Sukan

Reset Kecergasan Selepas Raya, Cara Mudah & Berkesan Kembali On Track Tanpa Rasa Bersalah

Share

Musim Hari Raya sememangnya sinonim dengan makanan yang luar biasa. Daripada rendang, ketupat, lemang hingga ke pelbagai jenis kuih raya, semuanya sukar untuk ditolak. Tambahan pula dengan jemputan rumah terbuka yang hampir setiap hari, tidak hairanlah ramai mula rasa “food coma” atau sedikit risau apabila melihat angka pada penimbang.

MASKULIN tertarik dengan satu perkongsian dari Dr Shazif Bin Osman, seorang doktor perubatan, pakar kecergasan dan juga Naib Juara Maskulin Wjo’s Your Bro.

Dr Shazif

Menurut Dr Shazif, seorang doktor perubatan dan jurulatih kecergasan, situasi ini sebenarnya normal dan tidak perlu dipandang sebagai sesuatu yang negatif.

“Dah seminggu dua kita beraya, saya pasti ramai yang tengah ‘food coma’ atau rasa sedikit bersalah tengok penimbang. Tapi relax, jangan panik. Ia normal untuk naik sedikit berat badan sepanjang musim perayaan,” jelasnya.

Apa yang lebih penting adalah bagaimana anda melakukan reset kecergasan selepas raya tanpa menjejaskan kegembiraan Hari Raya itu sendiri.

Elak Mentaliti ‘Dah Terlanjur’ Dalam Reset Kecergasan Selepas Raya

Antara kesilapan paling biasa adalah apabila seseorang merasakan diet mereka sudah “rosak” sepenuhnya selepas beberapa hari makan tanpa kawalan.

Menurut Dr Shazif, “Kalau tayar kereta anda pancit satu, anda tak akan potong tiga tayar lain juga, kan?”

Analogi ini cukup jelas. Satu atau dua hari makan berlebihan bukan alasan untuk terus mengabaikan penjagaan diri.

Sebaliknya, langkah terbaik adalah kembali ke rutin pada hidangan seterusnya tanpa perlu menunggu hari tertentu.

Kembali Kepada Asas Pemakanan

Selepas tempoh pengambilan makanan tinggi karbohidrat dan lemak, tubuh memerlukan keseimbangan semula. Ini adalah asas penting dalam reset kecergasan selepas raya.

Fokus utama harus diberikan kepada protein dan serat. Ini termasuk sumber seperti ayam, daging, telur serta sayur sayuran hijau.

Pendekatan paling mudah adalah dengan mengamalkan semula konsep suku suku separuh, yang membantu mengawal pengambilan kalori tanpa perlu mengira setiap gram makanan.

Ia bukan sahaja praktikal, malah berkesan untuk mengawal rasa lapar dan menstabilkan tenaga harian.

Kepentingan Hidrasi Dalam Proses Reset

Satu lagi faktor yang sering diabaikan adalah pengambilan air, walhal ia memainkan peranan penting dalam reset kecergasan selepas raya.

Jelas Dr. Shazif, sepanjang musim perayaan, ramai yang terbiasa dengan minuman manis seperti air balang, sirap dan pelbagai jenis minuman berperisa. Ini boleh meningkatkan keinginan terhadap gula secara berterusan.

Water photo created by freepik – www.freepik.com

Beliau menyarankan pengambilan antara dua hingga tiga liter air kosong setiap hari. Kadangkala, rasa lapar sebenarnya adalah isyarat badan yang keliru antara lapar dan dahaga. Pengambilan air mencukupi mampu membantu mengurangkan keinginan untuk snek manis.

Mulakan Pergerakan Secara Berperingkat

Kembali bersenam tidak bermaksud anda perlu terus melakukan latihan intensiti tinggi. Dalam reset kecergasan selepas raya, pendekatan perlahan lebih berkesan.

Sebaliknya, mulakan dengan langkah kecil seperti berjalan pantas selama 20 minit. Selain itu, tingkatkan aktiviti harian seperti berjalan kaki lebih kerap atau menggunakan tangga berbanding lif.

Pendekatan ini dikenali sebagai NEAT atau Non Exercise Activity Thermogenesis, yang memainkan peranan besar dalam pembakaran kalori harian.

Konsistensi dalam pergerakan lebih penting daripada satu sesi latihan ekstrem yang akhirnya menyebabkan keletihan atau kecederaan.

Strategi Bijak Hadiri Open House

Walaupun Syawal masih berlangsung, anda masih boleh menikmati makanan tanpa menjejaskan progres reset kecergasan selepas raya.

Salah satu teknik mudah adalah ‘One Plate Rule’, di mana anda hanya mengambil satu pinggan makanan berdasarkan pilihan yang benar benar diingini.

Elakkan tabiat ‘grazing’ atau makan sedikit sedikit secara berulang kali, kerana ia sering menyebabkan pengambilan kalori tanpa sedar.

Selain itu, berhati hati dengan minuman kerana kalori dalam minuman manis sering kali lebih tinggi daripada yang disangka.

Keseimbangan Adalah Kunci

Menurut Dr Shazif, perjalanan kecergasan adalah satu proses jangka panjang dan berkait rapat dengan konsistensi dalam reset kecergasan selepas raya.

“Penurunan berat badan adalah maraton, bukan pecutan. Menikmati Syawal bersama keluarga adalah sebahagian daripada kehidupan, dan satu atau dua minggu makan lebih tidak akan merosakkan usaha bertahun tahun, asalkan anda kembali ke landasan,” tambahnya lagi.

BACA: Kenali ‘Middle-earth Halfling Marathon’, Pengalaman Epik & Magis Larian Fantasi Paling Unik

Hakikatnya, kecergasan bukan tentang kesempurnaan, tetapi konsistensi. Musim perayaan adalah masa untuk menikmati kehidupan, dan sedikit kenaikan berat bukanlah kegagalan.

Apa yang membezakan adalah bagaimana anda bangkit semula selepas itu. Dan mungkin, langkah paling penting bukanlah untuk menjadi sempurna. Tetapi untuk terus bergerak ke hadapan dengan strategi yang lebih bijak dan mampan.

Kredit: Dr. Shazif

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim