
Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini boleh diraikan dengan cara yang lebih aktif. Samsung Malaysia dan HOKA bergabung menerusi cabaran “Move Together with Malaysia”, mengajak rakyat Malaysia mengumpul 150,000 langkah sambil berpeluang membawa pulang ganjaran eksklusif.
Cabaran yang berlangsung dari 26 Ogos hingga 16 September 2026 itu membawa mesej cukup mudah. Tidak kira sama ada berjalan ke tempat kerja, berlari pada waktu petang, keluar membeli kopi atau memilih tangga berbanding lif, setiap langkah tetap dikira.
Menariknya, sasaran 150,000 langkah itu mungkin kedengaran tinggi pada mulanya, namun apabila dibahagikan sepanjang tempoh cabaran, peserta hanya perlu mencatat sekitar 6,800 langkah sehari.
Bagi mereka yang selama ini mahu bergerak lebih aktif tetapi sukar untuk kekal konsisten, sasaran harian sebegini boleh menjadi satu dorongan mudah untuk mula membina rutin.
Untuk menyertai cabaran, pengguna hanya perlu membuka aplikasi Samsung Health dan log masuk menggunakan akaun Samsung.
Selepas itu, cari kempen “Move Together with Malaysia” menerusi bahagian Promotion atau kad cabaran pada halaman utama Samsung Health sebelum memilih “Join Now”.
Jumlah langkah yang dikumpulkan dari 26 Ogos hingga 16 September akan direkodkan secara automatik menerusi bahagian “Together” dalam aplikasi.
Paling penting, peserta tidak perlu memiliki Galaxy Watch untuk menyertai cabaran ini. Telefon pintar yang dibawa bersama sudah mencukupi untuk Samsung Health merekodkan jumlah langkah sepanjang aktiviti harian.
Secara tidak langsung, konsep tersebut menjadikan cabaran ini lebih mudah disertai kerana peserta tidak perlu menjadi pelari atau memiliki peranti kecergasan khusus terlebih dahulu.
Selepas mencapai 150,000 langkah dan memperoleh status Finisher, peserta perlu menjawab satu soalan mudah untuk berpeluang menerima ganjaran yang disediakan.
Antara ganjarannya ialah baucar Samsung bernilai RM200 yang boleh digunakan untuk pembelian peranti boleh pakai Galaxy terpilih, termasuk Galaxy Watch Ultra2 dan Galaxy Watch9.
Bagaimanapun, baucar berkenaan terhad kepada 150 unit sahaja dan diberikan berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat selagi stok masih tersedia.
Selain itu, 50 pemenang kreatif berpeluang menerima topi HOKA bernilai RM199 setiap satu.
Menariknya tentang cabaran sebegini ialah ia tidak meletakkan tekanan kepada peserta untuk terus berlari 10km atau melakukan latihan berat.
Bagi individu yang kurang aktif, perubahan boleh bermula dengan perkara kecil. Berjalan ketika waktu makan tengah hari, meletakkan kereta sedikit jauh daripada destinasi atau menambah sesi berjalan pada waktu petang sudah boleh membantu meningkatkan jumlah pergerakan harian.
Malah, sasaran 150,000 langkah sepanjang kira-kira tiga minggu menjadikan cabaran ini lebih kepada soal konsistensi, bukan siapa paling pantas.
BACA: “Respect The Sport And Respect Your Body”, Dr Say Ingatkan Jangan Ambil Mudah Cabaran HYROX
Gabungan Samsung dan HOKA juga memperlihatkan bagaimana teknologi dan budaya kecergasan semakin dekat dengan kehidupan seharian. Telefon yang sentiasa dibawa bersama kini bukan sekadar alat komunikasi, tetapi boleh menjadi cara mudah untuk memantau berapa banyak kita sebenarnya bergerak setiap hari.
Sempena Merdeka dan Hari Malaysia, mungkin ini masa yang sesuai untuk melihat semula satu tabiat yang sangat asas iaitu berjalan.
Tak perlu terlalu ekstrem. Mulakan dengan beberapa ribu langkah, lakukan setiap hari dan biarkan rutin itu berkembang.
Kadangkala, perjalanan untuk menjadi lebih sihat memang bermula dengan satu langkah sahaja.
