Sukan

KLSCM Bukan Sekadar Maraton, Tapi Titik Pertemuan Komuniti Larian Malaysia – Rainer Biemans, Pengarah Projek KLSCM

Share

Bertindak sebagai salah seorang individu paling penting di sebalik Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon, Rainer Biemans mempunyai perspektif yang cukup bernilai dan juga penting dalam sukan larian di negara kita.

Bagi Rainer Biemans yang juga Pengarah Projek Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) merangkap Pengarah Dirigo Events, pertumbuhan serta populariti aktiviti larian berlaku bukan sekadar kebetulan. Jelasnya, ia mencerminkan bagaimana hubungan masyarakat dengan sukan larian sendiri sudah berubah.

Pengarah Projek Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) merangkap Pengarah Dirigo Events, Rainer Biemans

Baru-baru ini MASKULIN sempat menemu bual beliau secara eksklusif untuk mendapatkan padangan serta perkongsiannya tentang beberapa topik tentang larian.

Beberapa tahun lalu, berlari mungkin lebih mudah dikaitkan dengan aktiviti individu. Sarung sahaja kasut, pakai jam, pilih laluan dan habiskan beberapa kilometer seorang diri.

Berbeza pada hari ini, di mana landskap itu berubah dengan begitu pantas. Kelab-kelab larian tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di bandar-bandar utama. Aktiviti larian berkumpulan memenuhi jalan pada hujung minggu dan acara seperti maraton menjadi titik pertemuan sebuah komuniti yang semakin besar.

Menurutnya, larian kekal sebagai antara aktiviti yang paling mudah untuk dimulakan. Namun kehadiran media sosial menjadikannya jauh lebih kelihatan dan membuka ruang kepada orang ramai melihat larian daripada pelbagai perspektif.

“Orang hari ini berkongsi tentang larian bukan sekadar sebagai aktiviti kecergasan, tetapi sebagai satu sasaran, ruang untuk melepaskan diri seketika daripada kesibukan bagi mencari ketenangan, atau sebagai aktiviti sosial,” jelasnya.

Di sinilah kelab larian memainkan peranan. Ia mengumpulkan individu dengan minat sama dan, lebih penting, mewujudkan rasa bahawa seseorang itu menjadi sebahagian daripada sebuah komuniti.

Bila KLSCM Jadi ‘Hari Raya Larian’

Hubungan antara komuniti dan acara larian besar pula semakin kuat.

Bagi KLSCM sendiri, Rainer melihat sudah wujud hubungan emosi yang cukup istimewa antara acara tersebut dengan pelari tempatan. Malah, ada yang menggelarnya sebagai “Hari Raya larian”.

“KLSCM digelar dengan penuh kasih sayang sebagai ‘Hari Raya larian’. Perkara itu sangat menyentuh hati kami apabila komuniti tempatan melihat KLSCM sebagai sebuah acara perayaan untuk bertemu semula dengan keluarga besar larian dari seluruh dunia,” katanya.

Perubahan ini menunjukkan bahawa maraton tidak lagi semata-mata berkisar tentang catatan masa.

Bagi sebahagian peserta, ia mungkin menjadi hari untuk mengejar rekod peribadi. Bagi yang lain, ia peluang bertemu rakan larian, meraikan perjalanan latihan selama berbulan-bulan atau sekadar menikmati pengalaman berkongsi jalan raya bersama ribuan pelari.

Kelab Larian Bukan Sekadar Tempat Berlatih

Fenomena kelab larian turut berkembang jauh melepasi fungsi asal sebagai tempat berkumpul untuk berlatih.

Menurut Rainer, setiap kelab mempunyai identiti tersendiri. Ada yang benar-benar berorientasikan prestasi dan mahu meningkatkan kemampuan ahli untuk bersaing. Ada pula lebih menekankan aspek sosial dan peluang membina rangkaian.

Namun akhirnya, hampir semua kelab menawarkan sesuatu yang sama iaitu peluang membina hubungan baharu.

“Setiap kelab larian akhirnya memberi peluang kepada seseorang untuk mendapat kawan baharu dan terlibat dalam aktiviti sosial. Kemudian ada kelebihan latihan berkumpulan, apabila tenaga kolektif itu mendorong seseorang untuk hadir berlatih, mengikuti rutin dan beraksi lebih baik dalam pelbagai aspek,” katanya.

Faktor inilah yang turut menjelaskan mengapa larian semakin popular dalam kalangan generasi muda di kawasan bandar.

Kesedaran terhadap kesihatan semakin tinggi, sementara akses terhadap kemudahan sukan, jam pintar, aplikasi latihan, pilihan makanan sihat, fisioterapi dan urutan sukan juga semakin mudah.

