Ads

Bantuan Kecemasan Bila Berdepan Pelari Pengsan, Penting Untuk Peserta Tahu

PELARI

Acara larian kini semakin menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia. Daripada acara 5KM santai hinggalah maraton penuh, ribuan peserta boleh berkumpul pada satu-satu masa untuk menguji kemampuan fizikal masing-masing.

Namun dalam suasana penuh semangat mengejar personal best, ada situasi kecemasan yang boleh berlaku tanpa diduga. Salah satunya ialah apabila seorang pelari tiba-tiba rebah atau tidak sedarkan diri.

Pada ketika itu, apa yang dilakukan dalam beberapa minit pertama boleh menjadi sangat penting.

Perkara pertama yang perlu difahami ialah tidak semua pelari yang rebah mengalami masalah yang sama. Ada yang mengalami pengsan sementara akibat tekanan darah menurun selepas berhenti berlari, tetapi ada juga yang mungkin mengalami keadaan jauh lebih serius seperti henti jantung, exertional heat stroke, masalah neurologi atau gangguan elektrolit.

Kajian mengenai exercise-associated collapse atau EAC yang diterbitkan dalam British Journal of Sports Medicine menjelaskan bahawa keadaan seseorang rebah selepas acara ketahanan memang agak biasa. Namun penyelidik menegaskan bahawa petugas perlu terlebih dahulu menolak kemungkinan keadaan mengancam nyawa seperti henti jantung, heat stroke dan hyponatraemia sebelum menganggap ia sekadar pengsan biasa.

Justeru, jika anda berada di sebelah seorang pelari yang tiba-tiba rebah, jangan terus menganggap dia sekadar keletihan.

1. Pastikan Kawasan Selamat Dan Periksa Respons

Dekati mangsa hanya selepas memastikan keadaan sekeliling selamat. Dalam acara larian, ini mungkin bermaksud memastikan mangsa tidak berada di laluan peserta lain, berhampiran kenderaan atau kawasan yang boleh menyebabkan kecederaan tambahan.

Panggil mangsa dengan suara jelas dan lihat sama ada dia memberikan respons. Jika dia tidak bertindak balas, segera periksa sama ada dia bernafas secara normal.

Garis panduan American Heart Association dan American Red Cross menganggap perubahan tahap kesedaran atau pernafasan yang tidak normal sebagai keadaan kecemasan yang memerlukan bantuan perubatan profesional dengan segera.

Bantuan Kecemasan Bila Berdepan Pelari Pengsan, Penting Untuk Peserta Tahu

Jika anda berada dalam acara rasmi, minta seseorang memanggil medical crew atau marshal dengan segera.

Di Malaysia, panggilan kecemasan perubatan boleh dibuat melalui 999, yang digunakan untuk mengaktifkan perkhidmatan ambulans dan koordinasi rawatan pra-hospital.

2. Tidak Bernafas Normal? Anggap Sebagai Henti Jantung

Ini momen atapaling kritikal. Jika pelari tidak sedarkan diri dan tidak bernafas atau hanya tercungap-cungap secara tidak normal, jangan menganggap dia sekadar pengsan.

Menurut garis panduan CPR American Heart Association 2025, orang awam perlu menganggap individu dewasa yang tidak responsif serta tidak bernafas secara normal sebagai mengalami henti jantung.

Minta seseorang menghubungi 999 atau pasukan perubatan acara dan seorang lagi mendapatkan Automated External Defibrillator (AED) jika tersedia.

Kemudian mulakan CPR.

Bagi orang awam yang menyaksikan orang dewasa rebah secara tiba-tiba, AHA mengesyorkan Hands-Only CPR jika mereka tidak terlatih memberikan bantuan pernafasan. Tekanan dada dilakukan di tengah dada pada kadar sekitar 100 hingga 120 tekanan seminit, dengan kedalaman sekurang-kurangnya 5 sentimeter bagi orang dewasa.

Ads

Jika AED tiba, hidupkan peranti tersebut, pasang pad seperti ditunjukkan dan ikut arahan suara yang diberikan. Teruskan CPR sehingga mangsa menunjukkan tanda kehidupan atau pasukan perubatan mengambil alih.

CPR berkualiti tinggi dan defibrilasi awal merupakan antara intervensi paling penting dalam meningkatkan peluang kelangsungan hidup selepas henti jantung.

3. Jika Masih Bernafas, Jangan Paksa Dia Bangun

Sekiranya mangsa tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas secara normal, tindakannya berbeza daripada kes henti jantung.

American Heart Association menyatakan seseorang yang tahap kesedarannya menurun tetapi bernafas normal boleh diletakkan dalam recovery position, iaitu posisi mengiring, selagi tidak terdapat petunjuk kecederaan serius pada leher, belakang, pinggul atau pelvis. Posisi ini membantu memastikan saluran udara kekal terbuka dan mengurangkan risiko tersedak jika mangsa muntah.

Jika mangsa sudah kembali sedar selepas pengsan dan tiada kecederaan akibat terjatuh, biarkan dia berbaring seketika. Jangan terus menyuruhnya berdiri atau menyambung larian.

Dalam kes pengsan tanpa trauma, meninggikan kaki ketika mangsa berbaring mungkin membantu aliran darah kembali ke bahagian atas badan, walaupun kesannya tidak sama bagi semua keadaan.

Kajian mengenai pelari ketahanan menunjukkan salah satu punca biasa exercise-associated collapse ialah penurunan tekanan darah sementara selepas seseorang berhenti berlari. Apabila pergerakan kaki berhenti secara mendadak, darah boleh berkumpul di bahagian bawah badan dan mengurangkan aliran darah ke otak buat sementara waktu.

Namun diagnosis sebenar tetap perlu dibuat oleh petugas perubatan.

