Legenda Heavyweight Joe Bugner Meninggal Dunia Pada Usia 75 Tahun

Share

Dunia tinju kehilangan satu lagi lagenda. Joe Bugner, bekas juara heavyweight Britain yang pernah berdiri sebaris dengan nama-nama besar seperti Muhammad Ali dan Joe Frazier, disahkan meninggal dunia di Brisbane, Australia pada usia 75 tahun.

Bugner yang dilahirkan di Hungary pada 1950, berhijrah ke Britain sebagai pelarian kanak-kanak selepas keluarganya melarikan diri daripada pencerobohan Soviet. Dari situ bermula perjalanan luar biasa seorang lelaki yang membina nama dalam arena paling kejam – dunia tinju heavyweight.

Kerjaya Penuh Warna

Pada 1971, Bugner mencipta kejutan apabila menewaskan jaguh British, Henry Cooper, dalam pertarungan kontroversi melalui keputusan mata yang diperdebatkan. Kemenangan itu membolehkan beliau bergelar juara British, Komanwel dan Eropah sekali gus menjadi perhatian dunia.

Dalam karier sepanjang 32 tahun, Bugner mencatat 69 kemenangan daripada 83 pertarungan, termasuk 41 melalui tumbukan KO. Beliau tewas dua kali kepada Muhammad Ali, termasuk ketika mencabar gelaran dunia, dan juga sekali kepada Joe Frazier. Bugner turut menentang nama besar lain seperti Ron Lyle, Earnie Shavers serta Frank Bruno.

Walaupun bersara selepas kekalahan kepada Bruno pada 1987, Bugner membuat kemunculan semula lapan tahun kemudian kerana masalah kewangan. Pada usia 48 tahun, beliau masih membuktikan ketahanan fizikal apabila meraih gelaran heavyweight Australia serta tali pinggang WBF.

Dari Britain ke Australia

Jika di Britain kariernya sering dilihat suram tanpa sokongan padu, di Australia Bugner diraikan sebagai wira. Gelarannya berubah menjadi “Aussie Joe”

, satu identiti yang lebih dekat di hati rakyat sana.

Selepas meninggalkan gelanggang pada 1999, beliau terlibat dalam industri filem dan televisyen termasuk program popular I’m A Celebrity…Get Me Out Of Here! pada 2009. Namun, tahun-tahun terakhir hidupnya dihabiskan di sebuah rumah jagaan di Brisbane setelah disahkan menghidap demensia.

Tribul & Legasi

Promoter terkenal, Frank Warren menzahirkan penghormatan di platform X dengan menyifatkan Bugner sebagai insan hebat yang meninggalkan impak besar dalam dunia tinju. Lembaga Kawalan Tinju British turut merakamkan takziah kepada keluarga dan menyifatkan beliau sebagai bekas juara British, Eropah dan Komanwel yang disegani.

Pemergian Joe Bugner bukan sekadar kehilangan seorang atlet, tetapi simbol ketabahan lelaki sejati. Kisahnya membuktikan bahawa kekuatan bukan hanya pada penumbuk, tetapi pada keberanian untuk terus berdiri walau dunia tidak selalu menyokong.

Published by
Nana