Media sosial pula berfungsi seperti papan kenyataan besar dalam telefon. Acara baharu, kumpulan larian, kasut, teknik latihan dan servis pemulihan boleh ditemui dalam beberapa sentuhan sahaja.

Run Club Challenge Buka Ruang Kepada Bakat Baharu

Melihat perkembangan itu, KLSCM turut memperkenalkan Run Club Challenge sebagai platform khusus kepada komuniti.

Menurut Rainer, inisiatif tersebut memberikan ruang kepada pelari yang lebih kompetitif untuk menguji dan menonjolkan kemampuan masing-masing.

“Kami bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan komuniti larian dengan menyediakan platform yang membolehkan mereka mengasah dan mempamerkan kemampuan. Run Club Challenge memberi peluang kepada pelari lebih kompetitif dalam kelab larian untuk menyerlah dan kami berharap ia juga membantu kami menemukan lebih ramai bakat baharu,” katanya.

Namun menariknya, Rainer tidak melihat pertambahan kelab larian sebagai satu bentuk persaingan antara komuniti.

Sebaliknya, setiap kelab saling melengkapi kerana mempunyai falsafah dan fokus yang berbeza.

Mengapa KLSCM Terus ‘Sold Out’?

Sambutan luar biasa terhadap KLSCM setiap tahun pula, menurut Rainer, tidak boleh dipisahkan daripada pengalaman perlumbaan itu sendiri.

KLSCM merupakan maraton pertama dan satu-satunya di Malaysia yang diiktiraf sebagai World Athletics Elite Label Race. Pengiktirafan itu datang dengan pelbagai piawaian ketat termasuk keselamatan atlet, pengurusan perlumbaan, pematuhan antidoping, hadiah wang tunai, pengurusan atlet elit serta usaha mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Bagi peserta, semua itu diterjemahkan kepada sebuah perlumbaan berskala besar di tengah Kuala Lumpur dengan puluhan ribu pelari.

Pertumbuhan ini juga jauh melebihi jangkaan awal ketika acara tersebut bermula pada 2009.

“Kami tidak menjangkakannya pada tahun-tahun awal. Pertumbuhan mula menjadi lebih pantas sekitar 2012 dan kami meningkatkan jumlah peserta sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Namun jumlah peserta tidak boleh ditambah tanpa had.

“Kami tidak mahu melakukan peningkatan yang drastik kerana kami masih mahu KLSCM selesa untuk dilalui. Lebih ramai mahu mengambil bahagian, tetapi kami perlu mengambil kira keselamatan dan keselesaan semua orang.”

Pelari Malaysia Kini Lebih Bersedia

Satu perubahan lain yang diperhatikan Rainer ialah peningkatan kadar peserta yang berjaya menamatkan perlumbaan.

Baginya, itu petanda pelari hari ini semakin bersedia dan serius terhadap latihan mereka.

Teknologi, kemudahan latihan dan servis pemulihan juga jauh lebih baik berbanding sedekad lalu. Data perlumbaan yang disediakan selepas KLSCM pula membolehkan pelari menganalisis prestasi, mengenal pasti kelemahan atau sekadar meraikan pencapaian masing-masing.

Dengan ekosistem sebegitu, Rainer percaya Malaysia tidak lagi sekadar mempunyai “potensi” untuk menjadi hab larian utama rantau ini.

“Saya percaya Malaysia sudah pun menjadi salah satu hab larian utama di Asia Tenggara,” katanya.

Ke hadapan, cabarannya adalah memastikan kualiti acara terus meningkat seiring kematangan komuniti.

Rainer turut berharap sektor swasta memainkan peranan lebih besar menerusi penajaan kerana menganjurkan sebuah maraton berkualiti tinggi memerlukan kos besar dan yuran pendaftaran semata-mata tidak mampu menampung keseluruhan perbelanjaan.

BACA: ASICS Raikan Semangat Larian Malaysia, Perkenal Koleksi KLSCM 2026 & 42 ‘Pacer’ Rasmi

Daripada sebuah aktiviti yang pernah dianggap sunyi dan individualistik, larian kini menjadi ruang mencari komuniti, persahabatan dan identiti.

Dan mungkin itulah sebab terbaik mengapa pada satu hujung minggu setiap tahun, puluhan ribu pelari sanggup bangun sebelum matahari terbit untuk berkumpul di tengah Kuala Lumpur.

Bukan semuanya datang untuk menang.

Ada yang sekadar mahu kembali bertemu “keluarga” larian mereka.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Published by
Farizul Izwany Ibrahim