
Foto : Kosmo
Seorang anggota tentera dari Korea Selatan, Oh Yohan, melakar kejayaan luar biasa apabila berjaya mencatat nama dalam Guinness World Records selepas melakukan sebanyak 11,707 senaman mendagu (pull-up) dalam masa 24 jam.
Percubaan ini dilakukan antara 28 hingga 29 September tahun lalu di bandar Incheon, namun pengiktirafan rasmi hanya diumumkan baru-baru ini.
Apa yang menjadikan pencapaiannya lebih mengagumkan adalah bukan hanya angka yang dicatat, tetapi juga motif dan semangat di sebalik cabaran fizikal yang ekstrem itu.
@guinnessworldrecordsMost pull ups in 24 hours (male) 💪 11,707 by Oh Yohan 🇰🇷♬ original sound – Guinness World Records
Oh Yohan bukanlah sekadar mengejar rekod demi nama atau populariti.
Menurutnya, pencapaian ini merupakan satu tanda penghormatan buat unit khas tentera Korea, Kumpulan Misi Khas Republik Korea ke-707, yang pernah menjadi tempat dia menabur bakti.
Jumlah 11,707 yang dipilih bukan secara rawak, sebaliknya penuh simbolik.
“Saya pilih angka 11,707 sebagai simbol penghormatan kepada unit 707, tempat saya pernah berbakti. Angka ini bermakna buat saya,” jelas Yohan.
707 adalah antara unit elit dalam angkatan tentera Korea Selatan, dan Yohan mahu rekod dunia ini menjadi legasi peribadi dan penghargaan buat pasukannya.
Walaupun ramai melihat kejayaan itu dari sudut fizikal semata-mata, hakikatnya Yohan turut berdepan cabaran emosi yang bukan calang-calang.
Dalam proses latihan dan persiapan untuk percubaan rekod ini, dia juga perlu membahagikan masa untuk keluarganya lebih-lebih lagi ketika isterinya sedang hamil anak kedua mereka.
“Latihan kali ini sangat mencabar, sampai saya tak kisah kalau gagal. Saya cuma nak lari sekejap daripada tekanan harian,” ujarnya jujur.
Bagi yang mengikuti kisah Yohan sebelum ini, ini bukan kali pertama dia memecah rekod dunia dalam kategori sama.
Namun pencapaian tersebut pernah dipintas oleh orang lain dalam masa kurang seminggu satu tamparan yang mungkin mematahkan semangat orang biasa, tapi tidak bagi Yohan.
Sebaliknya, kekalahan itu membakar semangatnya untuk kembali lebih kuat dan lebih bersedia.
Percubaan keduanya ini, yang akhirnya mencatat 11,707 pull-up, menjadi bukti bahawa semangat juang dan ketahanan diri mampu mengatasi apa saja cabaran.
BACA LAGI : Jaga Pemakanan & Mula Aktif Bersenam, Zamarul Hisham Kongsi Perubahan Gaya Hidup Selepas Serangan Jantung
Kini, nama Oh Yohan bukan sekadar tercatat dalam buku rekod dunia, tetapi juga tertanam dalam hati rakyat Korea sebagai lambang disiplin, dedikasi dan inspirasi.
Dari seorang anggota tentera kepada seorang suami, bakal bapa kepada dua anak, hingga menjadi pemegang rekod dunia kisahnya menyentuh pelbagai lapisan masyarakat.
Sumber : Kosmo
Subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.