
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang terus memberikan sokongan kepadanya ketika melalui proses perundangan berkaitan insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mohd Shuhaily, 54, berkata doa dan mesej yang diterimanya daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadi antara sumber kekuatan untuk berdepan proses berkenaan.
“Jutaan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberi sokongan daripada sudut doa dan kiriman mesej.”
“Itu yang membuatkan saya mempunyai kekuatan dan juga keyakinan dalam meneruskan proses perundangan ini,” memetik kenyataannya menerusi Astro Awani pada sidang media ringkas di lobi Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, pagi ini.
Beliau hadir ke kompleks mahkamah sekitar jam 7.30 pagi dengan mengenakan sut dan kemudiannya dilihat bersarapan di kantin sebelum prosiding bermula.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Serah Kepada Mahkamah Tentukan Proses Seterusnya
Mohd Shuhaily dalam kenyataannya tidak mahu mengulas lebih panjang mengenai kes tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk melaksanakan proses perundangan mengikut aturan yang ditetapkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kemunculannya di hadapan media pagi ini merupakan kali terakhir beliau akan bercakap secara terbuka berhubung perkara berkenaan.

“Ini adalah sidang media terakhir saya berhubung proses perundangan ini. Selepas proses di mahkamah selesai nanti, peguam saya akan bercakap bagi pihak saya,” katanya.
Kawalan keselamatan di sekitar kompleks mahkamah turut dipertingkatkan dengan kehadiran anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Hanya kakitangan mahkamah dan polis dibenarkan meletakkan kenderaan di dalam kawasan berkenaan.
Mengaku Tidak Bersalah Atas Dua Pertuduhan
Dalam prosiding hari ini, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis dalam kejadian di Terminal 1 KLIA pada 28 September lalu.
Dua anggota terbabit ialah Mohamad Faiz Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM3,000 dengan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November.
Kes Bermula Selepas Video Tular
Kes berkenaan mula mendapat perhatian selepas rakaman video yang memaparkan satu konfrontasi membabitkan Mohd Shuhaily dan dua anggota polis di Terminal 1 KLIA tersebar di media sosial.
Siasatan kemudiannya dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dengan keterangan daripada 25 saksi direkodkan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Pada 17 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara meminta beberapa penambahbaikan terhadap kertas siasatan termasuk penjelasan tambahan serta tindakan lanjut sebelum keputusan pendakwaan dibuat.
BACA: Sekali Lafaz, Bella Astillah & Syed Saddiq Sah Bergelar Suami Isteri Di Merdeka 118
Mohd Shuhaily sebelum ini juga menyatakan kesediaannya untuk berdepan proses undang-undang dan menerima keputusan yang dibuat berkaitan kes tersebut.
Dengan pertuduhan kini telah dikemukakan di mahkamah dan Mohd Shuhaily memilih untuk dibicarakan, kes berkenaan seterusnya akan melalui proses kehakiman bagi menentukan pertuduhan yang dihadapinya.
Sumber: Astro Awani, Harian Metro, BERNAMA
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
