
Foto : Berita Harian
Bagi kebanyakan orang, mandi setiap hari sudah jadi satu kewajipan.
Tambahan pula dengan cuaca tropika di Malaysia yang panas dan lembap, mandi bukan sahaja buat badan rasa bersih, malah menyegarkan minda.
Namun, di sebalik rasa segar itu, ada sesuatu yang ramai tak tahu mandi terlalu kerap boleh mengundang masalah pada kulit.
Kulit manusia direka dengan sistem perlindungan semula jadi.
Ia menghasilkan minyak semula jadi atau sebum yang berfungsi mengekalkan kelembapan dan melindungi kulit daripada bakteria berbahaya.
Bila kita mandi terlalu kerap, terutama menggunakan sabun yang kuat atau air panas, lapisan pelindung ini mudah terhakis.
Kesannya, kulit menjadi terlalu kering, hilang kelembapan, malah lebih sensitif terhadap persekitaran.
Antara kesan utama mandi terlalu kerap ialah masalah kulit kering.
Bila kulit kering, garis halus dan kedutan lebih cepat muncul, menjadikan kita kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.
Bukan itu sahaja, kulit yang terlalu kering juga boleh menyebabkan ekzema menjadi lebih teruk atau mencetuskan alahan.
Mandi dengan air panas pula walaupun menenangkan, boleh melemahkan lapisan pelindung kulit.
Jika dilakukan setiap hari, ia menjadikan kulit kehilangan kelembapan dengan lebih cepat.
Ditambah pula dengan penggunaan sabun antibakteria atau sabun wangi yang terlalu keras, kulit bukan sahaja hilang minyak semula jadi, malah boleh menjadi kasar dan tidak selesa.
Ada juga individu yang mandi lebih daripada dua kali sehari hanya kerana rasa melekit.
Walaupun niatnya baik, kebiasaan ini sebenarnya tidak perlu jika badan tidak berpeluh berlebihan.
Hakikatnya, mandi itu penting untuk kebersihan tubuh, tetapi yang lebih penting ialah cara kita mandi.
Mandi sekali atau dua kali sehari sudah memadai, bergantung pada aktiviti harian.
Gunakan air suam berbanding air panas, elakkan sabun yang terlalu keras, dan jangan mandi terlalu lama.
Selepas mandi, jangan lupa sapukan pelembap bagi memastikan kulit sentiasa terhidrat dan sihat.
Bagi yang mahu kekal segar tanpa mandi berlebihan, gunakan alternatif mudah seperti tisu basah tanpa alkohol atau sekadar membasuh bahagian tubuh tertentu.
Dengan cara ini, kulit tetap terlindung tanpa perlu berkompromi dengan kebersihan.
Kesimpulannya, mandi bukanlah sesuatu yang buruk, malah ia rutin penting dalam kehidupan seharian.
Cuma, jika dilakukan terlalu kerap, ia boleh merosakkan keseimbangan semula jadi kulit.
Jadi, jagalah kulit dengan bijak mandi secukupnya, bukan berlebihan.
BACA LAGI : Bukan Orang Tua Sahaja, Dr Say Dedah Ramai Lelaki Muda Hadapi Mati Pucuk
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.