Menurut Pakar Urologi, Kesihatan Lelaki dan Pembedahan Robotik, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr. Sahabudin Raja Mohamed, menahan diri daripada membuang air kecil akan memberi kesan negatif kepada kesihatan.

Namun, perkara itu mempunyai kesan yang berbeza mengikut jantina dan usia.

Kanak-kanak yang menahan kencing terlalu lama boleh menyebabkan masalah besar. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, ia boleh meningkatkan kejadian jangkitan saluran kencing.

Dalam kes yang lebih buruk, ia akan mengakibatkan inkontinens iaitu masalah hilang kawalan untuk menahan kencing.

Masalah itu menyebabkan penghidap tidak mampu menahan kencing daripada terkeluar sendiri terutamanya ketika batuk, bersin atau meneran.

Seseorang juga sukar untuk menahan kencing sehingga dia boleh terkencing di mana-mana sahaja sebelum sempat pergi ke tandas.

Antara tanda-tanda seseorang itu mendapat masalah inkontinens adalah sering berasa tidak puas ketika membuang air kecil atau aliran air kencing yang lemah.

Masalah itu boleh terjadi kepada mereka yang mengalami kerosakan ginjal, uretra yang tersumbat ataupun kerosakan saraf akibat diabetes.

MEMBUANG AIR KECIL SEBANYAK DI ANTARA LIMA HINGGA ENAM KALI SEHARI MERUPAKAN SITUASI YANG NORMAL. NAMUN, MEREKA YANG MEMBUANG AIR KECIL MELEBIHI LAPAN KALI SEHARI MENUNJUKKAN KEADAAN YANG SEBALIKNYA.

PUNDI

Kencing kurang daripada lapan kali sehari merupakan keadaan yang normal. Urin mereka akan berwarna jernih seperti air paip.

Pundi kencing yang berfungsi secara normal ditunjukkan apabila seseorang membuang air kecil dalam tempoh tiga hingga empat jam sekali iaitu tidak lebih lapan kali sehari.

Mereka yang normal akan membuang air kecil hanya sekali pada waktu malam.

MENGURANGKAN MINUM AIR MASAK BAGI MENGELAKKAN SESEORANG ITU KERAP KE TANDAS ADALAH SATU TINDAKAN YANG SALAH.

Mereka tidak seharusnya mengurangkan pengambilan air kerana bahan tersebut penting kepada tubuh bagi mengelakkan dehidrasi.

Jangan mengurangkan kuantiti air yang diminum. Sebaliknya pergilah berjumpa dengan doktor untuk mengatasi masalah itu. Antara tanda kencing terlalu aktif adalah sukar menahan kencing, kencing tidak puas, pergi ke tandas melebihi 10 kali sehari dan berlaku kebocoran jika menahannya.

Masalah ini boleh terjadi lebih kerap dalam kalangan wanita muda. Seseorang yang menghadapi masalah ini akan membuang air lebih daripada 10 kali sehari serta tidak dapat menahan kencing.

Antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah itu adalah senaman otot untuk mengawal kencing, latihan pundi kencing dan penggunaan ubatan.

Jelas Sahabudin, masalah tersebut sering berlaku akibat kesibukan kerja yang mengundang masalah malas ke tandas selain ketiadaan kemudahan tandas yang bersih.

Sementara itu, melakukan aktiviti seperti memandu sambil menahan air kencing boleh mengundang bahaya. Perbuatan menahan kencing didapati mempunyai kesan yang sama dengan keracunan alkohol atau tidak tidur selama 24 jam secara berterusan.

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: