Pelari Kenya Dominasi KLSCM 2025, Yeow Ni Jia Rangkul Gelaran Kebangsaan

Share

Kota raya Kuala Lumpur kembali menjadi tumpuan dunia larian jarak jauh apabila Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh semangat dan aksi luar biasa.

Ribuan pelari dari pelbagai negara membanjiri ibu negara, menghidupkan suasana pagi Ahad yang penuh tenaga dan inspirasi.

Edisi ke-17 acara larian paling berprestij di Malaysia ini menyaksikan penyertaan rekod seramai 42,000 peserta termasuk 3,300 pelari antarabangsa dari 53 negara.

Dengan status World Athletics Elite Label Race, KLSCM kekal sebagai satu-satunya acara larian jarak jauh di negara ini yang diiktiraf di peringkat dunia.

Hari kedua perlumbaan menyaksikan John Nzau Mwangangi dari Kenya muncul juara Full Marathon Lelaki Terbuka dengan catatan masa 2 jam 17 minit 28 saat, membawa pulang hadiah USD15,000 (RM63,225).

Di peringkat kebangsaan pula, pelari muda Yeow Ni Jia menamatkan saingan dengan masa 2 jam 36 minit 13 saat untuk merangkul gelaran Juara Marathon Malaysia 2025.

Strategi dan Tekad Juara

Mwangangi yang berusia 35 tahun yang sebelum ini dua kali berpuas hati di tempat kedua, akhirnya berjaya menebus kekecewaan dengan strategi baharu hasil analisis perlumbaan terdahulu.

“Saya terlepas tempat pertama dua kali kerana kurang pengalaman di kilometer terakhir. Jadi, saya belajar daripada kesilapan lalu dan ubah strategi. Laluan kali ini seimbang dengan gabungan rata dan berbukit, jadi saya dapat tingkatkan kelajuan dan perbaiki masa,” katanya.

John Nzau Mwangangi

Keungguan pelari Kenya terus menyerlah dengan dua lagi pelarinya, Kiprotich Kiru dan Vincent Kiprono, melengkapkan podium dengan catatan masing-masing 2:17:45 dan 2:18:06.

Dalam kategori wanita terbuka, Truphena Chepchirchir, juga dari Kenya, menjuarai acara dengan masa 2:41:36, mengatasi Almaz Negede Fekade dari Ethiopia (2:41:50) dan Joyline Chemutai (2:42:34).

Podium pemenang Full Maraton

Pelari Malaysia Tampil Cemerlang

Manakala kategori kebangsaan berlangsung sengit dengan kehadiran nama-nama besar. Yeow Ni Jia menewaskan pemegang rekod kebangsaan Tan Huong Leong (2:37:05) dan juara bertahan enam kali Muhaizar Mohamad (2:44:37).

“Laluan berbukit di KL memang mencabar, tetapi saya bersyukur kerana mencapai sasaran untuk catatan bawah 2:40. Jika dipilih ke Sukan SEA, saya akan fokus untuk capai catatan lebih baik,” katanya.

Podium pemenang kategori Lelaki Terbuka Malaysia

Bagi kategori wanita Malaysia, Chua Khit Yeng menebus kekalahan lalu apabila menamatkan perlumbaan dengan masa 3:05:40, mengatasi juara bertahan Noor Amelia Musa (3:09:03) dan Lee Siok Chin (3:11:07).

Podium pemenang kategori Wanita Terbuka Malaysia

Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans, berkata edisi tahun ini sangat bermakna kerana sambutan luar biasa dan sokongan komuniti pelari tempatan serta antarabangsa.

“KLSCM 2025 telah menerima sambutan luar biasa daripada komuniti larian. Lebih 3,300 peserta datang khas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk acara ini.

“Tahun ini lebih istimewa kerana buat pertama kali, kami menggunakan laluan baharu dengan titik mula dan tamat berbeza serta pengiktirafan World Athletics Elite Label,” tambahnya lagi.

Warisan Semangat

CEO Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien, turut berkongsi makna acara ini terhadap warisan 150 tahun bank tersebut di Malaysia.

“Setiap langkah dalam maraton ini adalah simbol perjalanan kami bersama pelanggan, komuniti dan rakan kongsi.

BACA: Ramai Turut Sertai Acara Larian, Tapi Adakah Demi Kesihatan Atau Sekadar FOMO?

“KLSCM bukan sekadar perlumbaan, tetapi perayaan semangat, ketabahan dan matlamat bersama,” katanya.

Falg off bersama CEO Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien

Turut mendapat perhatian ialah inisiatif Run For A Reason (RFAR) yang berjaya mengumpul dana untuk empat badan amal tempatan.

Badan amal tersebut ialah Futuremakers by Standard Chartered, Hospis Malaysia, Kechara Soup Kitchen dan Teach For Malaysia. Biemans menyatakan harapan agar jumlah kutipan tahun ini dapat mengatasi rekod RM1 juta yang dicapai tahun lalu.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim