Berita

Pempengaruh Media Sosial Kini Wajib Lapor Pendapatan Termasuk Hadiah & Barangan Percuma

Share

Beberapa tahun lepas, ramai orang anggap kerja pempengaruh media sosial sekadar ‘post gambar dan dapat job’.

Namun, realitinya kini jauh berbeza. Dunia pempengaruh telah menjadi satu industri sebenar, lengkap dengan kontrak, KPI, jadual produksi dan pasukan pengurusan yang tersusun.

Ada pempengaruh yang kini menjana pendapatan lebih tinggi daripada pekerjaan biasa 9 hingga 5. Bila karier ini makin serius, soal cukai memang tidak boleh dielakkan.

Foto hiasan janaan AI

LHDN Tegas Pempengaruh Wajib Lapor Semua Pendapatan

Berdasarkan Garis Panduan terbaharu yang diterbitkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), golongan pempengaruh media sosial kini diwajibkan melaporkan keseluruhan pendapatan mereka bagi tujuan percukaian.

Arahan ini bukan hanya merangkumi bayaran tunai, tetapi juga penerimaan barangan percuma dan hadiah yang diberikan oleh pihak peniaga untuk tujuan promosi atau ulasan produk.

Menurut LHDN, pengenalan garis panduan ini bertujuan untuk melancarkan proses pematuhan cukai dalam kalangan pempengaruh digital. Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 134A Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemas kini peraturan ini mengikut keperluan semasa.

Siapa Yang Dikategorikan Sebagai Pempengaruh Media Sosial?

Secara asas, pempengaruh digital ialah individu yang berupaya mempengaruhi audiens di platform media sosial melalui kredibiliti dan impak hubungan yang dibina bersama pengikut.

Dalam garis panduan tersebut, LHDN menegaskan bahawa pempengaruh masa kini bukan lagi sekadar individu popular, tetapi diiktiraf sebagai satu kerjaya profesional yang mampu menjana pendapatan tinggi.

Menurut kenyataan rasmi LHDN:

“Pempengaruh media sosial bukan sahaja individu yang boleh mempengaruhi orang lain dan mempunyai ramai pengikut, mereka juga mampu menjana pendapatan yang lumayan melalui aktiviti pemasaran, kandungan digital, dan promosi di media sosial.”

LHDN turut membahagikan pempengaruh kepada dua kategori utama:

  • Pempengaruh individu – melibatkan artis, ahli politik, atlet, profesional, pelajar, dan suri rumah.
  • Pempengaruh berasaskan objek – merujuk kepada watak animasi, lakonan atau ciptaan yang mempunyai pengikut di platform digital.

Jenis Pendapatan Wajib Dilapor Kepada LHDN

Pendapatan pempengaruh yang wajib dilaporkan merangkumi bayaran daripada platform media sosial, lantikan duta produk, jualan barangan, jualan akaun atau ID, serta royalti. Menariknya, pendapatan ini boleh diterima dalam pelbagai bentuk, bukan hanya wang tunai.

“Bayaran boleh diterima dalam bentuk tunai, pemberian barangan, baucar diskaun, perkhidmatan percuma, tanda suka (emoji) dan hadiah (gift) yang mempunyai nilai wang,” jelas LHDN.

Tuntutan Perbelanjaan Yang Dibenarkan

LHDN turut memaklumkan bahawa pempengaruh boleh menuntut beberapa perbelanjaan sebagai kos yang dibenarkan di bawah Seksyen 33 Akta Cukai Pendapatan (ACP).

Ini termasuk kos internet, penggambaran dan penyuntingan bahan kandungan. Walau bagaimanapun, perbelanjaan peribadi atau berbentuk modal tidak dibenarkan untuk tuntutan cukai.

Kewajipan Simpan Rekod & Dokumen Cukai

Dalam masa sama, LHDN menasihatkan pempengaruh supaya menyimpan rekod lengkap berkaitan pendapatan dan perbelanjaan termasuk dokumen sokongan bagi tujuan audit.

Semua rekod tersebut perlu disimpan selama tujuh tahun dari akhir tahun taksiran seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa cukai.

Dengan garis panduan baharu ini, jelas bahawa dunia pempengaruh media sosial kini bukan sekadar tentang kandungan dan engagement semata-mata.

BACA: 10 Selebriti Hollywood Pernah Melakukan Larian Maraton

Ia kini melibatkan tanggungjawab profesional yang lebih besar termasuk pengurusan kewangan dan pematuhan cukai di bawah seliaan LHDN.

Peranan pempengaruh kini berkembang sebagai satu profesion yang sah di sisi undang-undang.

Oleh itu, pematuhan kepada garis panduan LHDN bukan sahaja memastikan kebertanggungjawaban kewangan, tetapi juga memperkukuh kredibiliti kerjaya dalam industri digital yang semakin kompetitif.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim