Hobi & Minat

Gurauan Kasar Di Tempat Kerja Kini Dianggap Jenayah

Share

Mulai 11 Julai 2025, semua individu yang bergelar pekerja, ketua jabatan mahupun majikan perlu lebih berhati-hati dalam komunikasi harian, terutama dalam soal gurauan, perbualan bersifat peribadi dan tingkah laku sosial di tempat kerja.

Ini kerana pindaan baharu terhadap Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025) secara rasmi mengklasifikasikan pelbagai bentuk gangguan di tempat kerja sebagai kesalahan jenayah.

Perubahan ini bukan sekadar transformasi undang-undang, tetapi isyarat tegas daripada kerajaan bahawa kesihatan mental, emosi dan maruah individu adalah hak yang wajib dilindungi.

Gurauan Melampau Bukan Lagi Isu Dalaman

Dulu, isu seperti gurauan kasar, usikan peribadi, atau ‘meme’ yang disebar dalam grup WhatsApp pejabat sering dianggap sebagai “hal dalaman” atau “sekadar main-main”.

Kini tidak lagi. Beberapa kategori kelakuan telah disenaraikan sebagai perbuatan jenayah yang boleh disiasat polis dan didakwa di mahkamah, antaranya:

  • Gangguan fizikal atau lisan, termasuk ejekan terhadap rupa, tubuh badan, jantina, latar belakang atau orientasi.

  • Sindiran atau jenaka seksual, walau disampaikan secara ‘gurauan’.

  • Buli siber, termasuk menyindir secara terbuka, menyebarkan imej, mesej atau maklumat peribadi individu di ruang kerja digital.

  • Penyebaran maklumat peribadi, seperti nombor telefon, alamat rumah, sejarah kesihatan atau latar belakang keluarga tanpa izin.

  • Tekanan emosi berulang hingga menyebabkan mangsa kemurungan atau hilang kawalan diri.

Etika Komunikasi Kini Jadi Tanggungjawab Undang-Undang

Apa yang dulunya dianggap “tak disengajakan” atau “sekadar melawak” kini perlu ditapis dan dipertimbang semula. Bagi lelaki berkerjaya yang ingin kekal dihormati dan dilihat profesional, keupayaan mengawal kata-kata dan memahami sensitiviti persekitaran adalah satu bentuk kematangan.

Tempat kerja bukan pentas hiburan. Sebaliknya, ia adalah ruang kolaborasi yang perlu dibina atas nilai rasa hormat, empati dan tanggungjawab sosial.

Jadi, anda dinasihatkan untuk sentiasa:

1. Menjaga tutur kata dan perbuatan, walaupun di ruang digital seperti WhatsApp.

2. Elakkan menyentuh hal peribadi rakan sekerja tanpa keizinan.

3. Laporkan segera sebarang bentuk gangguan kepada pihak berkuasa jika perlu.

4. Ambil serius jika ada rakan sekerja menunjukkan tanda tertekan atau trauma akibat suasana kerja.

Majikan Turut Bertanggungjawab

Pindaan undang-undang ini juga memberi isyarat jelas bahawa majikan tidak boleh lagi mengambil ringan aduan berkaitan gangguan lisan, emosi atau digital di tempat kerja.

Organisasi digesa untuk:

  • Menyemak semula dasar dalaman berkaitan gangguan tempat kerja

  • Menyediakan saluran aduan yang jelas dan selamat

  • Menganjurkan latihan kesedaran berkenaan komunikasi beretika

Kegagalan menangani isu ini boleh mengakibatkan tindakan undang-undang terhadap organisasi itu sendiri.

Dengan pindaan undang-undang ini, masa untuk ‘bergurau tanpa batas’ sudah tamat. Kini masanya untuk jadi lelaki yang bukan sekadar bijak bekerja—tetapi juga bijak menjaga nilai kemanusiaan.

Sumber: Threads

BACA LAGI : Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh Ketua Hakim Negara Ke-17

Subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Nana