fungsi termasuk keinginan seksual (libido), karakter kelelakian, pembesaran otot dan kesihatan tulang.

Semakin berumur, hormon ini akan berkurang. Keadaan ini tidak jauh beza daripada menopause dalam kalangan wanita, atau ia juga disebut sebagai andropause bagi lelaki.

Tongkat Ali terbukti mampu meningkatkan kadar testosteron. Satu kajian di Malaysia pada tahun 2012 melibatkan 76 orang lelaki yang hanya mempunyai 35% daripada kadar normal testosteron. Selepas sebulan mengambil herba ini, kadar hormon meningkat sehingga 90%.

2. Menambah kesuburan lelaki

Selain meningkatkan hormon testosteron, ia juga menambah kualiti sperma yang membantu dalam kesuburan lelaki.

Satu kajian pada tahun 2010 menunjukkan perubahan dalam kualiti sperma pada 75 orang lelaki yang mengambil 200 mg Tongkat Ali setiap hari selama 3 bulan. Tambahan pula, 15% daripadanya melaporkan kehamilan.

3. Meningkatkan keinginan seksual (libido)

Tumbuhan ini memang sangat terkenal dengan fungsi ini. Malah, ada kajian pada tahun 2003 ke atas tikus tua yang diberikan Tongkat Ali selama 10 hari. Tikus yang menerima ekstrak herba ini menunjukkan peningkatan yang signifikan pada aktiviti seksual.

Tiada kajian saintifik berkenaan khasiat ini terhadap manusia. Namun, dapatan daripada pengguna banyak melaporkan peningkatan libido, ereksi lebih lama, ejakulasi lebih kuat dan hubungan seksual yang lebih baik secara amnya.

4. Kesihatan tulang

Seperti hormon estrogen pada wanita, kekurangan testosteron juga boleh menyebabkan keadaan tulang rapuh yang disebut sebagai osteoporosis. Memandangkan Tongkat Ali merangsang kadar hormon testosteron, ia secara tidak langsung membantu mengekalkan kesihatan tulang.

5. Memperbaiki nisbah otot dan lemak

Ia adalah pilihan yang baik untuk mereka yang ingin membina otot. Namun, khasiatnya masih boleh dinikmati tanpa menjadi atlet sepenuh masa.

Tongkat Ali membantu mengurangkan lemak dan meningkatkan berat otot (lean body mass). Ini telah dibuktikan oleh satu kajian di Malaysia pada tahun 2002 melibatkan 14 orang lelaki. 7 orang diberikan 100 mg ekstrak Tongkat Ali, manakala 7 orang lagi diberikan ekstrak plasebo selama 5 minggu.

Hasilnya, kumpulan yang mengambil ekstrak Tongkat Ali melaporkan peningkatan berat otot sebanyak 5% dan pengurangan lemak yang signifikan.

OLEH : MUHAMAD FIRDAUS RAHIM

SUMBER : (https://hellodoktor.com/)

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: