
Selepas bertahun-tahun dunia berteka-teki siapa yang bakal menggantikan Daniel Craig, identiti ejen 007 seterusnya akhirnya diketahui. Robert Pattinson secara rasmi diumumkan sebagai James Bond baharu, sekali gus membuka era baharu buat salah satu karakter lelaki paling ikonik dalam sejarah perfileman.
Amazon MGM Studios mengesahkan pemilihan pelakon berusia 40 tahun itu pada 16 November 2026. Filem Bond seterusnya bakal diarahkan Denis Villeneuve, manakala pencipta Peaky Blinders, Steven Knight, bertanggungjawab menulis skrip. Amy Pascal dan David Heyman pula bertindak sebagai penerbit.
Lihat siaran ini di Instagram
“James Bond ialah antara watak paling legenda dalam sejarah filem, dan diberi kepercayaan membawa 007 adalah penghormatan seumur hidup,” kata Pattinson mengenai pemilihannya.
Villeneuve pula menyifatkan Pattinson sebagai pelakon yang memiliki “jiwa 007 yang timeless” tetapi pada masa sama mampu membawa sesuatu yang baharu kepada karakter itu.
Namun mengapa peranan James Bond begitu besar sehingga pemilihan seorang pelakon sahaja mampu mencetuskan perdebatan bertahun-tahun?
Jawapannya bermula jauh sebelum wujudnya Aston Martin, tuxedo dan ayat “shaken, not stirred”.
James Bond Bermula Sebagai Watak Novel
James Bond dicipta oleh penulis Britain, Ian Fleming, yang pernah berkhidmat dalam perisikan tentera laut ketika Perang Dunia Kedua.
Bond pertama kali diperkenalkan melalui novel Casino Royale yang diterbitkan pada 1953. Fleming kemudian menulis keseluruhan 14 judul Bond sebelum meninggal dunia pada 1964. Novel-novelnya akhirnya terjual lebih 100 juta naskhah.

Dalam dunia asal Fleming, Bond bukan sekadar lelaki kacak yang memakai sut mahal. Dia ialah Commander James Bond, bekas anggota Royal Navy sebelum menjadi ejen British Secret Service dengan nombor kod 007 dan lesen untuk membunuh.
Latar belakang wataknya juga agak tragik. Bond merupakan anak kepada Andrew Bond dari Scotland dan Monique Delacroix dari Switzerland. Kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan mendaki ketika Bond masih kecil sebelum dia dibesarkan oleh ibu saudaranya.
Dia kemudian bersekolah di Eton sebelum berpindah ke Fettes dan menyertai Royal Naval Volunteer Reserve ketika perang. Selepas menjalankan dua misi pembunuhan, Bond memperoleh status “00”.
Sebab itu Bond sejak awal bukan sekadar simbol kemewahan lelaki. Di sebalik kereta, jam, minuman dan wanita terdapat seorang lelaki yang dibentuk oleh kehilangan, peperangan, disiplin dan pekerjaan yang memerlukannya membunuh apabila perlu.
Daripada Novel Ke Fenomena Filem
James Bond tiba di pawagam menerusi Dr. No pada 1962 dengan Sean Connery sebagai 007.
Filem itu bukan sahaja memperkenalkan Connery tetapi menetapkan banyak formula yang masih dikaitkan dengan Bond sehingga hari ini, daripada lokasi antarabangsa, aksi, wanita Bond, penjahat eksentrik sehinggalah muzik tema yang kini cukup dikenali.
Sepanjang era filem rasmi Bond sebelum Pattinson, enam pelakon pernah membawa watak tersebut.
Sean Connery menjadi Bond pertama dalam Dr. No dan membawa gabungan maskulin, bahaya serta humor yang menjadi asas interpretasi 007 di layar perak.
George Lazenby mengambil alih menerusi On Her Majesty’s Secret Service pada 1969, satu-satunya filem Bond lakonannya.
Kemudian muncul Roger Moore, yang membawa versi Bond lebih santai, elegan dan penuh humor menerusi tujuh filem dari 1973 hingga 1985.
Timothy Dalton pula memberikan pendekatan lebih serius dan dekat dengan karakter Fleming menerusi The Living Daylights pada 1987 dan Licence to Kill pada 1989.
Selepas itu, Pierce Brosnan membawa Bond memasuki era 1990-an dan awal milenium menerusi empat filem bermula dengan GoldenEye pada 1995.
Akhir sekali sebelum Pattinson ialah Daniel Craig, yang memulakan perjalanan menerusi Casino Royale pada 2006 dan menamatkannya dalam No Time to Die pada 2021 selepas lima filem.

Dalam sejarah lebih luas, Barry Nelson pernah memainkan versi James Bond dalam adaptasi televisyen Casino Royale pada 1954 manakala David Niven membawakan Bond dalam filem satira Casino Royale pada 1967. Namun kedua-duanya berada di luar siri filem rasmi yang bermula dengan Dr. No.
Kini giliran Pattinson menjadi pelakon seterusnya yang memikul tanggungjawab besar membawa karakter tersebut.
Apa Sebenarnya Yang Dicari Daripada Seorang James Bond?
Jika melihat Connery, Moore, Dalton, Brosnan dan Craig, wajah mereka jelas berbeza. Jadi tidak wujud satu formula fizikal mutlak untuk menjadi Bond.
Tetapi ada beberapa karakter yang sering muncul. Pertama ialah screen presence. Bond perlu mampu memasuki sebuah bilik tanpa melakukan banyak perkara tetapi tetap kelihatan seperti individu paling berbahaya di situ.
Laman rasmi 007 sendiri pernah menggambarkan Bond sebagai karakter yang memerlukan lebih daripada wajah tampan. Pelakonnya perlu mempunyai timing, ketenangan ketika berdepan tekanan dan sesuatu yang unik untuk diberikan kepada watak tersebut.
Kedua ialah gabungan charm dan ancaman.
Bond boleh memakai tuxedo dalam sebuah majlis elit, berbual dengan tenang dan beberapa minit kemudian terlibat dalam pertempuran.
Dia perlu kelihatan believable dalam kedua-dua dunia. Ketiga ialah fizikal.
Tidak semestinya tubuh sebesar ahli bina badan tetapi seorang Bond perlu kelihatan seperti lelaki yang mampu berlari, bertarung, memandu dan bertahan dalam situasi ekstrem.
Keempat ialah mampu tampil semulajadi kacak dengan memakai pakaian dengan natural.
Pereka kostum Bond, Lindy Hemming, pernah menggambarkannya sebagai “elegant chameleon”, seorang lelaki yang boleh masuk ke mana-mana ruang di dunia dengan pakaian sesuai tanpa kelihatan terlalu mencuba.
Dan terakhir ialah kemampuan membawa sisi gelap karakter. Daniel Craig mungkin contoh paling jelas apabila Bond era beliau bukan lagi sekadar lelaki cool yang tidak terganggu dengan apa-apa. Trauma, kehilangan dan kesan pekerjaannya menjadi sebahagian penting karakter.
Jadi, Kenapa Robert Pattinson?
Pada pandangan pertama, Pattinson mungkin masih diingati sesetengah orang sebagai Edward Cullen daripada Twilight.
Tetapi kerjayanya selepas francais tersebut sebenarnya menjadikannya salah seorang pelakon paling sukar diramal dalam generasinya.
Daripada Cosmopolis, Good Time dan The Lighthouse sehinggalah Tenet dan The Batman, Pattinson banyak memilih karakter pelik, gelap dan tidak semestinya simpatik.
BFI pernah menggambarkan perjalanan selepas Twilight sebagai keputusan seorang pelakon yang sengaja mengambil risiko dan mencari pengarah dengan visi tersendiri.

