Akibat Bekas Majikan Suka Kentut Ke Arahnya, Jurutera Dakwa Majikan AS$1.8 Juta

537

Gara-gara suka kentut ke arah seseorang dan individu terbabit menganggapnya sebagai kes penderaan, seorang jurutera dari Melbourne menfailkan saman kepada bekas majikannya sebanyak AS$1.8 juta (RM7.33 juta).

Jurutera tersebut, David Hingst mendakwa bekas majikannya mendera dirinya sewaktu masih bertugas di sebuah syarikat kejuruteraan sekitar tahun 2008 dan 2009 dengan cara sering kentut ke arahnya berulang kali.

Hingga alami tekanan perasaan

Ujar Hingst, tindakan bekas majikannya yang gemar mengangkat punggung dan melepaskan gas busuk itu menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan, rasa gemuruh serta mengalami beberapa kecederaan yang tidak dapat dielakkan.

Kes tersebut pernah dibicarakan dan telah digugurkan pihak mahkamah tahun lalu namun Hingst yang mahukan keadilan, tampil sekali lagi baru-baru ini dengan membuat rayuan untuk menuntut bela ke atas penderitaan yang dialaminya selama ini.

Bekas majikan kentut di bilik tiada tingkap

Dedah Hingst kepada media tempatan, sewaktu dia duduk menghadap muka ke dinding, bekas majikannya akan masuk ke biliknya yang serba kecil dan tidak punyai tingkap untuk pengudaraan yang baik.

Bekas majikannya akan kentut di belakang Hingst sebelum bertindak terus keluar dari bilik tersebut dan lebih memeningkan, bekas majikannya akan mengulangi aktiviti tersebut sebanyak lima atau enam kali dalam masa sehari.

Mahukan pembelaan kerana diugut

Selain mendakwa bahawa bekas majikannya itu pernah membuat beberapa ugutan terhadapnya melalui perbualan telefon, Hingst beranggapan dia tidak mendapat perbicaraan yang adil dan tertekan dengan hakim mahkamah, Rita Zammit.

Ini kerana ketika dia disoal, Hingst merasakan hakim itu seperti berat sebelah dalam mengadili kes yang dituntutnya. Namun demikian, perbicaraan kes itu akan bersambung lagi pada Jumaat ini.

Sumber: New Zealand Herald