Sukan

Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 Tarik Lebih 2,700 Pelari Dari 63 Negara Ke Taiping

Share

Taiping bakal menjadi tumpuan komuniti larian denai antarabangsa apabila lebih 2,700 peserta dari 63 negara sudah mengesahkan penyertaan dalam Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026, menjelang edisi ketiganya yang akan berlangsung dari 10 hingga 13 September ini.

Daripada jumlah tersebut, lebih 1,000 merupakan pelari antarabangsa, sekali gus memperlihatkan peningkatan daya tarikan acara yang menjadi satu-satunya perlumbaan UTMB World Series di Malaysia. Acara berpusat di Dataran Warisan Taiping itu merupakan sebahagian daripada UTMB World Series 2026 yang merangkumi 64 acara di 23 negara.

Pengarah Perlumbaan Malaysia Ultra-Trail by UTMB, Ewegene Tan berkata sambutan daripada peserta antarabangsa menunjukkan perkembangan positif acara tersebut sejak bermula sebagai Malaysian Mountain Trail Festival pada 2018 sebelum menyertai UTMB World Series pada 2024.

“Ketika kami bermula, cita-cita kami bukan sekadar untuk menganjurkan satu lagi perlumbaan denai. Kami mahu membawa acara antarabangsa ke Malaysia yang dapat menghubungkan pelari kita dengan komuniti larian denai dunia, sambil memperlihatkan apa yang Taiping dan Malaysia mampu tawarkan.

“Melihat pelari dari 63 negara sudah bersedia untuk datang ke sini sangat menggalakkan. Lebih penting, pendaftaran masih dibuka, jadi kami berharap dapat menyambut penyertaan yang lebih besar dan lebih pelbagai pada September nanti.

“Mereka bukan sekadar datang untuk berlumba. Mereka akan merasai sendiri hutan hujan kita, laluan denai, warisan dan Taiping itu sendiri. Itulah yang menjadikan Malaysia Ultra-Trail by UTMB istimewa,” katanya.

Lima Kategori Untuk Pelbagai Tahap Pelari

Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 menawarkan lima kategori iaitu MY100, MY50, MY25, MY13 dan MYKIDS.

Kategori utama MY100 membabitkan jarak 97.7 kilometer dengan jumlah pendakian 4,802 meter, merangkumi gabungan laluan teknikal dan bukan teknikal melalui hutan hujan tropika termasuk kawasan hutan dara di sekitar Bukit Larut.

MY50 pula menawarkan jarak 54.5km dengan pendakian 1,977m, manakala MY25 sepanjang 25.9km mempunyai pendakian 1,012m serta dua lintasan sungai. MY13 diperkenalkan sebagai kategori “Freshman Run” untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan larian denai, sementara MYKIDS memberi peluang kepada peserta termuda merasai pengalaman sukan tersebut.

Tahun ini, cabaran Vertical Kilometre atau VK turut mengalami perubahan apabila dimasukkan sebagai sebahagian daripada MY100 dan tidak lagi dipertandingkan sebagai kategori berasingan. Pelari lelaki dan wanita terpantas di segmen VK yang kemudian berjaya menamatkan MY100 akan diberikan pengiktirafan khas.

Laluan Dari Taiping Ke Chamonix

Bagi pelari Malaysia yang memasang impian beraksi di pentas terbesar larian denai dunia, perlumbaan di Taiping turut menyediakan laluan menuju UTMB World Series Finals di Chamonix, Perancis.

Tiga pelari lelaki dan wanita terbaik MY100 bakal mendapat penyertaan terus ke CCC 2027, kategori 100K di UTMB World Series Finals. Tiga terbaik lelaki dan wanita dalam MY50 pula akan memperoleh penyertaan terus ke OCC bagi kategori 50K.

Selain itu, setiap peserta yang menamatkan MY100 akan memperoleh tiga Running Stones, dua untuk penamat MY50 dan satu untuk MY25, sekali gus meningkatkan peluang mereka dalam sistem cabutan penyertaan ke UTMB World Series Finals.

“Bagi pelari Malaysia, perjalanan ke Chamonix boleh bermula di sini, di Taiping.

