
Dalam dunia kecergasan hari ini, ramai memberi fokus kepada jenis workout, kasut larian atau rutin latihan terbaik, tetapi ramai masih memandang ringan soal hidrasi selepas bersenam, contohnya fungsi minuman isotonik.
Hakikatnya, apa yang anda minum selepas workout memainkan peranan besar terhadap proses pemulihan badan.
Sebab itulah minuman isotonik sering menjadi pilihan ramai atlet, pelari dan individu aktif selepas melakukan aktiviti fizikal intensif.
Berbeza dengan air kosong biasa, minuman isotonik dirumus khas untuk membantu menggantikan semula elektrolit dan tenaga yang hilang ketika badan berpeluh.
Tetapi sejauh mana sebenarnya kepentingan minuman isotonik selepas bersenam?
Berikut lima sebab utama kenapa ia penting untuk tubuh anda.
Semasa berlari atau bersenam, badan kehilangan banyak cecair menerusi peluh.
Namun apa yang ramai tidak sedar, peluh bukan sekadar air semata-mata.
Ia turut mengandungi elektrolit penting seperti sodium, potassium, magnesium dan calcium yang diperlukan badan untuk memastikan fungsi otot dan saraf berjalan dengan baik.
Jika elektrolit hilang terlalu banyak tanpa digantikan semula, badan boleh mula mengalami simptom seperti kekejangan otot, pening kepala, badan lemah dan cepat letih.
Di sinilah fungsi utama minuman isotonik. Ia membantu menggantikan semula elektrolit yang hilang dengan lebih cepat berbanding hanya minum air kosong.
Selepas workout intensif, badan sebenarnya berada dalam keadaan “recovery mode”.
Otot memerlukan masa untuk pulih, tenaga perlu dipulihkan dan badan perlu kembali stabil selepas kehilangan banyak cecair.
Minuman isotonik membantu mempercepatkan proses ini kerana ia mengandungi gabungan air, gula dan elektrolit dalam nisbah yang mudah diserap badan.
Sebab itu ramai atlet memilih minuman isotonik selepas latihan atau pertandingan kerana ia membantu badan kembali segar dengan lebih cepat.
Jika anda pernah rasa badan terlalu lesu atau “drained” selepas bersenam, kemungkinan besar badan anda kekurangan hidrasi dan elektrolit.
Ramai menyangka dahaga ialah tanda utama dehidrasi.
Sebenarnya bila anda mula rasa terlalu haus, badan mungkin sudah mula mengalami kekurangan cecair.
Dehidrasi bukan sahaja menjejaskan prestasi sukan, malah boleh menyebabkan sakit kepala, keletihan melampau, degupan jantung tidak stabil dan kesukaran fokus.
Minuman isotonik membantu badan menyerap cecair dengan lebih efektif kerana kandungan elektrolit di dalamnya membantu proses penyerapan berlaku lebih pantas.
Ini menjadikannya sangat berguna terutama selepas aktiviti seperti:
Bagi individu yang aktif bersenam secara konsisten, pemulihan badan sangat penting untuk memastikan prestasi kekal optimum.
Jika badan tidak pulih dengan baik selepas workout, anda mungkin akan rasa cepat penat, kurang tenaga dan prestasi latihan menurun pada sesi seterusnya.
Minuman isotonik membantu memastikan badan mendapat semula tenaga asas yang diperlukan selepas aktiviti fizikal.
Kandungan karbohidrat ringkas di dalamnya membantu memulihkan glycogen iaitu sumber tenaga utama otot yang digunakan ketika bersenam.
Sebab itu ramai pelari marathon atau atlet endurance mengambil minuman isotonik bukan sahaja selepas, malah semasa aktiviti berlangsung.
Cuaca panas dan lembap di Malaysia menyebabkan badan lebih cepat berpeluh walaupun melakukan aktiviti sederhana.
Ini bermakna risiko kehilangan cecair dan elektrolit juga lebih tinggi berbanding negara bercuaca sejuk.
Bagi individu yang gemar berjoging waktu petang, bermain futsal, hiking atau melakukan aktiviti outdoor, pengambilan minuman isotonik selepas bersenam boleh membantu badan kembali stabil dengan lebih cepat.
Namun penting juga untuk faham bahawa minuman isotonik paling sesuai diambil selepas aktiviti fizikal yang intensif atau berlangsung lama.
Jika hanya melakukan aktiviti ringan atau tidak banyak berpeluh, air kosong sebenarnya sudah mencukupi.
BACA: Persediaan Sebelum Mula Ceburkan Diri Dalam Aktiviti Trail Running
Walaupun minuman isotonik mempunyai banyak manfaat, ia tetap perlu diambil secara sederhana.
Kebanyakan minuman isotonik mengandungi gula dan sodium yang agak tinggi untuk membantu proses pemulihan badan.
Jika diambil terlalu kerap tanpa aktiviti fizikal yang sesuai, ia boleh menyumbang kepada pengambilan kalori berlebihan.
Paling penting, fahami keperluan badan anda sendiri.
Jika anda aktif bersukan, selalu berpeluh banyak atau melakukan latihan intensif, minuman isotonik memang boleh menjadi antara “recovery tool” terbaik untuk membantu badan kembali pulih dengan lebih efektif.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.