
Foto : Siakap Keli
“Saya hanya mahu terus bergerak.” Itulah kata-kata yang menggambarkan semangat luar biasa Sawang Janpram, seorang atlet veteran dari Thailand yang berjaya mencuri tumpuan dunia apabila memenangi pingat emas dalam acara lari pecut 100 meter di kejohanan World Masters Games di Taipei baru-baru ini.
Apa yang menjadikan kemenangan ini lebih mengagumkan? Sawang kini berusia 105 tahun.
Sawang sebenarnya satu-satunya peserta dalam kategori umur 100 tahun ke atas.
Secara teknikal, beliau ‘menang tanpa bertanding’. Namun, tidak ada siapa yang meragui kemenangan ini.
Mencapai usia satu abad dan masih mampu berlari 100 meter dalam 38.55 saat bukan sahaja satu pencapaian fizikal, tetapi simbol kekuatan mental dan dedikasi.
Sawang bukan atlet seumur hidup. Beliau pernah menjadi guru besar dan juga penanam durian sebelum mula aktif bersukan pada usia 90 tahun.
Dorongan untuk kekal aktif hadir apabila beliau bimbang akan kehilangan keupayaan bergerak. Nasib baik, anak perempuannya turut memberi semangat.
Kini, 15 tahun kemudian, beliau bukan sahaja masih aktif malah telah mengumpul lebih daripada 60 pingat dalam pelbagai acara seperti lembing, cakera dan lontar peluru.
Bukan Sawang seorang yang aktif anak perempuannya, Siripan, 73, turut menyertai kejohanan yang sama dan berjaya membawa pulang dua emas dan satu perak dalam acara balingan.
Kedua-dua beranak ini kerap berlatih bersama di pantai Rayong, Thailand, membuktikan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan besar dalam mengekalkan gaya hidup sihat dan aktif walaupun pada usia emas.
BACA LAGI : Peminat Selar Tindakan Amad Diallo Beri Isyarat Tangan Tak Senonoh
Kisah Sawang Janpram adalah satu peringatan bahawa tiada istilah terlambat untuk memulakan sesuatu yang baru.
Beliau memulakan perjalanan atletiknya pada usia yang kebanyakan orang lain sudah bersara dan berehat di rumah.
Namun bagi Sawang, setiap langkah di trek adalah langkah menentang masa dan kemenangan beliau adalah kemenangan buat kita semua, tentang harapan, kesungguhan, dan keberanian untuk terus hidup aktif tanpa mengira usia.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.