Fenomena Joki Strava di Indonesia, Ramai Sanggup Bayar Demi Data Larian Cantik

Share

Aktiviti larian semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja sebagai hobi sihat tetapi juga gaya hidup moden.

Namun, di Indonesia wujud satu fenomena baharu yang agak pelik tapi menarik perhatian, iaitu ‘joki Strava’.

Fenomena ini merujuk kepada individu yang dibayar untuk berlari bagi pihak orang lain.

Mereka membawa telefon pintar atau jam tangan pintar milik pelanggan yang sudah dipasang aplikasi Strava, lalu merekodkan jarak, masa, pace malah kadar degupan jantung.

Hasilnya, seolah-olah pelanggan itu sendiri yang melakukan larian.

Foto : Gerakita

Bagaimana Ia Bermula?

Fenomena ini mula dikesan di sekitar Jakarta, khususnya ketika berlangsungnya program Car Free Day (CFD) pada setiap pagi Ahad.

Ribuan orang menyertai aktiviti ini untuk berlari atau berjalan santai, dan di sinilah khidmat joki Strava mendapat permintaan.

Menurut laporan Kompas, antara yang aktif menjadi joki ialah seorang remaja berusia 16 tahun.

Walaupun masih bergelar pelajar, dia melihat peluang ini sebagai kerja sambilan yang unik.

Setiap minggu, dia bersama dua rakannya akan mengambil beberapa ‘tempahan’ larian daripada pelanggan.

“Biasanya pelanggan serahkan telefon pintar mereka sebelum mula. Saya akan bawa berlari, dan bila habis jarak yang diminta, saya pulangkan semula. Kebanyakannya memang guna telefon, jarang smartwatch,” katanya.

Foto : BeritaNasional

Bayaran Bergantung Pada Pace

Menariknya, servis ini tidak mempunyai kadar bayaran tetap.

Semua bergantung kepada persetujuan bersama antara joki dan pelanggan.

Namun, harga boleh melonjak sekiranya pelanggan mahu catatan larian yang lebih laju atau konsisten.

Difahamkan, caj sekitar Rp300,000 (kira-kira RM78) untuk jarak lima kilometer dengan pace empat minit per kilometer.

Lebih tinggi cabarannya, lebih tinggi pula bayaran yang dikenakan.

“Kalau pace bawah enam minit per kilometer, kena jaga konsistensi dari mula sampai habis. Itu yang susah, sebab itu caj pun lebih mahal,” jelas remaja tersebut.

Hanya Pada Hari Minggu

Walaupun nampak seperti ‘kerjaya’ baharu, khidmat joki Strava ini sebenarnya tidak dilakukan setiap hari.

Menurut remaja itu, dia hanya menawarkan perkhidmatan pada setiap Ahad ketika Car Free Day.

“Itu pun kalau ada permintaan. Paling banyak pun saya ambil dua orang pelanggan seminggu, sebab tenaga pun ada had,” ujarnya sambil ketawa.

Antara Prestij & Realiti

Foto : VOI

Fenomena joki Strava mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan komuniti larian.

Ada yang menganggap ia sekadar gurauan atau hiburan untuk ‘nampak hebat’ di aplikasi, walaupun hakikatnya orang lain yang berlari.

Namun ada juga yang lebih kritikal, menyifatkan trend ini sebagai satu bentuk penipuan yang merosakkan semangat sebenar sukan.

Sumber : Siakap Keli

BACA LAGI : Jenis Senaman Sesuai Diamalkan Oleh Pelari Aktif

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain