
Bilakah kali terakhir anda rasa cukup gembira selepas melakukan senaman seperti larian? Atau adakah selama ini anda hanya berasa tertekan dan tidak seronok tapi tetap melakukannya juga kerana ia rutin kebiasaan semata?
Itu bermakna ada seakan sudah mula hilang rasa keseronokan dalam melakukan aktiviti senaman atau kecergasan.
Sempena Global Running Month, jenama sukan terkenal Jepun, ASICS memperkenalkan inisiatif unik di Asia Tenggara iaitu ‘Little Reminders’.
Bayangkan sekumpulan kanak-kanak berusia 7 hingga 9 tahun yang bertindak sebagai reminder paling jujur kepada kita tentang mengapa kita perlu bersenam.
Bukan untuk kelihatan sempurna, tetapi untuk berasa baik!
Kanak-kanak ini telah menghasilkan panduan senaman pertama yang dicipta oleh mereka sendiri untuk golongan dewasa. Panduan ini menekankan keseronokan dalam pergerakan, menghapuskan tekanan, dan memulihkan kembali hubungan antara tubuh dan emosi.
“Kanak-kanak bergerak kerana mereka rasa seronok, tiada tekanan, tiada sasaran, hanya gembira. Tapi bila kita dewasa, senaman jadi sesuatu yang dipandu oleh statistik, rupa fizikal atau jangkaan orang lain,” jelas Pengarah Urusan ASICS Asia, Yogesh Gandhi.
“Dengan kempen Little Reminders ini, kami biarkan kanak-kanak buat apa yang mereka terbaik dalam, mengingatkan kita bahawa bergerak dengan gembira itu sudah lebih dari cukup.”
Pada penghujung Jun 2025 lalu, ASICS Malaysia membawa mesej ini ke Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur dalam bentuk aktiviti komuniti.
Seluruh seisi keluarga termasuklah kanak-kanak yang merupakan penggemar kecergasan berkumpul untuk menyertai sesi senaman santai dan larian 3km. Bukan untuk masa terbaik, tetapi untuk pengalaman terbaik.
Pengurus Negara ASICS Malaysia, Boon Tib Soom Nik pula berkata, “Di ASICS Malaysia, kami percaya pergerakan sepatutnya digerakkan oleh rasa gembira, bukan tekanan.
“Melihat keluarga dan kanak-kanak menemui semula kegembiraan dalam bersenam sangat menginspirasikan. Ia mengingatkan kita bahawa kecergasan bukan hanya tentang rupa, tetapi tentang rasa.”
Acara ini turut disertai Adilla Noraidillina Adilla J. Sam, bekas pelumba basikal kebangsaan. Beliau turut teruja dengan program yang dianjurkan ini.
“Senaman Little Reminders benar-benar mengubah cara saya dan anak saya melihat senaman. Daripada fokus kepada teknik atau matlamat, kami diajak untuk bergerak dengan semangat dan keseronokan. Seperti mana kanak-kanak lakukan secara semula jadi,” jelasnya.
Dalam era di mana media sosial kerap menonjolkan imej kecergasan sebagai sesuatu yang berasaskan penampilan, kempen ini menyeru kita untuk mengubah lensa. Pergerakan bukan semata-mata tentang kalori, bentuk otot, atau pencapaian. Ia adalah ruang untuk merawat minda, melepaskan tekanan, dan merasai semula keaslian hidup.
BACA: 5 Jenis Senaman Mantap Guna Barbell Untuk Bina Badan Kuat dan Tegap
ASICS menegaskan kembali nilai asal jenama mereka yang lahir dari falsafah Latin, “Anima Sana In Corpore Sano” iaitu Minda Sihat Dalam Tubuh Sihat. Sebuah peringatan bahawa setiap langkah, walau perlahan, tetap membawa erti apabila ia dilakukan dengan niat yang tulen.
Jadi sama ada anda berjalan kaki selepas makan tengah hari, menari di ruang tamu atau menyertai larian komuniti, ingatlah bahawa pergerakan yang membawa senyuman adalah pergerakan yang paling bermakna.