Ads

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026

head of content and innovation FIEZREEN AHMAD konsep & penyelaras FARIZUL IZWANY perletakan grafik & arahan seni ZULSAIFUL ABD AZIS teks FARIZUL IZWANY fotografi NURUL NIZA SUHAIMI suntingan foto HEZRY ROKMAN videografi NI Studio suntingan video MIRUL penata gaya ARIF YUSOFF solekan & dandanan AYANG KAMEL, HELMY SHARIP & FAIZAL AZHAR

Apabila berbicara tentang sepak takraw di Malaysia, sukan ini membawa nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar pertandingan antara dua pasukan di dalam gelanggang.

Ada sejarah, nostalgia dan identiti yang cukup dekat dengan masyarakat kita. Daripada permainan di kampung dan halaman sekolah, sepak takraw berkembang menjadi sebuah sukan kompetitif yang kini semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Dalam banyak keadaan, ia sudah menjadi sebahagian daripada jati diri sukan Malaysia.

Kini, momentum itu memasuki fasa yang cukup menarik.

Perkembangan CelcomDigi Sepak Takraw League atau STL 2026 memperlihatkan bagaimana sukan tradisional ini berjaya melalui proses transformasi menjadi sebuah liga profesional dengan daya tarikan yang semakin luas.

Kehadiran Astro sebagai antara rakan korporat dan penyiar turut membantu membawa aksi sepak takraw lebih dekat kepada penonton, khususnya generasi muda.

Jadi sebenarnya, tidak sukar untuk kita melihat impaknya.

Setiap kali kejohanan berlangsung, venue pertandingan dipenuhi penyokong daripada pelbagai peringkat usia. Kanak-kanak, remaja, keluarga dan peminat tegar hadir untuk menyaksikan sendiri aksi pemain yang suatu ketika dahulu mungkin hanya dikenali dalam komuniti sepak takraw.

The Golden Tigers Masuki Era Baharu

Perkembangan positif liga tempatan bergerak seiring dengan kebangkitan skuad kebangsaan Malaysia yang kini semakin sinonim dengan gelaran The Golden Tigers.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Malaysia kini semakin berjaya mencabar dominasi tradisional Thailand dalam pelbagai kejohanan utama peringkat antarabangsa.

Bukti terbaharu hadir menerusi kejayaan menamatkan kemarau selama 36 tahun apabila Malaysia meraih pingat emas acara regu berpasukan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September lalu.

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026

Kejayaan tersebut seolah-olah menjadi pengesahan bahawa generasi semasa sepak takraw Malaysia kini berada dalam satu fasa baharu. Satu era keemasan.

Sebelum itu, skuad negara turut mencipta pencapaian penting termasuk pingat emas dalam Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF bagi acara regu lelaki, Piala Asia bagi regu lelaki serta Sukan SEA menerusi acara regu berpasukan.

Di sebalik kejayaan tersebut, pembangunan pertandingan domestik seperti CelcomDigi STL memainkan peranan cukup besar.

Liga profesional menyediakan medan kepada pemain untuk beraksi secara konsisten dalam persekitaran kompetitif, berdepan tekanan pertandingan serta bersaing dengan pemain terbaik dari dalam dan luar negara.

Tiga Tonggak Golden Tigers Hiasi Cover Digital MASKULIN

Sempena musim CelcomDigi STL 2026, Cover Edisi Digital MASKULIN kali ini membawakan tiga wajah istimewa daripada tiga pasukan berbeza.

Mereka ialah Farhan Adam dari Selangor Pistons, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dari ATM Guardians dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi dari Melaka Titans.

Ketiga-tiganya bukan sahaja menjadi pemain penting buat pasukan masing-masing dalam STL, malah merupakan antara tonggak utama The Golden Tigers.

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026

Apa yang menjadikan pertemuan ini lebih menarik ialah hakikat bahawa mereka baru sahaja pulang membawa pingat emas Sukan Asia buat Malaysia.

Namun apabila kembali ke gelanggang CelcomDigi STL, hubungan sebagai rakan sepasukan negara perlu diketepikan buat sementara waktu. Mereka kini kembali menjadi seteru.

Ads

Musim lalu, Perak Bisons muncul sebagai juara keseluruhan. Persoalannya, mampukah Farhan, Afifuddin dan Syahir menjadi nadi kepada pasukan masing-masing untuk merampas takhta tersebut?

