
Foto: 2026 Getty Images
Pemain tenis muda Sepanyol, Carlos Alcaraz dinobatkan sebagai World Sportsman of the Year di Laureus World Sports Awards.
Ia menjadi sorotan dunia apabila bintang tenis muda dari Sepanyol itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara atlet terbaik dunia dinobatkan di dalam majlis berprestij Laureus World Sports Awards yang berlangsung di Madrid.
Pengiktirafan ini hadir selepas musim 2025 yang cukup cemerlang buat pemain berusia 22 tahun itu, sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan legenda sukan dunia seperti Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic.
Sepanjang musim 2025, Alcaraz mempamerkan prestasi luar biasa di pentas ATP Tour apabila berjaya meraih lapan gelaran, jumlah tertinggi dalam kalangan pemain pada tahun tersebut.
Antara pencapaian paling signifikan termasuk kemenangan di dua kejohanan Grand Slam iaitu Roland Garros dan US Open. Selain itu, beliau turut menamatkan musim sebagai pemain nombor satu dunia dalam ranking ATP selepas persaingan sengit bersama pencabar utamanya, Jannik Sinner.
Rekod kemenangan 71 berbanding 9 kekalahan sepanjang musim membuktikan konsistensi dan dominasi Alcaraz di gelanggang, menjadikannya antara musim terbaik dalam kariernya setakat ini.
Dalam ucapan penerimaannya, Alcaraz tidak menyembunyikan rasa terharu apabila berjaya memenangi anugerah tersebut, lebih lebih lagi selepas pernah memenangi Laureus Breakthrough Award pada tahun 2023.
“Tiga tahun lalu saya menerima anugerah breakthrough di Paris dan berpeluang bertemu salah seorang idola saya, Lionel Messi, yang memenangi anugerah ini. Ketika itu saya hanya bermimpi, mungkin suatu hari nanti saya juga akan berada dalam senarai itu. Hari ini, ia menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pencapaiannya sebagai satu penghormatan besar kerana kini berada dalam kelompok atlet elit dunia.
“Saya kini mengikuti jejak langkah Messi, Federer, Djokovic, Usain Bolt dan sudah tentu Rafael Nadal. Ini menjadikan momen ini sangat istimewa.”
Alcaraz turut mengakui bahawa persaingannya dengan Jannik Sinner memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap permainannya.
“Saya ingin berterima kasih kepada Jannik Sinner. Jika kami tidak saling berdepan dan menolak satu sama lain ke tahap tertinggi, saya tidak fikir kami akan mencapai prestasi seperti hari ini.”
Sinner sendiri turut tersenarai sebagai antara calon bagi anugerah tersebut bersama beberapa atlet ternama lain termasuk Ousmane Dembele, Mondo Duplantis, Marc Marquez dan Tadej Pogacar.
Dengan kemenangan Carlos Alcaraz Laureus ini, beliau kini menyertai senarai eksklusif pemenang dari dunia tenis yang pernah merangkul anugerah tersebut.
Antaranya termasuk Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic yang sebelum ini mendominasi anugerah tersebut.
Pencapaian ini sekali lagi mengesahkan bahawa Alcaraz bukan sekadar bintang muda, tetapi pewaris sah kepada legasi tenis dunia.
Selain kejayaan di pentas Grand Slam, Alcaraz turut memenangi beberapa kejohanan besar lain termasuk ATP Masters 1000 di Monte Carlo, Rome dan Cincinnati.
Beliau juga menambah koleksi trofi dengan kemenangan dalam kejohanan ATP 500 di Rotterdam, London dan Tokyo.
Pada penghujung musim, Alcaraz turut mara ke final Nitto ATP Finals buat kali pertama sebelum tewas kepada Sinner, sekali gus menutup musim dengan satu lagi pencapaian penting.
Dengan usia yang masih muda, perjalanan Alcaraz dalam dunia tenis dijangka masih panjang dan penuh potensi.
Konsistensi, mentaliti juara serta keupayaan untuk bersaing di tahap tertinggi menjadikan beliau antara pemain yang bakal mendominasi era baharu tenis dunia.
Pengiktirafan terhadap Carlos Alcaraz di Laureus World Sportsman ini bukan sahaja mengangkat statusnya sebagai atlet elit, malah memberi isyarat jelas bahawa beliau kini berada di kemuncak dunia sukan.
BACA: Era Baharu Apple, Tim Cook Undurkan Diri Sebagai CEO, John Ternus Ambil Alih
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.