5 Perkara Tentang Piala ASEAN FIFA Perlu Anda Tahu

Share

Dinamika sukan bola sepak di rantau Asia Tenggara atau negara ASEAN sentiasa menjadi tumpuan utama dengan sokongan peminat yang sangat bersemangat. Rantau ini, yang merangkumi lebih 670 juta penduduk, memiliki potensi besar yang belum diteroka sepenuhnya dalam arena bola sepak global.

Walaupun kejohanan sedia ada seperti Piala AFF telah lama menjadi mercu tanda dominasi serantau, kehadiran dan campur tangan langsung badan induk bola sepak dunia dilihat sebagai pemangkin yang diperlukan untuk melonjakkan kualiti dan imej sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

Bertepatan dengan kepentingan strategik ini, dunia bola sepak serantau telah melakar sejarah baharu dengan kehadiran Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kehadiran beliau sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan sekadar lawatan biasa, malah turut menyaksikan perasmian FIFA Arena pertama di Malaysia. Kunjungan berprofil tinggi ini menjadi petanda jelas mengenai fokus FIFA yang semakin mendalam terhadap pembangunan bola sepak di Asia Tenggara.

Kemuncak lawatan Infantino ialah pengumuman bersejarah mengenai pengumuman tentang pengenalan Piala ASEAN FIFA, sebuah kejohanan rasmi baharu yang akan menyatukan kuasa bola sepak di rantau ini.

Pengumuman ini, yang dibuat selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu antara FIFA dan ASEAN, menandakan era baharu kerjasama dan pembangunan. Berikut adalah lima intipati utama mengenai Piala ASEAN FIFA yang wajib diketahui.

1. Pengumuman Dari Presiden FIFA Sendiri

Pengumuman rasmi Piala ASEAN FIFA dibuat oleh Gianni Infantino pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur. Beliau sendiri mengumumkan penubuhan kejohanan baharu ini sejurus selepas menandatangani MoU baharu FIFA-ASEAN di hadapan Perdana Menteri Malaysia dan pemimpin ASEAN yang lain.

Keterlibatan secara langsung Presiden FIFA dalam pelancaran ini menggariskan bahawa kejohanan ini merupakan inisiatif bertaraf A dan bukannya sekadar acara sampingan. Ia mencerminkan keazaman FIFA untuk mengukuhkan inisiatif pembangunan di seluruh Asia Tenggara.

2. Penyatuan 11 Negara Anggota

Piala ini akan menghimpunkan kesemua 11 negara anggota ASEAN. Infantino menekankan nilai simbolik angka tersebut, menyatakan bahawa, “Angka 11 itu sendiri simbolik dalam dunia bola sepak kerana satu pasukan terdiri daripada 11 pemain dan kini pasukan ASEAN lengkap, bersedia untuk menang.”

Ini adalah kali pertama semua anggota ASEAN bersatu di bawah kejohanan bola sepak rasmi yang diselia oleh FIFA, menjadikannya platform penyatuan serantau yang signifikan melalui sukan.

3. Matlamat Utama, Memacu Pembangunan dan Prestasi

Objektif utama Piala ASEAN FIFA adalah untuk memberi “suntikan semangat baharu” kepada bola sepak serantau.

Infantino menjelaskan bahawa kejohanan ini akan dianjurkan dalam kerangka Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA, membolehkan penyertaan pemain-pemain terbaik dan berkelas dunia dari rantau ini.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan persaingan di peringkat pasukan kebangsaan, sekali gus melonjakkan standard dan membolehkan pemain ASEAN “bersinar di pentas dunia.”

4. Format Diinspirasikan Daripada Piala Arab FIFA

Walaupun perincian format kejohanan masih dalam proses pemuktamadan, Infantino mengesahkan bahawa Piala ASEAN FIFA akan dilaksanakan dalam format yang mengikut jejak langkah Piala Arab FIFA (FIFA Arab Cup) yang telah terbukti berjaya.

Ini menjanjikan satu model penganjuran yang sistematik dan berkualiti tinggi oleh FIFA, berbeza daripada format kejohanan serantau yang sedia ada. FIFA akan bekerjasama dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bagi menentukan struktur pertandingan secara terperinci.

ASEAN 4

5. Memperkasa Semangat Integriti dan Pendidikan

Piala ASEAN FIFA dilancarkan serentak dengan pembaharuan MoU FIFA-ASEAN yang menumpukan kepada tiga tonggak utama pembangunan: integriti, keselamatan, dan pendidikan.

Infantino menyatakan bahawa kejohanan ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menggunakan bola sepak sebagai wadah pembangunan komuniti dan kesejahteraan.

Ia bukan sahaja bertujuan untuk mencipta kejayaan di padang, tetapi juga untuk mempromosikan nilai-nilai sukan yang murni dan menyediakan persekitaran yang selamat bagi pembangunan bola sepak di semua peringkat.

BACA: #IniPadangKita: Inisiatif Astro Menghidupkan Semula Padang Bola Sepak Komuniti Malaysia

Piala ASEAN FIFA bakal menjadi lebih daripada sekadar kejohanan; ia adalah pengiktirafan rasmi FIFA terhadap potensi besar Asia Tenggara.

Skali gus berpotensi untuk membuka lembaran baharu yang dijangka akan membawa impak yang signifikan. Bukan sahaja di peringkat serantau, malah juga di persada bola sepak global.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim