
Foto : BuzzKini
Bekerja di Malaysia bukan sekadar cari makan untuk seorang lelaki dari India ini, tapi menjadi kenangan manis yang terpahat dalam hati.
Sepanjang tempoh berada di sini, dia bukan hanya jatuh cinta dengan masyarakatnya yang pelbagai kaum, tapi juga dengan budaya dan pelbagai jenis makanan tempatan yang unik dan kaya rasa.
Lelaki yang dikenali sebagai Kani Boy ini dipercayai pernah menetap dan bekerja di Malaysia sebelum pulang ke kampung halamannya di Ramanathapuram, Tamil Nadu.
Rasa cinta terhadap makanan Malaysia dibawa balik ke tanah air, dan akhirnya tertubuhlah sebuah kedai makan yang dinamakan Tomyam Malaysia.
@abg.is78
Baru-baru ini, nama restoran Tomyam Malaysia mula tular di media sosial, khususnya di TikTok dan Facebook, apabila sebuah video dari akaun @abg.is78 memaparkan suasana restoran milik Kani Boy itu.
Dalam video tersebut, kelihatan deretan menu yang ditawarkan semuanya berinspirasi dari Malaysia dan Asia Tenggara seperti tomyam, nasi lemak, rojak, roti canai, mee sotong dan sate.
Restoran Tomyam Malaysia secara rasmi mula beroperasi sejak 2 Julai 2025, dan kini menjadi buah mulut masyarakat setempat.
Antara menu popular termasuk tomyam panas, mi goreng, apam balik, ayam penyet, dan nasi lemak ayam goreng berempah yang buat rakyat Malaysia sendiri pun rasa bangga.
Salah satu keistimewaan restoran ini adalah kebolehan Kani sendiri menebar roti canai seakan chef mamak Malaysia yang otai.
Aksi lincahnya menebar roti di dapur terbuka menarik perhatian ramai, termasuk pelanggan yang belum pernah melihat proses ini secara langsung.
Orang kampung di sekitarnya sanggup beratur panjang demi merasai sendiri pengalaman makan makanan ‘eksotik’ dari Malaysia.
Ada juga yang memuat naik review mereka selepas mencuba, menyatakan rasa teruja kerana dapat menikmati masakan yang biasa mereka lihat di YouTube sahaja.
Namun, satu perkara yang turut menarik perhatian adalah pemilihan nama kedai Tomyam Malaysia.
BACA LAGI : Petarung MMA Dakwa Tindakannya Hanya Untuk Mempertahankan Diri
Ada yang mempersoalkan kenapa guna nama itu sedangkan tomyam secara tradisional berasal dari Thailand.
Jawapan Kani cukup tulus dan menyentuh hati, “Ilmu ni saya dapat dari Malaysia, bukan Thailand.”
Baginya, Malaysia adalah tempat dia mula mengenal rasa tomyam, belajar resepinya dan menyempurnakan teknik masakan itu sendiri.
Maka, bagi Kani, tomyam yang dia bawa ke India adalah tomyam versi Malaysia, bukan Thai asli dan itu satu penghormatan buat negara ini.
Sumber : BuzzKini
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.