Dari Sukan Asia Terus Ke Kem Latihan

Bagi Afifuddin, tidak banyak ruang untuk berehat selepas pulang daripada tugasan bersama negara.

“Selepas pulang dari Sukan Asia saya terus ke kem latihan bersama ATM Guardians. Pasukan kami tahun ini ramai pemain-pemain baharu dan saya dan beberapa orang sahaja orang lama. Tapi saya harap gandingan kami ini mampu memberikan cabaran di CelcomDigi STL 2026.”

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026
Muhammad Afifuddin Mohd Razali (ATM Guardians)

Situasi sedikit berbeza buat Syahir.

Pemain yang pernah diiktiraf sebagai Tekong Terbaik Dunia ISTAF itu bakal membantu Melaka Titans mengharungi cabaran lebih besar selepas pasukan tersebut melonjak ke pentas utama.

“Tahun lepas kami dari Divisyen 1 dan tahun ini berjaya ke Liga Premier. Persiapan rata-rata berjalan baik dan kami menjangkakan saingan yang lebih hebat berbanding tahun lalu,” jelas Syahir.

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026
Mohammad Syahir Mohd Rosdi (Melaka Titans)

Bagi Farhan pula, pengalaman lebih 15 tahun bersama pasukan kebangsaan menjadikannya antara pemain paling senior dalam kelompok tersebut.

Pengalaman itu kini turut digunakan untuk membimbing generasi baharu di Selangor Pistons.

“Tugas saya di Selangor Pistons sangat besar kerana saya selaku senior kena bimbing pemain-pemain baharu dan lebih muda. Manakala di pasukan kebangsaan, hubungan kami semua tidak ada masalah dan chemistry itu telah terjalin sejak sekian lama,” jelas Farhan yang cukup terkenal dengan gayanya menggunakan kasut Vans di dalam gelanggang.

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026
Farhan Adam (Selangor Pistons)

Gelaran The Golden Tigers Bukan Satu Beban

Kejayaan di Sukan Asia menjadikan gelaran The Golden Tigers semakin kerap digunakan peminat untuk merujuk kepada skuad sepak takraw negara.

Namun dengan gelaran tersebut datang juga satu bentuk jangkaan. Adakah ia menjadi tekanan tambahan?

Bagi Farhan, gelaran itu sebaliknya diterima sebagai satu penghargaan terhadap perjalanan generasi mereka.

“Kami berasa terharulah sebab diberikan gelaran ini. Bukan bermaksud pasukan terdahulu era sebelum ini tidak baik tapi kami bersyukur kerana gelaran ini kebetulan diberikan ketika era kami bermain. Diharapkan gelaran ini akan diteruskan sampai bila-bila,” jelas Farhan.

Kata-kata tersebut turut menggambarkan satu perkara penting. Generasi The Golden Tigers hari ini tidak wujud secara bersendirian. Mereka berdiri di atas perjalanan panjang sepak takraw negara yang dibina oleh pemain terdahulu.

Ads

Apa yang berubah hanyalah momentum dan hasil yang kini mula hadir secara lebih konsisten.

Pengorbanan Yang Tidak Kelihatan Di Gelanggang

Ketika jutaan peminat menyaksikan aksi mereka di stadium dan kaca televisyen, ada satu sisi kehidupan atlet yang jarang kelihatan.

Di sebalik pingat, sorakan dan kemenangan, terdapat kehidupan peribadi yang perlu dikorbankan.

Afifuddin sendiri melalui situasi tersebut selama bertahun-tahun. “Macam saya training di Bukit Jalil, isteri pula berada di Seremban jadi berhubungan jarak jauh selama lapan tahun. Walaupun jarak itu tak jauh sangat tapi saya perlu fokus dan berada dekat dengan kem latihan,” jelas Afifuddin.

Ia mungkin kedengaran seperti jarak yang tidak terlalu jauh. Namun bagi seorang atlet yang perlu menjalani latihan berterusan, mengikuti kem kebangsaan dan menyertai kejohanan sepanjang tahun, masa bersama keluarga menjadi satu kemewahan yang tidak sentiasa dapat dinikmati.

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026

Di situlah nilai sebenar sesuatu kejayaan sering kali berada.

Bukan pada pingat semata-mata, tetapi pada tahun-tahun pengorbanan yang berlaku jauh daripada pandangan penonton.

