Sukan

REDLINE Fitness Games 2025 Berlangsung Meriah, Tarik 10 Ribu Peserta & Penonton

Share

Kalau selama ini acara kecergasan dianggap eksklusif untuk atlet dan mereka yang sudah cergas, REDLINE Fitness Games by NISSAN membuktikan sebaliknya.

Pertandingan kecergasan ini kembali untuk edisi ketiga pada 26 dan 27 Julai lalu di MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC). Acara ini sekali lagi mencipta impak besar dengan lebih 10,000 peserta dan pengunjung dari dalam dan luar negara membanjiri dewan sepanjang hujung minggu.

REDLINE bukan sekadar pertandingan. Ia adalah gerakan kecergasan serantau yang menggabungkan cabaran fizikal dengan semangat komuniti.

Tahun ini, peserta menyertai 12 cabaran ekstrem seluruh badan. Bermula dengan larian 500 meter hingga angkat beban seperti sled push dan cabaran sandbag. Kesemua disiplin ini direka untuk uji kekuatan, stamina, kelincahan dan ketahanan mental.

Edisi kali ini menyaksikan beberapa kategori dipertandingkan. Para peserta boleh menyertai secara individu, berpasangan atau berkumpulan, dengan pilihan tiga tahap kesukaran yang berbeza.

Ini menjadikan REDLINE platform inklusif yang meraikan semua, tidak kira tahap kecergasan atau pengalaman.

Menurut Pengurus Besar Fresh Events Asia, Jeff Ross, “Sejak mula lagi, REDLINE Fitness Games bukan sekadar sebuah acara kecergasan. Ia adalah ruang yang dicipta bagi semua, sama ada atlet berpengalaman atau peserta kali pertama untuk menjadi sebahagian daripada satu gerakan yang lebih besar.”

Penaja utama NISSAN pula memainkan peranan penting dalam menjayakan REDLINE. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Khoo Cheng Pah, “Kerjasama ini lahir dari nilai bersama seperti kekuatan dan keberanian, yang turut menjadi asas kepada pembangunan jenama dan kenderaan NISSAN”.

REDLINE turut mendapat sokongan padu daripada MyCEB, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Mei Phing menegaskan, acara ini melambangkan pengalaman gaya hidup komuniti yang dinamik, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hub acara berkelas dunia.

Lebih menarik, REDLINE kini berkembang ke peringkat serantau. Bangkok bakal menjadi tuan rumah edisi seterusnya pada Disember 2025, diikuti oleh Vietnam pada awal 2026. Dari satu acara tempatan, REDLINE kini menjadi simbol gerakan gaya hidup aktif yang merentasi sempadan Asia Tenggara.

BACA: Adakah Perempuan Memang Tertarik Dengan Lelaki Yang Tahu Menyediakan Segalanya?

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim