Sukan

Gilberto Mora Pemain Termuda Julang Trofi Antarabangsa

Share

Dalam dunia bola sepak yang pantas dan penuh kompetisi, bukan mudah untuk menempatkan diri apatah lagi sebagai seorang remaja. Tetapi Gilberto Mora bukan budak mentah biasa.

Hanya beberapa bulan selepas Lamine Yamal mencipta sejarah sebagai pemain termuda menjulang trofi antarabangsa, rekod itu kini sudah menjadi milik Mora. Usia? Baru 16 tahun. Trofi? Piala Emas CONCACAF. Dan bukan hanya sekadar ‘turut serta’ Mora menjadi pemain utama dalam aksi final menentang musuh tradisi, Amerika Syarikat.

Aksi Final: Mora Berdiri Sama Tinggi

Mexico menang 2-1 hasil jaringan dua jaguh, Raul Jimenez dan Edson Alvarez. Tetapi sorotan kamera dan hati peminat tertumpu kepada Mora yang tampil matang dan tenang di tengah padang. Seolah-olah dia sudah biasa bermain di pentas antarabangsa, sedangkan ini adalah kali pertama dia menyarung jersi senior negara dalam perlawanan besar sebegitu.

Ketika detik Raul Jimenez menjaringkan gol, dia merakamkan penghormatan kepada rakan sepasukan lamanya, Diogo Jota, yang baru meninggal dunia. Suasana penuh emosi, tetapi Mora tidak goyah. Fokusnya hanya satu untuk membantu negaranya menang.

Dari Liga MX ke Dunia Besar

Apa yang menjadikan perjalanan Mora lebih luar biasa ialah latar belakangnya di Liga MX. Pada usia 15 tahun, dia sudah cipta dua rekod penting pemain termuda mencetak gol dan mencipta assist dalam sejarah liga tersebut. Dan kini, pada usia 16 tahun, dia memintas Yamal sebagai pemain termuda menjulang trofi antarabangsa.

Bakatnya sudah dikesan lebih awal. Tapi yang membuatkan Mora lebih bernilai adalah mentaliti juangnya. Jurulatih Mexico sendiri menyebut, “Dia mencipta sejarah. Mora seorang remaja dengan mentaliti luar biasa. Dia baik hati, merendah diri, dan sentiasa bersemangat untuk belajar. Saya boleh katakan dia sudah lulus ujian debutnya.”

Tumpuan Eropah Makin Dekat

Selepas kejayaan Piala Emas, radar kelab kelab besar Eropah kini terarah kepada Mora. Scouts mula hadir di perlawanan, rundingan senyap sedang berlaku dan besar kemungkinan kita akan melihat Mora menyarung jersi kelab elit dalam masa terdekat.

Tetapi buat masa ini, Mora kekal fokus. “Saya hanya mahu terus belajar dan bantu negara. Selebihnya, biarlah masa yang tentukan,” katanya ringkas dalam satu sidang media.

Mora buktikan usia muda bukan alasan untuk main main. Kalau dia boleh cipta sejarah pada umur 16 tahun, apa alasan kita untuk tidak jadi versi terbaik diri kita sendiri?

Published by
Nana