
Petrol RON95 merupakan bahan api bersubsidi yang kerajaan sediakan khas untuk rakyat Malaysia.
Disebabkan statusnya sebagai minyak subsidi, kenderaan berdaftar luar negara dilarang sama sekali menggunakannya.
Malah, arahan ini sudah pun diberi kepada semua pengusaha stesen minyak agar lebih tegas, kerana jika dilanggar, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Walaupun larangan itu jelas, isu kenderaan asing yang berdegil masih kerap berulang.
Masih ada pemandu yang seolah-olah mengambil mudah perkara ini, mengisi minyak subsidi walaupun tahu ia hanya untuk rakyat Malaysia.
@_izzulislam Aku cukup pantang jenis macam ni. kau masuk negara orang, ikut lah peraturan. simple je.. #singaporean ♬ QKThr – Aphex Twin
Baru-baru ini, tular di TikTok rakaman dashcam dikongsi oleh pengguna bernama Izzul Islam.
Dalam video berkenaan, kelihatan sebuah kereta Hyundai berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran Singapura sedang mengisi minyak menggunakan nozel kuning menandakan ia RON95 di sebuah stesen minyak di Taman Tasek, Johor Bahru.
Perbuatan itu disedari oleh pemilik dashcam yang berada berhampiran.
Pada mulanya, dia hanya membunyikan hon sebagai tanda amaran, namun pemandu tersebut tetap meneruskan tindakannya.
Tidak mahu berdiam diri, pemilik dashcam itu akhirnya nekad keluar dari kenderaannya untuk menegur secara berdepan.
Selepas ditegur, lelaki Singapura berkenaan akhirnya akur. Dia dilihat meletakkan semula nozel RON95 ke tempat asal, menutup tangki minyak, sebelum meninggalkan kawasan stesen berkenaan.
Video berdurasi pendek itu segera meraih perhatian warganet.
Rata-rata netizen memuji tindakan pemilik dashcam yang dianggap berani menegur secara terus tanpa takut risiko berdepan konfrontasi.
Ramai menganggap keberaniannya patut dijadikan contoh kerana tidak semua orang sanggup menegur perkara sebegini di khalayak.
Pada masa sama, tindakan pemandu dari Singapura itu dikecam hebat kerana cuba mengambil kesempatan menggunakan minyak subsidi yang jelas dikhaskan untuk rakyat Malaysia.
Ada yang menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak jujur dan mementingkan diri sendiri.
Kejadian ini sekali lagi membuktikan betapa pentingnya masyarakat berani bersuara untuk mempertahankan hak bersama.
Walaupun nampak kecil, isu kenderaan asing mengisi minyak subsidi memberi kesan besar kerana ia melibatkan peruntukan khas kerajaan untuk rakyat.
Tindakan berani seperti yang dilakukan pemilik dashcam ini sedikit sebanyak membuka mata ramai tentang kepentingan menjaga hak rakyat Malaysia dan mengingatkan bahawa setiap orang berperanan untuk menegur salah laku walaupun dalam perkara yang nampak “remeh”.
Sumber : BuzzKini & Tiktok Izzul Islam
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.