Harry Styles Jadi Tumpuan Dengan Catatan Masa Hebat Di Berlin Marathon 2025

Share

Penyanyi terkenal dunia, Harry Styles, 31, mengejutkan peminat apabila menyertai Berlin Marathon pada Ahad (21 September).

Acara maraton itu menghimpunkan lebih 55,000 pelari dari seluruh dunia, menjadikannya antara trek paling pantas di dunia serta menjadi rebutan ramai atlet elit untuk mencatat rekod baharu.

Menariknya, Harry dilaporkan berlari dengan menggunakan nama samaran “Sted Sarandos” sambil mengenakan headband dan cermin mata hitam.

Usaha ini dipercayai untuk mengelak perhatian ramai sepanjang perlumbaan.

Walaupun cuba merendah diri, beberapa peminat dan pelari lain tetap berjaya mengenal pasti figura penyanyi “As It Was” itu di trek.

Masa yang Mengagumkan

Foto : The Sun

Harry berjaya menamatkan larian sejauh 42 kilometer itu dengan catatan masa 2 jam 59 minit 13 saat iaitu di bawah 3 jam!

Purata kelajuan beliau adalah sekitar 6 minit 50 saat setiap batu (atau 4 minit 15 saat per kilometer).

Pencapaian ini dianggap luar biasa kerana tidak ramai pelari maraton mampu mengekalkan kadar sepantas itu.

Untuk perbandingan, masa purata bagi kebanyakan pelari rekreasi ialah antara 4 hingga 5 jam.

Bagi rekod, perlumbaan tersebut dimenangi atlet Kenya, Sabastian Sawe, dengan masa 2 jam 2 minit 16 saat.

Walaupun catatan Harry jauh berbeza daripada pemenang, larian bawah 3 jam tetap dianggap prestasi elit dalam komuniti maraton terutamanya untuk seseorang yang bukan atlet profesional.

Persediaan Rapi

Foto : Hindustan Times

Beberapa minggu sebelum acara, akhbar tempatan Der Tagesspiegel sempat melaporkan kelibat Harry berlari di sekitar Berlin.

Ia menunjukkan beliau membuat latihan intensif untuk memastikan stamina dan daya tahan berada pada tahap terbaik.

Tidak hairanlah, hasil disiplin tersebut membuahkan catatan masa yang membanggakan.

Lebih istimewa, juara Paralimpik dua kali, Richard Whitehead, turut memuat naik foto bersama Harry selepas tamat maraton.

Whitehead sempat berseloroh di Instagram dengan menulis, “2.58 in Berlin with my mate!! Anyone know him!! 😂 #berlinmarathon”

BACA LAGI : Lebih Sedekad Jadi Hero, Datuk Remy Ishak Dedah Rahsia Bertahan

Karier Muzik & Gaya Hidup Aktif

Walaupun sibuk dengan karier muzik dan sering menjadi tumpuan media kerana hubungan peribadinya, Harry dilihat semakin mengutamakan gaya hidup sihat dan aktif.

Beberapa hari sebelum maraton, beliau turut kelihatan di Tuscany, Itali, bersama pelakon Zoë Kravitz.

Kejayaan Harry di Berlin Marathon menjadi inspirasi bukan sahaja kepada peminat muziknya, tetapi juga komuniti pelari amatur di seluruh dunia.

Ia membuktikan bahawa dengan disiplin, latihan konsisten, dan semangat tinggi, sesiapa pun mampu mencapai pencapaian besar walaupun di luar bidang kerjaya utama mereka.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain