
Apa yang sepatutnya menjadi antara pencapaian terbesar dalam hidup seorang pelari bertukar menjadi tragedi apabila seorang wanita berusia 24 tahun meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai New York City Marathon 2026.
Rachel Apa, berasal dari Lewisberry, Pennsylvania, sedang menghampiri batu ke-24 daripada keseluruhan perlumbaan maraton sejauh 42.195 km ketika dia mengalami kecemasan perubatan di Central Park pada Ahad lalu. Garisan penamat ketika itu hanya berbaki sedikit lebih kurang tiga kilometer.
Lebih menyedihkan, perlumbaan tersebut merupakan maraton pertama Rachel dan disertainya bukan sekadar untuk menguji kemampuan fizikal. Bekas pemain hoki padang Bucknell University itu berlari bagi mengumpul dana untuk usaha memerangi penyakit Parkinson sebagai penghormatan kepada datuknya yang meninggal dunia pada 2022.
Menurut Polis New York, Rachel mengalami kecemasan perubatan berhampiran batu ke-24 sebelum diberikan bantuan di lokasi. Dia kemudiannya dibawa dalam keadaan kritikal ke Mount Sinai Hospital, namun meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Orang Awam Bergilir Berikan CPR
Detik selepas Rachel rebah menyaksikan beberapa individu yang berada berhampiran segera tampil membantu. Dua orang yang dipercayai doktor antara mereka yang melakukan CPR sebelum pasukan perubatan acara tiba dan mengambil alih rawatan.
New York Road Runners (NYRR), organisasi yang menganjurkan New York City Marathon, memaklumkan bahawa petugas perubatannya meneruskan CPR dan turut menggunakan alat Automated External Defibrillator (AED) sebelum paramedik membawa Rachel ke hospital.
Laporan berdasarkan rakaman dan gambar bertanda masa daripada penonton menunjukkan Rachel dipercayai rebah sekitar jam 1.33 petang waktu tempatan. Pasukan perubatan dilaporkan tiba beberapa minit selepas itu dan defibrilator digunakan dalam usaha menyelamatkannya.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan, Rachel akhirnya tidak dapat diselamatkan.
NYRR dalam satu kenyataannya berkata, “Kami amat berdukacita atas pemergian Rachel selepas menyertai perlumbaan pada Ahad. Ingatan dan simpati tulus kami bersama keluarga, rakan-rakannya serta seluruh komuniti larian.”
Menurut NYRR, kali terakhir seorang peserta New York City Marathon meninggal dunia selepas mengalami kecemasan perubatan ketika acara berlangsung adalah pada 2024.
Bapa Dakwa Rhabdomyolysis Jadi Punca
Walaupun pejabat pemeriksa perubatan New York masih belum mengumumkan keputusan rasmi mengenai punca kematian Rachel, bapanya, Steve Apa, memberitahu media bahawa anaknya mengalami rhabdomyolysis atau sering dipanggil rhabdo.
Ia merupakan keadaan serius apabila tisu otot mengalami kerosakan dan pecah sehingga kandungan daripada sel otot dilepaskan ke dalam aliran darah.
Cleveland Clinic menjelaskan, “Apabila perkara ini berlaku, komponen toksik daripada serat otot memasuki sistem peredaran darah dan buah pinggang. Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.”
Rhabdomyolysis boleh berlaku akibat beberapa faktor termasuk kecederaan, penggunaan ubat tertentu, masalah kesihatan tertentu dan aktiviti fizikal yang terlalu intensif.

Senaman berintensiti tinggi, dehidrasi teruk dan keadaan badan terlalu panas juga disenaraikan sebagai antara faktor yang boleh meningkatkan risiko kerosakan otot.
Antara simptom yang boleh berlaku termasuk kelemahan otot, kesakitan atau kekejangan luar biasa, bengkak dan perubahan warna air kencing menjadi gelap seperti teh. Dalam keadaan tertentu, seseorang juga boleh mengalami dehidrasi, pengurangan pengeluaran air kencing atau kehilangan kesedaran.
Namun dalam kes Rachel, punca rasmi kematian belum dimuktamadkan oleh pemeriksa perubatan, justeru dakwaan rhabdomyolysis setakat ini datang daripada maklumat yang diberikan keluarganya berdasarkan penjelasan doktor.
Seorang Atlet Yang Aktif Sepanjang Hidup
Usia Rachel yang masih muda serta latar belakangnya sebagai atlet menjadikan tragedi ini lebih mengejutkan.
Dia pernah beraksi selama empat tahun bersama pasukan hoki padang Bucknell University dan membuat 63 penampilan dengan 42 daripadanya sebagai pemain utama, selain merekodkan 17 gol dan enam bantuan gol sepanjang karier universitinya. Rachel juga dua kali disenaraikan dalam Patriot League Academic Honor Roll.
USA Field Hockey is deeply saddened by the passing of Rachel Apa, a former @Bucknell_FH student-athlete and member of the Red Land High School and @CentralPennFH communities. We extend our heartfelt condolences to her family, friends, teammates, coaches & all those who knew her. https://t.co/aM0XsiR5Ir
— USA Field Hockey (@USAFieldHockey) November 3, 2026
Dia menamatkan pengajian di Bucknell pada 2024 sebelum bekerja sebagai pengurus produk di syarikat komponen elektronik TE Connectivity. Dalam masa sama, Rachel baru sahaja memulakan pengajian MBA di Charleston Southern University.
Bapanya menggambarkan Rachel sebagai seorang yang berada dalam keadaan kesihatan dan kecergasan baik sebelum perlumbaan tersebut. Malah, Rachel dilaporkan sudah menjalani latihan selama beberapa bulan untuk mempersiapkan dirinya menghadapi maraton pertama itu.
Berlari Kerana Datuk Yang Menghidap Parkinson
Di sebalik cabaran menamatkan 42.195 kilometer, ada sebab peribadi yang mendorong Rachel berada di garisan permulaan New York City Marathon.
Dia berlari sebagai sebahagian daripada pasukan Parkinson’s Champions bagi mengumpul dana untuk Parkinson’s Foundation.
Dalam perkongsian di LinkedIn beberapa bulan sebelum perlumbaan, Rachel menulis:
“Memilih sebuah yayasan yang benar-benar bermakna kepada saya adalah sesuatu yang penting. Datuk saya merupakan salah seorang contoh teladan saya ketika membesar. Dia mengajar saya supaya sentiasa aktif, menguji batas kemampuan diri dan menerima cabaran.”
Datuknya meninggal dunia pada 2022 selepas menghidap Parkinson. Rachel pernah berkongsi bagaimana dia melihat penyakit tersebut sedikit demi sedikit mengambil kebebasan bergerak yang begitu dihargai datuknya.
BACA: HYROX Kuala Lumpur 2026 Tidak Akan Diluluskan KBS, Jika Tajaan Alkohol Tidak Ditarik Balik
Sasaran awal kutipan Rachel hanyalah AS$4,000, namun selepas berita pemergiannya tersebar, sumbangan yang diterima melonjak jauh melepasi jumlah sasaran tersebut. Laporan pada Selasa menyatakan dana terkumpul sudah melebihi AS$28,000.
Apa yang pada awalnya merupakan cabaran peribadi akhirnya menjadi satu penghormatan besar kepada perjuangan yang mahu dibawanya.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
