
Langkah terbaru Cristiano Ronaldo melakukan pelaburan kepada Pro2col Herbalife bukan sekadar simbolik, tetapi strategi besar bernilai hampir RM30 juta yang memberi isyarat jelas tentang arah masa depan industri kesihatan berasaskan data.
Cristiano Ronaldo kini hadir bukan sekadar ikon bola sepak. Pada tahap kariernya sekarang, setiap langkah yang diambil lebih bersifat strategik dan berorientasikan jangka panjang.
Terbaru, legenda Portugal itu melabur hampir RM30 juta dalam teknologi Pro2col milik Herbalife, sekali gus memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 10 peratus dalam HBL Pro2col Software, LLC.
Pelaburan bernilai kira kira USD7.5 juta itu bukan sekadar simbolik. Ia mencerminkan komitmen mendalam Ronaldo terhadap kesihatan, pemakanan dan masa depan sistem kesejahteraan berasaskan data.
Pro2col ialah sistem operasi digital generasi baharu yang dibangunkan oleh Herbalife untuk menawarkan pelan kesihatan dan kesejahteraan yang diperibadikan.
Platform ini direka untuk meningkatkan penglibatan harian pengguna, menggalakkan perubahan tingkah laku yang mampan dan menghasilkan keputusan yang boleh diukur melalui pendekatan berstruktur serta berpandukan data.
Antara teras utama platform ini ialah Pro2Score, iaitu sistem pemarkahan kesejahteraan proprietari yang menjejaki kemajuan berdasarkan metrik kesihatan utama.
Ia bertujuan memberi kejelasan, motivasi serta cadangan tindakan yang lebih praktikal untuk membantu pengguna mencapai gaya hidup lebih sihat.
Platform ini turut melengkapkan rangkaian pengedar Herbalife dengan alat dan pandangan analitik bagi meningkatkan interaksi bersama pelanggan, sekali gus menjadikan pemakanan dan kesejahteraan peribadi lebih mudah diakses dan berskala besar.
Kerjasama antara Ronaldo dan Herbalife bukan perkara baharu. Sejak 2013, Herbalife merupakan rakan pemakanan global beliau.
Kedua dua pihak sebelum ini turut bekerjasama melancarkan Herbalife24 CR7 Drive, minuman sukan yang diformulasikan mengikut keperluan prestasi Ronaldo dan sesuai untuk atlet pelbagai tahap.
“Cristiano telah menjadi rakan kerjasama yang amat bernilai selama lebih sedekad, dan keputusannya untuk mengambil pegangan pemilikan dalam Pro2col menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan kami,” jelas Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Herbalife, Stephan Gratziani.
“Pelaburan ini mencerminkan kepercayaan bersama terhadap kuasa pemakanan, data, kecerdasan buatan dan pandangan diperibadikan untuk menghasilkan keputusan kesihatan yang lebih baik, sekali gus mengukuhkan keyakinannya terhadap impak masa depan Pro2col,” tambahnya lagi.
Ronaldo pula melihat pelaburan ini sebagai evolusi semula jadi dalam hubungan jangka panjang mereka.
“Selepas lebih sedekad bersama, hubungan kami dibina atas dasar kepercayaan dan cita cita yang sama. Melabur dalam Pro2col terasa seperti satu perkembangan semula jadi. Selain mewakili Herbalife, ia tentang membantu membentuk dan membangunkan platform yang benar benar mampu mengubah cara orang berinteraksi dengan kesihatan dan kesejahteraan mereka.
“Saya sendiri melihat bagaimana Herbalife menggabungkan sains, inovasi dan sokongan peribadi untuk menjadikan kesihatan lebih mudah diakses. Bekerjasama dengan Herbalife untuk mencipta sesuatu yang memberi impak berkekalan adalah apa yang mendorong saya pada tahap kerjaya ini,” tambahnya lagi.
Pro2col merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Herbalife untuk menjadi platform kesihatan dan kesejahteraan yang lebih berhubung dan dipacu data. Ia mengintegrasikan produk, komuniti, kecerdasan buatan serta keupayaan digital bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di seluruh dunia.
Buat masa ini, Pro2col sedang melalui pelaksanaan beta berperingkat bagi mengumpul maklum balas pengguna sebelum pelancaran komersial lebih meluas. Akses beta kini tersedia di Amerika Syarikat, Kanada dan Puerto Rico, dengan perancangan peluasan ke pasaran antarabangsa terpilih termasuk beberapa pasaran Eropah, Timur Tengah dan Afrika bermula 2026.
BACA: Lari 10 Minit Sehari, Boleh Bantu Jauhi Ancaman Penyakit Serius!
Langkah Cristiano Ronaldo labur Pro2col Herbalife menunjukkan bahawa fasa seterusnya dalam dunia kesihatan bukan hanya tentang suplemen atau produk fizikal. Ia tentang data, kecerdasan buatan dan pendekatan yang benar benar diperibadikan.
Bagi seorang atlet yang membina reputasi melalui disiplin, konsistensi dan perhatian terhadap perincian, pelaburan dalam platform berasaskan sains dan data seperti Pro2col selari dengan falsafah peribadinya.
Kini persoalannya bukan lagi sama ada teknologi akan mengubah cara kita menjaga kesihatan. Tetapi sejauh mana cepat kita bersedia untuk mengikutinya.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.