
Ada pelakon yang dikenang kerana satu watak. Ada pula bintang yang berjaya mendominasi satu era. Tetapi Rajinikanth berada dalam kategori yang lebih sukar untuk dijelaskan, seorang figura yang namanya sendiri sudah menjadi sebahagian daripada budaya popular filem Tamil.
Pada usia 75 tahun, daya tarikannya masih belum menunjukkan tanda untuk berhenti. Setiap kemunculan baharu terus diraikan peminat merentas generasi, daripada mereka yang membesar dengan Baashha dan Muthu hinggalah penonton muda yang mengenalinya menerusi Kabali, 2.0 dan Jailer.
Kini, perjalanan luar biasa itu diteruskan menerusi Jailer 2, filem ke-172 dalam kerjaya seninya yang sudah menjangkau lebih lima dekad.
Sebelum ‘Superstar’, Dia Seorang Konduktor Bas
Beliau dilahirkan dengan nama Shivaji Rao Gaekwad pada 12 Disember 1950 di Bengaluru dalam keluarga berbahasa Marathi.
Sebelum menjadi pelakon, kehidupannya jauh daripada glamor dunia filem. Beliau pernah melakukan beberapa pekerjaan sebelum menjadi konduktor bas di Karnataka State Transport Corporation. Dalam tempoh itulah minat terhadap lakonan terus berkembang menerusi penglibatannya dalam pementasan.
Langkah ke dunia filem kemudiannya menemukan beliau dengan pengarah legenda K. Balachander. Rajinikanth tampil dalam filem Tamil Apoorva Raagangal pada 1975 dan mula menarik perhatian walaupun ketika itu belum diberikan status sebagai hero utama.

Menariknya, pada era awal lakonan, dia banyak dipenuhi watak negatif, antihero dan karakter yang kasar. Ia sangat berbeza daripada imej penyelamat massa yang kemudiannya menjadi identitinya.
Gelaran ‘Superstar’ Yang Kekal Hingga Hari Ini
Titik penting hadir menerusi Bairavi pada 1978, filem Tamil pertama yang menampilkan Rajinikanth sebagai hero solo.
Ketika mempromosikan filem itu, pengedar Kalaipuli S. Thanu menggunakan gelaran “Superstar” pada bahan promosi dan memasang potongan gergasi Rajinikanth di Chennai.
Gelaran itu pada awalnya dikatakan membuat beliau kurang selesa kerana ketika itu nama besar seperti M.G. Ramachandran dan Sivaji Ganesan masih begitu dihormati.

Namun “Superstar” akhirnya melekat pada dirinya sehingga menjadi hampir sinonim dengan nama Rajinikanth sendiri.
Apa yang membuatkan beliau berbeza bukan semata-mata lakonan.
Rajinikanth membina bahasa tubuhnya sendiri. Cara memakai cermin mata, melambung rokok, berjalan, menyebut dialog atau sekadar memasuki sesuatu babak mampu mencetuskan sorakan penonton.
“Style” itu menjadi sebahagian daripada pakej seorang Rajinikanth.
Dari Chennai Hingga Jepun
Status Rajinikanth juga tidak terhad kepada India.
Filem Muthu yang diterbitkan pada 1995 menjadi fenomena di Jepun selepas ditayangkan di sana sebagai Muthu: Odoru Maharaja pada 1998.
Filem itu bertahan selama 182 hari di pawagam Jepun dan membantu memperkenalkan Rajinikanth kepada kelompok peminat baharu di luar komuniti diaspora India.
Antara fakta menarik lain, Rajinikanth pernah tampil dalam filem Hollywood Bloodstone pada 1988 dan sepanjang kerjayanya telah berlakon dalam pelbagai bahasa termasuk Tamil, Telugu, Kannada, Malayalam, Hindi dan Bengali.
Pengaruhnya turut mendapat pengiktirafan kerajaan India. Beliau menerima Padma Bhushan pada 2000, Padma Vibhushan pada 2016 dan kemudiannya Dadasaheb Phalke Award, penghormatan tertinggi India dalam bidang perfileman, bagi tahun 2019.
Kenapa Rajinikanth Masih Relevan?
Rahsianya mungkin terletak pada satu perkara, Rajinikanth memahami apa yang peminat mahu daripada seorang “Superstar”, tetapi pada masa sama tidak takut bekerjasama dengan generasi pembikin filem yang lebih muda.
Daripada Mani Ratnam dan S. Shankar hinggalah Nelson Dilipkumar, beliau terus menyesuaikan persona ikoniknya dengan bahasa filem yang berubah.
Jailer pada 2023 menjadi contoh bagaimana aura lama Rajinikanth boleh diberikan persembahan baharu tanpa membuang identiti yang membuatkan peminat jatuh cinta kepadanya sejak awal.
Dan kini, formula itu diteruskan dengan Jailer 2.
Jailer 2 Jadi Filem Ke-172 Rajinikanth
Diarahkan sekali lagi oleh Nelson Dilipkumar dan diterbitkan Kalanithi Maran menerusi Sun Pictures, Jailer 2 hadir sebagai kesinambungan kepada kejayaan filem pertama.
Menurut bahan rasmi pengedarnya di Malaysia, filem ini menggabungkan aksi, komedi, babak penuh kejutan serta beberapa kemunculan khas, dengan Anirudh Ravichander kembali mengendalikan muzik dan skor latar.

Di Malaysia, filem tersebut diedarkan secara rasmi oleh Malik Streams Corporation, menjadikannya filem Rajinikanth kelima yang diedarkan syarikat berkenaan di negara ini.
Jailer 2 turut diberikan tayangan dalam format IMAX, 4DX dan Dolby Atmos di pawagam terpilih, selain kempen berskala besar termasuk sebuah tren yang dihiasi visual filem itu serta acara gala pada 15 Oktober.

BACA: 5 Sebab Peminat F1 Sangat Suka Terhadap Litar Antarabangsa Sepang
Lebih 50 tahun selepas pertama kali berdiri di hadapan kamera, Rajinikanth masih mampu membuat sebuah filem terasa seperti acara besar.
Mungkin itulah definisi sebenar seorang Superstar.

Bukan sekadar berapa banyak filem yang dihasilkan atau berapa lama seseorang bertahan, tetapi kemampuan membuat generasi baharu masih mahu bangun, bersorak dan menunggu kemunculannya di layar lebar.
Dan selepas 172 filem, Rajinikanth masih belum kehilangan keajaiban itu.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
