13 Jam Menguji Ketahanan, Syed Saddiq Tamatkan Cabaran Ironman Dunia 2025

Share

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi mencipta perhatian, bukan kerana politik, tetapi kerana keberanian dan ketahanan luar biasanya.

Beliau berjaya menamatkan Kejuaraan Ironman Dunia 2025 yang berlangsung di Nice, Perancis salah satu perlumbaan triatlon paling sukar di dunia.

13 Jam di Pentas Paling Ekstrem

Syed Saddiq menamatkan cabaran dengan catatan masa 13 jam 4 minit 36 saat.

Perlumbaan ini merangkumi tiga disiplin utama yang cukup ekstrem, bermula dengan renangan sejauh 3.8 kilometer di perairan Laut Mediterranean, diikuti dengan kayuhan basikal sejauh 180 kilometer melalui laluan berbukit curam yang terkenal sebagai antara trek paling teknikal, sebelum ditutup dengan lari maraton sejauh 42 kilometer yang benar-benar menguji kekuatan fizikal serta mental di bawah panas terik.

Lebih daripada sekadar mengerah tenaga, perlumbaan Ironman ini menuntut strategi kawalan stamina, pemakanan yang tepat, serta motivasi diri yang tinggi untuk sampai ke garisan penamat.

Foto : Flash Sukan

Keputusan yang Membanggakan

Dalam kejohanan yang menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari seluruh dunia, Syed Saddiq menamatkan cabaran di kedudukan ke-1,705 daripada 2,337 peserta keseluruhan.

Bagi kategori lelaki berusia 30–34 tahun pula, beliau menduduki tempat ke-237.

Walaupun bukan podium, pencapaian ini tetap membanggakan kerana beliau berjaya menamatkan cabaran yang terkenal dengan kadar “DNF” (Did Not Finish) yang tinggi.

Sejarah turut tercipta apabila Syed Saddiq kini bergelar ahli politik pertama Malaysia yang menamatkan cabaran penuh Ironman Dunia.

Ini membuktikan bahawa pemimpin muda bukan sahaja mampu berdebat di Dewan Rakyat, tetapi juga mengangkat nama negara di gelanggang sukan lasak.

Selain Syed Saddiq, Malaysia turut diwakili oleh beberapa lagi peserta hebat seperti Datuk Seri Vincent Tiew, Christopher Lim, Tengku Ahmad Masrin Tengku Mahmud, Teoh Teng Ee, Muhamad Azmir Taib, Ang Chee Kiang, dan Gavin Loh

.

Kehadiran mereka membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu bersaing di pentas antarabangsa dalam acara yang mencabar fizikal serta mental ini.

Foto : Berita Harian

Simbol Disiplin & Inspirasi Anak Muda

Cabaran Ironman bukan sekadar perlumbaan sukan.

Ia menuntut persiapan berbulan-bulan, latihan intensif, kawalan pemakanan, serta semangat kental untuk menewaskan rasa penat dan putus asa.

Syed Saddiq sendiri mengakui bahawa kejayaan menamatkan cabaran ini adalah bukti bahawa “tiada apa yang mustahil jika ada disiplin dan ketekunan.”

Kejayaan Syed Saddiq di Ironman Nice membuka lembaran baharu dalam karier peribadinya.

Ia membuktikan bahawa beliau bukan sekadar seorang ahli politik, tetapi seorang individu yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menempuh cabaran ekstrem.

Kisah ini bukan sahaja tentang pencapaian peribadi, tetapi juga tentang bagaimana seorang pemimpin muda Malaysia mampu mengangkat semangat juang dan menginspirasikan orang lain untuk mencabar diri sendiri.

BACA LAGI : Kenapa Strength Training Penting Untuk Runner

Sumber : Sinar Harian

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

Published by
Darwisy Farain