4. Perhatikan Tanda Heat Stroke

Dalam iklim panas dan lembap seperti Malaysia, satu lagi keadaan yang tidak boleh dipandang ringan ialah exertional heat stroke.

Ini bukan sekadar rasa terlalu panas atau keletihan biasa. Antara tanda penting ialah perubahan fungsi otak seperti kekeliruan, tingkah laku luar biasa, hilang koordinasi, rebah atau tidak sedarkan diri selepas aktiviti intensif dalam cuaca panas.

Ads

Kenyataan konsensus International Olympic Committee mengenai sukan dalam cuaca panas menekankan bahawa exertional heat stroke memerlukan pengecaman awal dan proses penyejukan badan dengan pantas. Kaedah pilihan dalam pengurusan profesional ialah whole-body cold-water immersion.

Jika pelari menunjukkan tanda kekeliruan serius, kulit sangat panas atau rebah selepas berlari dalam keadaan panas, panggil pasukan perubatan segera dan pindahkan mangsa ke kawasan teduh jika selamat dilakukan.

Jika kemudahan penyejukan profesional tersedia bersama petugas terlatih, prinsip yang sering digunakan dalam perubatan sukan ialah “cool first, transport second”, kerana tempoh seseorang berada dalam keadaan suhu badan terlalu tinggi mempengaruhi risiko komplikasi.

Bagi orang awam, keutamaan tetap memanggil bantuan perubatan, memantau pernafasan dan memulakan penyejukan sementara menunggu petugas terlatih.

5. Jangan Terus Berikan Air Kepada Orang Tidak Sedarkan Diri

Naluri pertama apabila melihat pelari rebah mungkin mahu memberikan air, minuman isotonic atau makanan manis.

Tetapi jika seseorang tidak sedarkan diri atau tahap kesedarannya tidak normal, jangan paksa dia minum atau makan kerana terdapat risiko tercekik atau cecair memasuki saluran pernafasan.

Begitu juga, elakkan menyiram air ke dalam mulut, menampar wajah atau cuba memaksa mangsa duduk dan berjalan.

Jika dia sudah sedar sepenuhnya, boleh bercakap dengan jelas dan dinilai stabil oleh petugas perubatan, barulah pengambilan cecair boleh dipertimbangkan mengikut keadaannya.

Ini penting kerana tidak semua kes pelari rebah berpunca daripada dehidrasi. Kajian terdahulu mengenai atlet ketahanan menunjukkan tanggapan bahawa setiap pelari yang rebah mengalami dehidrasi atau kepanasan adalah terlalu mudah dan boleh menyebabkan punca lain terlepas pandang.

6. Jangan Biarkan Pelari Bersendirian Selepas Sedar

Seseorang mungkin sedar semula beberapa saat selepas pengsan dan mengatakan dirinya sudah okay.

Ads

Namun itu tidak semestinya bermaksud masalah sudah selesai.

AHA dan American Red Cross menyarankan bantuan kecemasan diaktifkan sekiranya seseorang benar-benar pengsan, simptom tidak bertambah baik dengan cepat, berulang atau disertai keadaan lain yang membimbangkan.

Dalam konteks acara larian, pemeriksaan oleh pasukan perubatan menjadi lebih penting jika pelari rebah semasa sedang berlari, mengalami sakit dada, sesak nafas, kekeliruan, sawan, kecederaan akibat jatuh atau tidak pulih sepenuhnya selepas beberapa minit.

Kajian terhadap atlet ketahanan turut membezakan antara individu yang rebah selepas menamatkan perlumbaan dengan mereka yang rebah ketika masih sedang berlari. Kejadian semasa aktiviti berlangsung boleh menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan kardiak atau neurologi yang lebih serius.

Jangan Panik, Tapi Jangan Anggap Ringan

Melihat seseorang rebah di depan mata memang boleh membuatkan orang di sekeliling panik. Tetapi tindakan paling berguna bukan berkumpul ramai-ramai atau cuba meneka puncanya.

Periksa respons dan pernafasan, panggil bantuan, dapatkan AED jika perlu dan mulakan CPR jika mangsa tidak bernafas normal.

Dalam banyak acara larian berskala besar, pasukan perubatan sudah ditempatkan di lokasi strategik. Peranan orang awam ialah memastikan bantuan tersebut dipanggil secepat mungkin dan mangsa tidak dibiarkan tanpa pemantauan.

Satu kajian melibatkan 153,208 pelari jarak jauh menunjukkan exercise-associated collapse memang merupakan salah satu isu perubatan yang ditemui dalam perlumbaan jarak jauh, khususnya dalam perlumbaan lebih panjang.

Namun perkataan “pengsan” tidak boleh digunakan untuk menyamaratakan semua keadaan.

Ada pelari yang mungkin pulih selepas beberapa minit berehat. Ada pula yang memerlukan CPR, AED atau rawatan segera untuk heat stroke.

BACA: KUDRAT 1968: High Council Bukan Sekadar Kisah Kuasa, Tetapi Tentang Warisan, Pilihan dan Jurang Kelas

Perbezaannya hanya boleh diketahui apabila keadaan mangsa dinilai dengan betul.

Sebab itu, selain berlatih untuk meningkatkan pace dan stamina, komuniti pelari juga wajar mempunyai pengetahuan asas CPR dan pertolongan cemas. Dalam keadaan sebenar, kemampuan mengenali bahawa seseorang tidak bernafas secara normal dan bertindak tanpa berlengah boleh menjadi kemahiran yang jauh lebih bernilai daripada mana-mana rekod peribadi.

Artikel ini bertujuan sebagai panduan kesedaran umum dan bukan pengganti latihan CPR, pertolongan cemas atau penilaian profesional perubatan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads