
Baru-baru ini, tular kenyataan seorang pelakon wanita yang mendakwa tidak selesa bekerja dengan rakan artis yang didakwa kurang menjaga kebersihan diri sehingga menimbulkan isu bau badan di set penggambaran. Isu itu hangat diperdebatkan di media sosial, sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.
Tapi berbeza dengan mereka yang memilih untuk menuding jari, Faizal Hussein tampil dengan respon penuh kelas. Faizal berkongsi pengalamannya dengan tenang dan berhemah.
“Kalau ada pelakon badannya berbau, tak kira lelaki atau perempuan, takkan ada siapa pun tahu. Saya sendiri pernah alami banyak kali. Tapi saya takkan bawa ke sosial media. Saya simpan sendiri, hadap dan hadam sahaja.”
Ayat itu mungkin kedengaran biasa, tapi ia menggambarkan satu prinsip penting dalam dunia lelaki iaitu jaga aib orang, jaga maruah sendiri. Dalam budaya hari ini yang cepat menularkan setiap kelemahan orang lain demi konten atau perhatian, sikap Faizal adalah satu bentuk kejantanan yang semakin hilang — gentleman silent, but strong.
“Kalau saya tak suka seseorang, orang itu tak akan tahu. Mungkin sebab itu bayaran saya mahal,” tambahnya, berseloroh tapi penuh maksud.
Bagi Faizal, isu seperti bau badan bukan perkara luar biasa. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja, lebih-lebih lagi dalam keadaan berpeluh atau berada dalam lokasi penggambaran yang mencabar. Bahkan beliau mengaitkan pengalaman itu dengan suasana solat Jumaat.
“Macam-macam bau kita akan hidu. Sama juga macam bau mulut masa puasa… itu bau kasturi. Normal je. Simpan sendiri, tak perlu nak beritahu semuanya.”
Lelaki sejati tahu beza antara keperluan untuk bersuara dan keperluan untuk menjaga keharmonian kerja.
Mengulas tentang pelakon yang gemar mencipta publisiti dengan membuka isu remeh seperti ini, Faizal mengingatkan bahawa bukan semua populariti itu bermanfaat.
“Zaman sekarang, good publicity or bad publicity tetap publicity
. Tapi cara seperti ini tak bantu panjangkan karier mereka. Sepatutnya kita pilih cerita yang bawa karier kita ke depan.”Faizal Hussein bukan hanya pelakon berpengaruh, tetapi kini menjadi simbol kematangan dalam industri. Di sebalik dunia seni yang penuh gosip dan drama, beliau berdiri teguh dengan nilai diam itu jantan.
BACA LAGI : Faizal Hussein Kongsi Rahsia Rumah Tangga Bahagia, “Jangan Malu Tunjuk Kasih Sayang Pada Isteri…”