
Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 tampil dengan pendekatan lebih segar tahun ini apabila buat pertama kalinya menganjurkan KLIMS Run 2026, sebuah acara komuniti yang menggabungkan elemen automotif, gaya hidup aktif dan tanggungjawab sosial dalam satu platform unik.
Acara larian yang berlangsung bersempena inisiatif KL Car-Free Morning itu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta dengan dua kategori larian 5KM dan 7KM di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.
Bermula seawal jam 7 pagi di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KLIMS Run 2026 bukan sekadar acara larian biasa, sebaliknya menjadi simbol kepada evolusi industri automotif moden yang kini semakin dekat dengan elemen gaya hidup, komuniti dan kesejahteraan sosial.
Sebagai acara larian pertama diperkenalkan di bawah kalender pra-acara KLIMS, penganjuran ini selari dengan tema utama KLIMS 2026 iaitu ‘Beyond Mobility’.
Melalui konsep tersebut, KLIMS mahu memperlihatkan bahawa dunia mobiliti hari ini bukan lagi sekadar berkaitan kenderaan semata mata, tetapi turut melibatkan cara manusia berinteraksi, bergerak dan menjalani kehidupan harian.
Acara ini berjaya menghimpunkan pelbagai komuniti termasuk peminat automotif, keluarga, komuniti fitness serta orang awam dalam suasana penuh santai dan bertenaga.
Menurut Presiden Malaysian Automotive Association (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain, sambutan diterima terhadap penganjuran sulung KLIMS Run 2026 sangat memberangsangkan.
“KLIMS sentiasa menjadi platform yang menggerakkan perbincangan mengenai masa depan mobiliti.
“Hari ini, menerusi larian komuniti pertama kami, sambutan diterima amat luar biasa positif.
“Apabila gaya hidup semakin berkembang, mobiliti juga perlu memainkan peranan dalam menghubungkan komuniti, menyokong kesejahteraan dan mencipta pengalaman bersama,” tambahnya lagi.
Apa yang menjadikan KLIMS Run 2026 lebih menarik ialah elemen tanggungjawab sosial yang turut diselitkan dalam acara tersebut.
Seiring komitmen MAA terhadap pembangunan komuniti, sebanyak RM5,000 disumbangkan kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil menerusi kerjasama bersama Selangor Youth Community (SAY).
PUSPEN Dengkil merupakan pusat rehabilitasi di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menyediakan rawatan dan pemulihan kepada individu yang sedang pulih daripada ketagihan dadah.
Menurut pihak penganjur, inisiatif tersebut menjadi sebahagian daripada usaha KLIMS 2026 untuk memperluaskan penglibatan belia dan memperkukuhkan hubungan komuniti secara lebih inklusif.
Mohd Shamsor berkata, KLIMS kini mahu dilihat sebagai platform yang lebih dekat dengan rakyat Malaysia.
“Kami juga bersyukur dapat bekerjasama dengan Selangor Youth Community dalam memperluaskan usaha komuniti menerusi sumbangan kepada PUSPEN Dengkil.
“KLIMS Run 2026 mencerminkan hala tuju lebih luas ini dan menjadi komitmen kami untuk menjadikan KLIMS lebih menarik, mudah diakses dan berorientasikan komuniti,” jelasnya lagi.
Peserta KLIMS Run 2026 turut menerima race kit eksklusif yang merangkumi T-shirt edisi khas, medal penamat, race bib, drawstring bag serta tiket percuma ke KLIMS 2026.
Malah, peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah utama berupa sebuah MacBook Neo.
Gabungan elemen fitness, lifestyle dan automotif ini dilihat memberi pengalaman lebih segar kepada peserta berbanding acara larian konvensional biasa.
Selepas kejayaan KLIMS Run 2026, perhatian kini beralih kepada acara utama Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 21 Jun depan di MITEC Kuala Lumpur.
Kini memasuki edisi ke-11, KLIMS 2026 dijangka menampilkan pelbagai pelancaran model baharu, teknologi mobiliti masa depan dan pameran interaktif daripada jenama automotif tempatan serta antarabangsa.
Selain kenderaan, KLIMS juga bakal menampilkan evolusi lebih luas dunia mobiliti moden termasuk pengangkutan mikro, peralatan pengecas EV, komponen automotif dan teknologi pengangkutan pintar.
BACA: Persediaan Sebelum Mula Ceburkan Diri Dalam Aktiviti Trail Running
Penganjuran KLIMS Run 2026 secara tidak langsung menunjukkan bagaimana industri automotif moden kini semakin bergerak ke arah pendekatan lebih lifestyle-driven.
Ia bukan lagi sekadar tentang kereta atau teknologi, tetapi bagaimana mobiliti boleh menjadi sebahagian daripada kesejahteraan, komuniti dan pengalaman hidup masyarakat moden.
Dan melihat sambutan yang diterima, KLIMS Run mungkin menjadi permulaan kepada lebih banyak aktiviti gaya hidup berteraskan automotif pada masa akan datang.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.