STL Membentuk Pemain Lebih Bersedia

Dalam tempoh kira-kira sedekad, STL berkembang menjadi sebuah platform yang bukan sahaja menampilkan bakat tempatan tetapi turut menarik penyertaan pemain luar negara.

Antaranya termasuk pemain dari Thailand, Jepun dan Filipina. Bagi Syahir, kewujudan liga kompetitif memberi kesan langsung kepada tahap persediaan pemain kebangsaan.

“CelcomDigi STL yang berlangsung sejak 10 tahun kebelakangan ini saya lihat peningkatan itu berlaku dengan cukup mendadak. Pertandingan kompetitif menjadikan pemain-pemain negara lebih bersedia dari segi fizikal dan mental. Saya berharap pada masa akan datang STL akan terus berkembang dengan lebih besar,” tambah Syahir.

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026

Persediaan mental turut menjadi aspek penting khususnya apabila berdepan kejohanan besar.

“Berdepan perlawanan besar seperti Sukan Asia, pada saya ia lebih kepada perbincangan bersama rakan pasukan dan juga jurulatih. Jika ada rakan pasukan berdepan masalah, kita sama-sama cuba bantu terutamanya untuk hilangkan tekanan. Bagi saya itulah yang menjadikan kami mencapai kejayaan hingga kini,” jelas Farhan.

Ads

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026

Di sinilah pengalaman dalam liga profesional menjadi sangat bernilai.

Tekanan bermain di hadapan penyokong, mengurus emosi selepas kekalahan dan kembali bersedia untuk perlawanan seterusnya membentuk ketahanan seorang atlet sebelum mereka menyarung jersi negara.

Generasi Muda Mula Jatuh Cinta Dengan Sepak Takraw

Impak terbesar STL mungkin bukan sekadar terhadap pemain elit. Ia turut kelihatan pada generasi baharu.

“Apa yang saya perasan sejak STL semakin popular dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ramai golongan kanak-kanak dan remaja semakin ramai menaruh minat terhadap sepak takraw. Lihat sahajalah kejohanan-kejohanan di peringkat junior yang sentiasa meriah dan mendapat sambutan. Inilah impak STL yang bagi saya cukup besar sekali,” tambah Afifuddin.

The Golden Tigers, Era Baharu Sepak Takraw Malaysia, Tiga Tonggak Negara Bakal Gegarkan CelcomDigi STL 2026

Kehadiran peminat muda ini sangat penting untuk memastikan sepak takraw terus mempunyai generasi pelapis.

Hari ini mereka mungkin hadir sebagai penyokong di tempat duduk penonton.

Beberapa tahun lagi, mungkin ada antara mereka yang bakal menjadi tekong, perejam atau apit yang membawa nama Malaysia.

CelcomDigi STL 2026 Jadi Medan Pertarungan Baharu

CelcomDigi STL 2026 kembali dengan 12 pasukan yang bersaing menerusi tujuh siri Grand Prix sepanjang musim sehingga 10 Januari 2027.

Selepas kembali daripada mewakili negara di Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026, pemain kebangsaan kini kembali menyarung warna pasukan masing-masing.

Buat Farhan, Afifuddin dan Syahir, mereka mungkin bersatu apabila membawa Jalur Gemilang.

Namun dalam STL, masing-masing mempunyai misi sendiri. Visi serta cita-cita yang dibawa oleh tiga pemain ini memperlihatkan mengapa MASKULIN melihat mereka sebagai antara legenda hidup sepak takraw Malaysia.

The Golden Tigers kini berada dalam kedudukan yang cukup baik untuk terus mencabar kuasa-kuasa besar dunia.

Dan mungkin satu hari nanti, cita-cita terbesar komuniti sepak takraw untuk melihat sukan ini dipertandingkan di Sukan Olimpik tidak lagi sekadar impian.

Buat masa sekarang, perjalanan itu diteruskan melalui gelanggang STL.

Jangan lupa saksikan aksi CelcomDigi STL 2026 sehingga 10 Januari 2027. Peminat boleh melanggan Astro X3 Sports Pack serendah RM69.99 sebulan dengan harga runcit disyorkan RM89.99 sebulan serta melakukan penstriman serta-merta tanpa memerlukan dekoder atau pemasangan.

Saksikan video temu bual eksklusif MASKULIN bersama mereka menerusi video di bawah.

 

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads