Akibat Turunkan Pemain Tak Layak, Harimau Malaya Dikira Tewas 3-0 Dalam 3 Perlawanan

Share

Kontroversi terus membayangi bola sepak negara apabila Harimau Malaya sekali lagi dihimpit berita yang mencalar imej dan kredibiliti pengurusan.

Belum reda isu naturalisasi yang melibatkan beberapa pemain sebelum ini, hari ini pasukan kebangsaan menerima satu lagi tamparan besar di peringkat antarabangsa.

Hukuman FIFA Terhadap FAM

Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kesalahan menurunkan pemain tidak layak dalam perlawanan antarabangsa Tier 1.

Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi, Jorge Palacio, pada 12 Disember lalu.

Menurut laporan Harian Metro, FIFA mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA Edisi 2025 apabila pemain yang tidak memenuhi syarat kelayakan diturunkan dalam tiga perlawanan antarabangsa melibatkan Harimau Malaya.

Tiga Perlawanan Terlibat

Tiga perlawanan yang terlibat ialah perlawanan persahabatan menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada 29 Mei yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Selain itu, perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September yang sebelum ini dimenangi Malaysia 2-1, serta perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 8 September yang berkesudahan dengan kemenangan 1-0.

Susulan keputusan FIFA, ketiga-tiga perlawanan tersebut kini diisytiharkan sebagai kekalahan buat Malaysia dengan jaringan 3-0. Keputusan ini bukan sahaja menafikan kemenangan di atas padang, malah memberi implikasi besar terhadap rekod dan reputasi pasukan kebangsaan.

Denda dan Implikasi Terhadap Reputasi

Selain pengisytiharan kekalahan, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (kira-kira RM51,414). Hukuman ini sekali lagi mengundang persoalan tentang tahap pematuhan terhadap peraturan antarabangsa serta ketelitian pengurusan dalam mengurus kelayakan pemain.

Lebih membimbangkan, keputusan tersebut dijangka memberi kesan langsung terhadap kedudukan Malaysia dalam ranking dunia FIFA.

Penolakan mata daripada tiga perlawanan berkenaan berpotensi menyebabkan Harimau Malaya tergelincir beberapa anak tangga, sekali gus menyukarkan usaha untuk kembali bersaing di pentas antarabangsa.

Tindakan Susulan FAM

Dalam perkembangan lanjut, FAM memaklumkan akan mengemukakan permohonan bertulis kepada FIFA bagi mendapatkan penjelasan rasmi berhubung keputusan Jawatankuasa Tatatertib tersebut.

Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memahami secara terperinci asas hukuman yang dikenakan, namun pada masa sama tidak mampu memadamkan hakikat kesilapan yang telah berlaku.

Kesan Terhadap Sokongan Penyokong

Persoalan besar kini timbul — adakah episod ini akan terus menghakis kepercayaan penyokong dan peminat bola sepak tempatan terhadap pengurusan pasukan kebangsaan?

Harimau Malaya bukan sekadar sebuah pasukan, tetapi simbol harapan dan kebanggaan negara yang sentiasa dinanti prestasinya.

BACA: Dari Gelanggang Ke Hollywood, 10 Fakta Menarik John Cena, Legenda Gusti Dihormati Ramai

Seruan Untuk Perubahan

MASKULIN percaya bola sepak negara memerlukan perubahan menyeluruh yang bukan hanya tertumpu kepada keputusan di atas padang, tetapi juga ketelusan, kecekapan dan pematuhan terhadap peraturan di peringkat pentadbiran.

Revolusi yang dijanjikan perlu diterjemahkan dengan tindakan konkrit, bukan sekadar slogan.

Sayangilah bola sepak negara. Harimau Malaya berhak dibebaskan daripada kemelut yang berulang dan diberikan ruang untuk bangkit dengan maruah di pentas antarabangsa.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim