
Foto: BERNAMA
Bagi peminat muzik serantau, nama Afgansyah Reza atau lebih dikenali sebagai Afgan bukan asing.
Dikenali dengan suara merdu dan gaya yang sentiasa stylish, penyanyi berusia 36 tahun ini sering menjadi perhatian. Namun, baru-baru ini, fokus peminat beralih daripada fesyennya kepada satu aksesori yang lebih peribadi dan bermakna, tasbih digital di pergelangan tangannya.
Penampilan Afgan yang dilihat istiqamah memakai tasbih digital ketika ditemu bual oleh stesen radio tempatan telah mencuri perhatian ramai.
Rata-rata peminat memuji sikap penyanyi berkenaan yang kekal istiqamah dan mengekalkan amalan baiknya selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji pada Jun lalu.
Menerusi temu bual itu Afgan memberitahu, amalan memakai tasbih digital ini sudah terbiasa dilakukan sejak pulang menunaikan ibadah haji tahun ini, dan ia kini telah menjadi amalan hariannya.
Jelas penyanyi lagu ‘Kacamata’ itu lagi, penggunaan tasbih digital menjadi rutin untuk dirinya berzikir, terutama ketika berasa tidak tenang atau menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian.
“Rasanya saya sudah terbiasa sewaktu menunaikan haji sebelum ini, di sana (Mekah) saya tidak pernah meninggalkan tasbih digital itu,” katanya dalam satu temu bual bersama Gempak.
“Jadi sampai sekarang saya masih suka pakai. Kadang-kadang apabila saya berasa tidak tenteram atau dalam hal apa juga selalunya memang saya berzikir. Mungkin sudah jadi kebiasaan, habit waktu saya menunaikan haji dulu,” tambahnya lagi.
Perubahan yang dilalui Afgan selepas menunaikan haji adalah satu kisah inspirasi tentang bagaimana seseorang lelaki, walau seberapa berjaya sekalipun, memerlukan sandaran spiritual yang kukuh.
Afgan berkongsi bahawa perubahan besar berlaku dalam hidupnya, membuatkan dirinya lebih dekat dengan agama.
“Saya jadi lebih tenang. Sebelum menunaikan haji saya tidak biasa begini,” ujarnya jujur.
Beliau menambah, “Perubahan terbesar selepas haji pastinya saya lebih dekat dengan Allah, berserah dan tawakal dalam menjalani kehidupan.”
Ini adalah pelajaran penting untuk setiap lelaki: kekuatan sebenar bukan terletak pada kawalan kita terhadap keadaan, tetapi pada keupayaan kita untuk berserah dan tawakal apabila berdepan ketidakpastian.
Amalan berzikir, walaupun ringkas, adalah jangkar yang menstabilkan mentaliti dalam dunia yang serba pantas dan penuh tekanan.
BACA: Tip Mix & Match Kemeja, Jaket dan Seluar Jean Untuk Lelaki 30an
Penyanyi ini berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Retrospektif Showcase yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Afgan bakal mengadakan Retrospektif Showcase pada 5 Disember ini bersempena dengan pelancaran album baharunya berjudul Retrospektif.
Tiket showcase itu mula dijual sejak 1 Oktober lalu di laman web golive-asia, dengan harga bermula RM358 hingga RM1,398.
Dengan semangat baru dan ketenangan yang diperolehnya, Afgan membuktikan bahawa spiritualiti dan seni boleh berjalan seiring.
Penampilan dengan tasbih digital bukan sekadar simbol keagamaan, tetapi cerminan keperibadian seorang lelaki moden yang mencari keseimbangan antara dunia dan akhirat.
Kredit: Gempak
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.