
Penyanyi popular, Haqiem Rusli berkongsi tentang perubahan besar dalam hidupnya selepas hampir empat tahun mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta, Anis Sofea. Bagi pemilik nama penuh Ridzuan Haqiem Rusli yang kini berusia 27 tahun, alam perkahwinan telah menjadi titik tolak untuk dirinya membuang sifat negatif dan mendidik jiwa agar lebih matang.
Menurut Haqiem, sebelum berkahwin dirinya tidak lari daripada sikap “toksik” dan perangai kebudak-budakan. Namun, kehadiran isteri dalam hidup benar-benar mengubah cara dia memandang kehidupan.
“Perkahwinan ajar saya erti matang. Bukanlah saya nak cakap saya terlalu matang, tapi perkahwinan membuang sikap toksik dan benda-benda negatif dalam hidup saya. Mungkin dulu saya ada perangai sombong atau perangai budak-budak muda,” katanya.
Sebagai lelaki, Haqiem percaya perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua jiwa, tetapi turut menuntut rasa tanggungjawab yang besar. Ia menjadikan dirinya lebih sabar, lebih terkawal dan lebih fokus kepada perjalanan hidup serta kerjaya.
Bagi Haqiem, usia bukanlah ukuran untuk membina rumah tangga. Ditanya sama ada dia pernah menyesal berkahwin muda, pelantun lagu Sangkar Derita itu menegaskan bahawa keputusannya tidak pernah disesali.
“Saya tidak pernah menyesal sama sekali. Sebab saya percaya itu adalah takdir Allah dah beri,” ujarnya penuh yakin.
Baginya, kebahagiaan yang dimiliki hari ini adalah rezeki dan ketentuan Ilahi, dan dia memilih untuk menghargai setiap detik perjalanan itu.
Tidak menafikan dirinya kadang-kadang terkesan apabila sering ditanya soal zuriat, Haqiem tetap memilih untuk bersabar.
“Bukan tak cuba, kita cuba tapi rezeki semua dari Allah. Saya menunggu sahaja,” katanya.
Sikap reda dan tenang ini mencerminkan kematangan seorang lelaki yang tidak lagi mengejar kesempurnaan duniawi, sebaliknya percaya bahawa setiap perkara akan hadir pada waktunya.
Perjalanan Haqiem Rusli membuktikan bahawa seorang lelaki tidak akan selamanya terikat dengan perangai kebudak-budakan. Dengan perkahwinan, tanggungjawab dan kesedaran diri, seseorang boleh berubah menjadi versi terbaik dirinya.
Lelaki sejati bukan diukur pada rupa atau harta, tetapi pada keberanian mengakui kelemahan dan kekuatan untuk terus memperbaiki diri.