
Head of Men & Hobbies: Fiezreen Ahmad
Ass. Manager Men & Hobbies dan Penata Gaya: Farizul Izwany
Penulis: Darwisy Farain
Penerbit video Maskulin: Faez Akhmal
Penyunting Video : Ali Affandi
Peletakan Grafik: Zera Naim
Grooming: Ayang Kamell
Fotografer: Nana Azman
Pembantu Fotografer : Niza Suhaimi
Suntingan Foto: Hezry Rokman
Persalinan dan aksesori: Sacoor Brothers
Untuk edisi Man of The Moment bulan ini, MASKULIN menampilkan kisah seorang lelaki yang membuktikan bahawa kekuatan sejati bukan hanya pada otot, tetapi pada hati yang berani melawan kesusahan.
Inilah kisah Dr. Ahmad Samhan bin Awang, seorang doktor kesihatan lelaki, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HIM Wellness Sdn. Bhd. platform telekesihatan yang membuka ruang buat lelaki mendapatkan rawatan masalah disfungsi ereksi (ED) dan ejakulasi pramatang (PE) dengan lebih privasi dan mudah.
Namun, sebelum berjaya membina nama dalam bidang kesihatan lelaki, perjalanan hidupnya jauh daripada mudah.
Dilahirkan pada 5 Jun 1986 di Pasir Mas, Kelantan, Dr. Ahmad Samhan ialah anak ketiga daripada tujuh beradik.
Hidupnya sederhana dengan kerjaya ayah sebagai seorang guru dan ibu seorang kerani sekolah.
Zaman kecilnya dihabiskan berpindah mengikut tugas ayah di kawasan pedalaman, di mana air bukit menjadi tempat mandi dan cahaya pelita menerangi malam.
Cita-cita menjadi doktor bukan pilihan asalnya. Ia datang daripada impian ibunya yang mahu melihat anaknya berjaya di bidang perubatan.
Dari situlah langkahnya bermula langkah seorang anak yang ingin membalas pengorbanan kedua orang tuanya.
Ketika diterima masuk ke Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), beliau berdepan pengalaman yang membentuk ketahanan mental.
“Masuk Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) sebenarnya bukan pilihan ayah saya. Dia dulu guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah, jadi dia tahu sangat perangai budak SDAR ni macam mana sebab tu dia tak nak anak dia ke sana,” – Dr. Samhan
Budaya asrama yang keras dan sistem senior-junior membuatkan hari-harinya penuh tekanan.
Namun, pengalaman itu menjadikan dirinya lebih kental dan berdisiplin.
Selepas menamatkan SPM dengan cemerlang, muncul pula fasa getir baharu. Ramai rakan seangkatan mendapat peluang ke luar negara melalui biasiswa, tetapi dia tidak termasuk dalam senarai itu.
Rasa kecewa dan rendah diri hadir, namun dia memilih untuk terus melangkah dengan apa yang ada.
Dr. Ahmad Samhan
menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) sebelum menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang perubatan.“Saya ambil medic 4 tahun di USM dan 6 tahun di Mesir, 10 tahun semuanya, hanya untuk memenuhi hasrat seorang ibu yang mahu lihat anaknya jadi doktor.” – Dr. Samhan
Namun, perjalanan ke sana bukan mudah.Waktu itu, keluarganya tidak berkemampuan menanggung kos pengajian yang tinggi.
Untuk memastikan impian menjadi kenyataan, dia terpaksa meminjam wang, mengumpul sedikit demi sedikit bagi membeli tiket dan menampung keperluan awal di luar negara.
Tiada jalan pintas semuanya dibina atas pengorbanan dan tekad.
Setelah tamat pengajian, beliau menjalani latihan housemanship di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu fasa paling kritikal dalam hidup seorang doktor muda.
Tekanan fizikal dan mental datang serentak. Tanggungjawab menjaga nyawa bukan sekadar kerja, tetapi amanah.
Walau pernah hampir tewas oleh stres dan keletihan, beliau memilih untuk bertahan, satu demi satu hari.
BACA LAGI : ‘The Rivalry Within’, Daniel Fong Tampil Bawakan Karakter Heartthrob ‘Generasi: Perfect 10’
Kini, sebagai pengasas HIM Wellness, beliau meneruskan perjuangan dalam bentuk berbeza.
Platform ini diwujudkan bagi memberi ruang kepada lelaki bercakap tentang kesihatan diri tanpa rasa malu atau takut.
“Saya tak marah bila orang panggil saya ‘doktor lucah’, sebab saya tahu ramai lelaki yang bergelut dengan masalah ini dan saya tahu apa yang saya nak sampaikan.” – Dr. Samhan
Baginya, lelaki perlu berani mendapatkan bantuan kerana menjaga kesihatan bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan sebenar seorang lelaki.
Ikuti kisah lanjut temu bual eksklusif MASKULIN bersama Dr Samhan menerusi video di bawah!