“Anda tidak semestinya perlu pergi ke luar negara untuk mula mengejar impian tersebut. Beraksi dengan baik di sini dan ada laluan terus ke Finals, sementara menamatkan perlumbaan itu sendiri boleh memberikan anda Running Stones yang membawa anda selangkah lebih dekat.

“Pada masa sama, kami mengalu-alukan pelari dari seluruh dunia. Jadi Taiping bukan sahaja memberikan rakyat Malaysia akses kepada UTMB World Series, tetapi turut menjadi lokasi di mana pelari antarabangsa boleh mengejar impian mereka untuk ke Chamonix,” katanya.

Pelari Malaysia sebelum ini sudah membuktikan kemampuan bersaing. Pada edisi sulung 2024, Milton Amat menduduki tempat ketiga keseluruhan MY100 dengan catatan 12 jam 02 minit 18 saat, manakala Wilsen Singgin memenangi MY50 dengan masa 6:28:24.

Pada tahun lalu pula, Sua Yih Huan menjadi pelari lelaki Malaysia terbaik MY100 dengan catatan 14:02:57, manakala Rejlen James menjadi pelari wanita negara terbaik dengan masa 18:40:40.

Pelari Elit Antarabangsa Turut Turun

Edisi kali ini sekali lagi dijangka menampilkan persaingan antarabangsa yang sengit.

Antara nama dalam MY100 ialah Arjun Rai dari Nepal, Zhaoying Lu dari China, Yutaro Yokouchi dan Mika Taniguchi dari Jepun serta So Kit Ying dari Hong Kong.

MY50 pula bakal menampilkan antaranya Erqing Wu dan Yue Cui dari China, Lim Jia Jen dari Malaysia, Evan Bordeau dari Perancis, Catherine Hicks dari Britain, Ho Ting Yu dari Hong Kong dan Chen Yi Ling dari Taiwan.

Acara tersebut turut membuka ruang kepada atlet adaptif. Renson Embradura dari Filipina, seorang pelari berkaki satu, bakal mencabar kategori MY25, manakala pelari pekak dari Indonesia, Yuni Warzuqni, turut dijangka mengambil bahagian.

“Kami mahu ini menjadi sebuah acara yang menunjukkan bahawa larian denai adalah untuk semua orang.

“Sama ada anda seorang pelari elit yang mengejar Chamonix, seseorang yang mencuba ultra buat kali pertama, atlet adaptif atau kanak-kanak yang mengenali larian denai menerusi MYKIDS, seharusnya ada tempat untuk anda di sini.

“Itulah sebenarnya maksud slogan UTMB, ‘Meet Your Extraordinary’, bagi kami. Maksud luar biasa itu berbeza bagi setiap pelari,” kata Tan.

Lebih Daripada Sekadar Perlumbaan

Penganjur turut memberikan perhatian kepada aspek kelestarian menerusi inisiatif UTMB for the Planet termasuk mengehadkan plastik sekali guna, pengasingan sisa dan penanaman semula pokok.

Sejak 2022, lebih 5,500 pokok telah ditanam semula di sekitar Bukit Larut dan Taman Tasik Taiping, sementara inisiatif RIMBA UTMB membolehkan peserta menyumbang kepada usaha penghutanan semula.

Acara tersebut turut dilaporkan menjana sumbangan sosioekonomi melebihi RM20 juta setiap tahun kepada Taiping dan komuniti sekitarnya menerusi pelancongan sukan.

BACA: Ramadan Ondash Tolak Pertarungan Semula Dengan Johan Ghazali

“Bagi kami, kejayaan bukan hanya diukur melalui jumlah pelari yang melintasi garisan permulaan.

“Kami mahu acara ini meninggalkan sesuatu buat Taiping — untuk perniagaannya, komunitinya dan alam sekitarnya.

“Jika kami dapat membawa orang dari seluruh dunia ke sini, memberikan pelari Malaysia laluan menuju pentas terbesar larian denai dan pada masa sama menghasilkan impak positif kepada bandar yang menjadi tuan rumah, maka kami tahu kami sedang bergerak ke arah yang betul,” katanya.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Published by
Farizul Izwany Ibrahim