Kemudian datang The Batman pada 2022. Sebagai Bruce Wayne, Pattinson membuktikan dia boleh mengambil karakter pop culture yang sudah mempunyai fanbase besar dan menghasilkan versi sendiri tanpa sekadar meniru pelakon terdahulu.
Dan sekarang dia perlu melakukan perkara yang sama terhadap Bond. Menariknya, Pattinson juga sudah mempunyai hubungan kerja dengan Villeneuve melalui Dune: Part Three, di mana dia memainkan Scytale.
BACA: Ronaldinho ‘Comeback’ Selepas 11 Tahun, Turun Bersama Ravenna Pada Usia 46 Tahun
Penerbit Amy Pascal dan David Heyman pula menyebut tiga perkara apabila menerangkan pemilihan Pattinson iaitu keberaniannya sebagai pelakon, sifat self-deprecating dan kemampuannya untuk sentiasa mencipta semula dirinya.
Mungkin itulah kualiti paling penting. Selepas enam dekad di layar perak, Bond tidak boleh hanya kelihatan seperti Bond lama.
Mugkin tiba masanya untuk watak ini terasa seperti Bond untuk zaman baharu.
10 Perkara Menarik Tentang Robert Pattinson
1. Dia sebenarnya mahu menjadi pemuzik
Sebelum lakonan benar-benar menjadi karier, Pattinson mahu menceburi muzik. Dia bermain gitar dan piano serta pernah membuat persembahan di bar.
2. Bermula melalui teater tempatan
Minat lakonannya berkembang selepas menyertai Barnes Theatre Club di London. Persembahan teater kemudiannya membantu Pattinson mendapatkan ejen.
3. Pernah menjadi model tetapi mengaku dirinya tidak begitu bagus
Sebelum terkenal sebagai pelakon, Pattinson pernah melakukan kerja model ketika muda. Bertahun kemudian dia sendiri bergurau bahawa dirinya seorang model yang teruk.
4. Cedric Diggory menjadi antara watak awal yang membuatnya dikenali
Sebelum Twilight, penonton mengenalinya sebagai Cedric Diggory menerusi Harry Potter and the Goblet of Fire pada 2005.
5. Dia hampir meninggalkan dunia lakonan sebelum Twilight
Pattinson pernah berasa kerjaya lakonannya tidak ke mana dan kembali memberi perhatian kepada muzik. Kemudian datang uji bakat Twilight, yang akhirnya mengubah seluruh hidupnya.
6. Twilight memberinya kebebasan memilih projek pelik
Selepas menjadi bintang global sebagai Edward Cullen, Pattinson menggunakan status tersebut untuk memilih filem yang jauh lebih eksperimental, termasuk bekerja bersama David Cronenberg, Safdie Brothers dan Robert Eggers.
7. Good Time menjadi titik penting perubahan persepsi terhadap dirinya
Persembahannya sebagai Connie Nikas dalam Good Time pada 2017 memperlihatkan Pattinson dalam karakter kasar dan terdesak, jauh daripada imej romantik Twilight.
8. Dia sudah membawa satu lagi ikon lelaki sebelum Bond
Pattinson menjadi Bruce Wayne dalam The Batman pada 2022 dan dijadual kembali untuk sekuelnya. Ini menjadikannya antara pelakon jarang yang memegang dua karakter lelaki terbesar budaya pop, Batman dan James Bond.
9. Tahun 2026 merupakan antara tahun paling sibuk dalam kariernya
Dalam satu tahun sahaja, Pattinson terlibat dengan The Drama, The Odyssey, Primetime serta Dune: Part Three, sebelum namanya diumumkan sebagai 007 baharu.
10. Pattinson ialah Bond yang sudah pun menjadi megastar sebelum menerima peranan itu
Secara tradisi, peranan Bond sering membantu melonjakkan seseorang pelakon ke tahap superstar. Pattinson berbeza kerana dia sudah menjadi wajah global menerusi Twilight dan Batman sebelum menyentuh tuxedo 007.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
