Kenapa Ramai Atlet Berbakat Gagal Sebelum Menjadi Juara?

Share

Di mata orang ramai, seorang atlet yang berjaya sering dikaitkan dengan podium, medal, dan sorakan penonton.

Tetapi realitinya, di sebalik kisah juara, ada ribuan lagi anak muda yang terhenti separuh jalan.

Mereka bermula dengan semangat, ibu bapa pula penuh harapan, namun akhirnya perjalanan itu tidak ke mana.

Hakikatnya, kegagalan bukan kerana tiada bakat. Sebaliknya, ia berpunca daripada kelemahan memahami proses sebenar yang membentuk seorang atlet.

Asas & Sokongan Yang Rapuh

Foto : Utusan Malaysia (Gambar Sekadar Hiasan)

Asas yang lemah ibarat rumah yang dibina atas pasir.

Ramai atlet muda dipaksa terlalu cepat fokus pada satu sukan, tanpa diberi peluang menguasai latihan multilateral seperti agility, balance, strength dan flexibility.

Hanya kerana mahu menang di usia kecil, perkembangan jangka panjang diabaikan.

Akibatnya, bila meningkat remaja, mereka cepat cedera, mudah bosan, dan akhirnya burn out.

Lebih memburukkan keadaan, ada ibu bapa yang meletakkan harapan berlebihan.

Anak dipaksa mengejar impian orang tua, dipuji hanya bila menang, dihukum bila kalah.

Tekanan seperti ini menghilangkan kegembiraan bermain, menjadikan sukan yang sepatutnya menyeronokkan bertukar menjadi beban.

Bila hati sudah tidak seronok, pilihan paling mudah bagi seorang atlet muda adalah berhenti.

Disiplin, Mental & Fokus

Bezanya antara juara dan mereka yang tenggelam di pertengahan jalan ialah disiplin.

Ramai atlet hanya bersemangat bila hampir pertandingan, tetapi latihan harian dijalankan separuh hati.

Mereka lebih tertarik dengan hiburan jangka pendek iaitu telefon, media sosial, lepak berbanding proses panjang yang memerlukan kesabaran.

Selain itu, ramai juga gagal kerana mental yang rapuh. Sekali kalah, mereka cepat putus asa.

Kritikan jurulatih atau sindiran rakan sudah cukup untuk mematahkan semangat.

Sistem & Pemulihan Yang Lemah

Foto : Utusan Malaysia ( Gambar Sekadar Hiasan)

Individu bukan satu-satunya faktor. Ramai atlet juga terhenti kerana kelemahan dalam sistem pembangunan sukan.

Jurulatih kadang-kadang hanya mengejar keputusan cepat supaya kelihatan hebat, bukannya membina potensi jangka panjang.

Laluan dari peringkat akar umbi ke peringkat elit kabur, menyebabkan bakat muda hilang arah.

Lebih parah, aspek pemulihan sering dipandang ringan. Ramai atlet muda dilatih keras tanpa kawalan beban, kurang tidur, nutrisi diabaikan, malah kecederaan ringan tidak dirawat sehingga menjadi kronik.

Tidak hairanlah ramai terhenti bukan kerana kalah, tetapi kerana badan sudah rosak terlalu awal.

Juara dunia menjaga tubuh seperti aset berjuta-juta ringgit, tetapi ramai atlet akar umbi tidak diberi kesedaran itu.

Sumber : Facebook Abas Cak

BACA LAGI : Skechers Friendship Walk 2025 Berjaya Kumpulkan Lebih 8 Ribu Peserta

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain