
Foto : Sinar Harian
Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 2, Wahab Deris, 64, tidak dapat menahan sebak apabila diraikan seperti raja sehari sempena hari persaraannya pada Jumaat lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, bapa kepada empat anak dari Kampung Gemang itu menerima lebih 2,000 hadiah daripada pelajar dan guru sekolah berkenaan sebagai tanda penghargaan atas khidmat baktinya selama 12 tahun sebagai pengawal keselamatan.
Lebih istimewa, Wahab diarak menaiki dua buah kereta sebelum bersanding di atas pelamin khas bersama isteri tercinta, Zauwiyah Abdul Rani, 59.
@hanistherapist Abah diraikan majlis persaraannya setelah 12tahun berkhidmat di @J2TVDIHATI🩷 , majlis yg penuh meriah disusun oleh SKJELI2 walaupun abah hanyalah seorang pengawal keselamatan. Hebat sekolah ini kerana meraikan pengawal keselamatan spt abah spt guru2 yg lain😢.. Inilah abah sy, membesarkan sy dengan hanya bekerja sbg pengawal keselamatan shj. Naik motor hntr sy ke sekolah. Alhamdulilah anak2 dah besar dan berjaya dah pn. saya ada ma abah yang hebat😇 #securityGuard #majlispersaraan #skjeli2 ♬ original sound – HanisTherapist
Majlis persaraan penuh emosi itu menjadi lebih bermakna apabila pasangan berkenaan berpeluang bersanding buat kali pertama selepas 43 tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut Wahab, semasa perkahwinan dahulu mereka tidak berpeluang bersanding kerana kesempitan hidup dan tidak menyangka akan diberi peluang merasai pengalaman itu pada hari persaraannya.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada guru besar, semua guru dan pelajar yang sudi meraikan saya dengan begitu meriah. Saya dan isteri sangat terharu apabila diraikan seperti pengantin baru, malu pula apabila kena duduk bersanding di depan semua,” katanya.
Wahab turut menzahirkan rasa syukur atas kasih sayang dan layanan baik yang diterima sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan.
“Semua ini rezeki daripada Allah, saya sangat bersyukur,” katanya dengan penuh kesyukuran ketika ditemui selepas majlis berakhir.
Guru Besar SK Jeli 2, Salmiah Mat Nawi, berkata idea mengadakan majlis persaraan seperti itu tercetus sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan dedikasi Wahab yang banyak membantu warga sekolah sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Encik Wahab bukan sekadar pengawal keselamatan biasa. Beliau sentiasa menjaga keselamatan sekolah dengan penuh tanggungjawab dan disayangi semua warga sekolah,” katanya.
Majlis persaraan tersebut bukan sahaja meninggalkan kenangan manis buat Wahab dan keluarganya, tetapi juga menjadi inspirasi kepada warga sekolah lain tentang pentingnya menghargai jasa seseorang walaupun selepas mereka menamatkan perkhidmatan.
Penghargaan seperti ini menjadikan SK Jeli 2 contoh terbaik dalam menghargai dedikasi seorang pengawal keselamatan yang telah banyak berbakti kepada sekolah dan masyarakat setempat.
BACA LAGI : Gimnasium China Tawar Porsche Panamera Jika Berjaya Turun 50kg, Tawaran Mengejutkan Yang Jadi Tular
Sumber : Sinar Harian
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.