
Bagi lelaki, ada satu fasa dalam hidup apabila persoalan tentang kerjaya, pencapaian dan hala tuju perlahan-lahan mula berkongsi ruang dengan satu lagi soalan besar, siapa yang mahu dibawa bersama untuk melalui kehidupan seterusnya?
Bagi Datuk Hans Isaac, jawapan kepada persoalan itu kini semakin jelas.
Pelakon dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu mengumumkan pertunangannya dengan bekas Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James, menerusi satu perkongsian di Instagram.
Hans, 55, berkongsi berita gembira tersebut dengan gaya ringkas tetapi cukup personal, lengkap dengan gambar cincin pertunangan yang kini tersarung di jari Francisca.

Apa yang lebih menarik, lamaran tersebut dibuat di Paris, Perancis, dengan latar berhampiran Menara Eiffel.
Bukan lokasi semata-mata yang mencuri perhatian, tetapi cara Hans sendiri menggambarkan keputusan itu sebagai antara langkah terbaik dalam hidupnya.
“Dia berkata…….Yes! Selamanya bersama insan kegemaran saya. Untuk selamanya bersama awak, bakal isteri saya yang berketurunan Kayan/Iban.
“Keputusan terbaik yang pernah saya buat dan dia berkata ya. Sekarang dia sudah terikat dengan saya.
“No more… Hans bila nak kahwin?” tulisnya.
Selepas Bertahun-Tahun Ditanya Soal Jodoh
Sebagai figura yang sudah lama berada dalam industri hiburan tempatan, Hans bukan asing dengan soalan mengenai perkahwinan.
Soalan seperti “bila nak kahwin?” mungkin kedengaran ringan, tetapi apabila diajukan berulang kali selama bertahun-tahun, ia akhirnya menjadi sebahagian daripada naratif seorang lelaki bujang yang semakin meningkat usia.
Hans bagaimanapun tidak pernah kelihatan terburu-buru untuk memberikan jawapan hanya kerana tekanan luar.
Dan mungkin itulah yang membuatkan pengumuman terbaharunya terasa lebih bermakna.
Lihat siaran ini di Instagram
Pada usia 55 tahun, beliau memilih untuk melangkah ke fasa baharu bukan kerana perlu mengejar garis masa tertentu, tetapi kerana sudah menemui individu yang mahu dijadikan pasangan hidup.
Dalam banyak hal, keputusan seperti ini lebih penting daripada sekadar angka usia.
Komitmen bukan tentang siapa paling cepat sampai ke pelamin, tetapi siapa yang benar-benar bersedia memikul tanggungjawab apabila membuat keputusan tersebut.
Siapa Francisca Luhong James?
Francisca Luhong James merupakan anak kelahiran Kuching, Sarawak dan pernah dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2020.
Beliau kemudian mewakili Malaysia di pertandingan Miss Universe 2020 yang berlangsung pada tahun berikutnya selepas jadual asal terjejas akibat pandemik.
Francisca mempunyai latar keturunan Kayan, Kenyah dan Iban serta pernah membina kerjaya dalam bidang peragaan, selain mempunyai pengalaman dalam bidang Public Relations dan Marketing.
Sewaktu memenangi Miss Universe Malaysia, Francisca turut membawa mesej mengenai keyakinan diri serta pemerkasaan wanita.

“Saya percaya pemerkasaan wanita bermula dengan diri sendiri. Apa yang saya pelajari ialah percaya kepada diri sendiri merupakan perkara paling penting untuk mencapai matlamat,” katanya ketika itu.
Di sebalik imej glamor seorang ratu cantik, Francisca juga mempunyai perjalanan kerjaya dan identiti sendiri yang dibentuk jauh sebelum hubungannya dengan Hans menjadi perhatian umum.
Tahniah Dari Rakan Industri Dan Peminat
Pengumuman pertunangan tersebut turut mendapat perhatian ramai rakan industri serta peminat yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah.
Buat masa ini, Hans belum mendedahkan secara terperinci mengenai tarikh atau perancangan majlis perkahwinannya bersama Francisca.

Namun satu perkara sudah pasti. Soalan yang sering mengejarnya selama ini akhirnya sudah mempunyai jawapan.
“No more… Hans bila nak kahwin?”
BACA: Batpod Batman Dari The Dark Knight Dilelong, Harga Dijangka Cecah RM4.91 Juta
Bagi Hans, perjalanan ke arah itu kini sudah bermula. Dan mungkin ada satu perkara yang boleh diambil daripada kisah ini.
Tidak perlu berlumba mengikut timeline orang lain. Dalam soal hubungan dan perkahwinan, lebih penting untuk memilih dengan betul daripada memilih terlalu cepat.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
