
Dunia hiburan tanah air menerima khabar duka apabila pelakon Cico Harahap meninggal dunia pada usia 48 tahun di Hospital Ampang, kira-kira pukul 11 pagi, 8 November 2026.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez. Cico dilaporkan menerima rawatan di hospital sejak kira-kira seminggu lalu selepas mengalami kesukaran bernafas.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Allahyarham pernah menghiasi pelbagai filem dan drama tempatan. Berikut lima fakta mengenai Cico Harahap.
1. Anak kepada penyanyi legenda Uji Rashid
Cico Harahap merupakan anak kepada penyanyi dan pelakon veteran, Uji Rashid. Nama sebenar Allahyarham ialah Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin.
Mengikuti jejak ibunya dalam industri hiburan, Cico memilih bidang lakonan dan membina kerjaya menerusi penampilan di layar perak serta kaca televisyen.

2. Mula berlakon sejak 1993
Perjalanan seni Allahyarham bermula sekitar tahun 1993 menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir, memegang watak sebagai Yusman ketika kecil (lakonan Jamal Abdillah). Filem tersebut menjadi titik permulaan penglibatannya dalam bidang lakonan sebelum beliau muncul dalam beberapa lagi produksi tempatan sepanjang tahun-tahun berikutnya.
3. Dikenali menerusi filem Puteri Impian
Nama Cico semakin dikenali menerusi filem Puteri Impian (1997), apabila beliau membawakan watak Zulkifli atau Zul di samping Amy Mastura. Allahyarham turut muncul dalam sekuelnya, Puteri Impian 2 (1998). Kedua-dua filem arahan Aziz M. Osman itu merupakan antara karya ikonik yang mewarnai perjalanan kerjaya lakonannya.
4. Pernah berlakon dalam lebih 17 filem
Selain Puteri Impian, Cico turut membintangi lebih 17 filem lain seperti Anak Mami, Anak Mami Telah Kembali, Jutawan Fakir, Potert Mistik dan Kuliah Cinta.
Allahyarham juga disenaraikan dalam barisan pelakon filem antarabangsa bertajuk Operation Mekong pada 2016. Menurut senarai pelakon IMDb, beliau membawakan watak “Naw Khar’s Man”, iaitu orang bawahan Naw Khar.
5. Berdepan masalah kesihatan sejak penghujung 2016
Allahyarham dilaporkan mula berdepan masalah kesihatan sejak akhir 2016. Sepanjang tempoh tersebut, ibunya turut berusaha mendapatkan rawatan buat beliau.
Sebelum meninggal dunia, Cico dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami kesukaran bernafas, kemudian dipindahkan ke wad biasa pada Khamis, 5 November 2026. Bagaimanapun, menurut kenyataan yang dilaporkan, punca kematian Allahyarham ketika itu masih belum dapat dikenal pasti.
Salam takziah buat Uji Rashid serta seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh Cico Harahap dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
BACA JUGA: Aniq Suhair Genggam Ijazah Sarjana Muda, Kesibukan Berkerjaya Bukan Penghalang Mengejar Ilmu

je senang
