
Head of Men & Hobbies: Fiezreen Ahmad
Ass. Manager Men & Hobbies dan Penata Gaya: Farizul Izwany
Penulis: Darwisy Farain
Penerbit video Maskulin: Faez Akhmal
Arahan Seni & Peletakan Grafik: Azniza Aziz
Grooming: Ayang Kamell
Fotografer: Jazlan Nangar
Pembantu fotografer: Nurul Niza Suhami
Eksekutif Pengiklanan: Siti Suria
Suntingan Foto: Hezry Rokman
Persalinan dan aksesori: Superdry, Cole Haan & koleksi Zalora
Persis wajahnnya kini semakin mencuri perhatian ramai terutamanya peminat industri hiburan tanah air. Wajahnya sentiasa murah dengan senyuman dan tidak dinafikan merupakan seorang yang cukup senang untuk disapa, apatah lagi bila bekerjasama.
MASKULIN ‘Man of the Moment’ pada edisi kali ini menampilkan jejaka yang kini namanya semakin mekar di bibir peminat drama dan filem, Daniel Fong.
Selain murah senyuman Daniel Fong juga merupakan seorang artis yang cukup berdedikasi. Apa tidaknya, temu janji untuk sesi penggambaran dan temu bual kali ini dilakukan pada jam 8 pagi. Dan itulah masa yang ditepatinya.
Satu petanda positif buat pelakon yang bagi MASKULIN akan menjadi penyeri skrin televisyen dan filem secara konsisten di masa akan datang.
Jika dahulu, Daniel hanya dikenali menerusi iklan komersial secara sambilan, kini dia mampu menarik nafas dan berbangga apabila mula berdiri sebaris dengan pelakon muda berbakat yang semakin menyerlah.
Perjalanannya ke dunia lakonan bermula secara tidak dirancang, apabila selepas kembali dari Australia, dia menerima tawaran pertama untuk berlakon.
Bermula dari situlah, minatnya terhadap bidang lakonan mula berkembang.
“Pada mulanya saya hanya buat iklan untuk cari duit sampingan. Tapi bila saya diberi peluang cuba lakonan, saya mula jatuh cinta dengan industri ini.
“Saya cuba pasaran hiburan Cina dahulu, kemudian peluang datang ke pasaran Melayu, dan sejak itu saya kekal mencuba,” jelasnya yang kini menjadi salah seorang pelakon utama drama hit, ‘Generasi: Perfect 10’.
Sebagai pelakon lelaki berbangsa Cina yang aktif dalam industri hiburan Melayu, Daniel tidak dapat lari dibandingkan dengan nama-nama yang kini dikenali ramai seperti Alvin Chong dan Sean Lee.
Namun, bagi Daniel, perkara itu tidak pernah menjadikan dia berasa tertekan untuk memberikan yang lebi baik.
“Saya sebenarnya lebih rasa bangga. Kalau nak tahu, Alvin dan Sean merupakan kawan lama saya. Kalau orang nak bandingkan, itu tandanya kita berada pada tahap yang sama.
“Malah, saya teringin juga kalau suatu hari nanti kami bertiga dapat bergabung dalam satu drama, pasti menarik,” jelas Daniel sambil tersenyum.
Selepas baru-baru ini tampil menerusi drama ‘Kerana Seorang Lelaki’, Daniel sekali lagi mencuri tumpuan menerusi drama terbaru terbitan Astro Original, ‘Generasi: Perfect 10’ (GP10).
Ternyata tahun 2025 memberikan satu momentum yang cukup signifikan dalam kariernya.
“Saya memang nak fokus dalam pasaran Melayu. Setiap hari saya nampak peningkatan dari segi bahasa dan lakonan, dan itu buat saya lebih bersemangat. Saya rasa lebih dekat dengan penonton tempatan, dan cabaran ini menjadikan saya lebih berkeyakinan,” jelas Daniel.
Baginya, cabaran utama ketika mula berlakon dalam bahasa Melayu ialah menyampaikan emosi dengan tepat kerana dia tidak begitu faham maksud dialog.
Namun, setelah empat tahun berusaha, dia semakin yakin. “Sekarang saya lebih selesa, malah bila tengok balik lakonan lama, saya nampak banyak improvement,” tambahnya.
Ia bagaikan satu perjuangan dalaman buat Daniel. Bagaikan ‘the rivalry within’ yang membuatkannya sentiasa mencabar diri sendiri menjadi yang terbaik dari semasa ke semasa.
Drama bersiri yang kini menjadi antara paling popular di platform Astro, ‘Generasi: Perfect 10’ membawa tema yang cukup dekat dengan kehidupan remaja hari ini iaitu tekanan, ekspektasi dan pencarian identiti.
Drama ini mengisahkan Ezie (lakonan Arena Wan), seorang gadis bercita-cita menjadi atlet gimnastik profesional, namun terpaksa berdepan cabaran besar apabila kelabnya ditutup.
Kehidupannya berubah selepas menyertai sebuah akademi sukan berprestij, membuka lembaran baharu yang penuh persaingan sengit serta konflik emosi.
Menerusi drama ini, Daniel membawakan watak Jun, seorang pelajar yang periang, aktif bersukan dan penuh sifat jujur.
“Jun seorang yang playful, kadang-kadang nakal, tapi sangat baik hati. Dia langsung tak ada ego. Walaupun mulutnya kadang-kadang cakap tidak mahu, hatinya tetap ikhlas menolong. Itu yang saya suka dengan watak ini,” jelas Daniel tentang peranannya.
Selain cabaran lakonan, Daniel turut terinspirasi dengan dedikasi barisan pelakon wanita dalam GP10 yang menjalani latihan gimnastik dan aksi lasak.
“Saya cukup kagum bila tengok mereka berlatih. Bukan mudah nak buat stunt atau pergerakan gimnastik yang nampak realistik.
“Itu semua memerlukan bertahun-tahun latihan. Aura mereka memang luar biasa di set penggambaran,” katanya.
Bagi Daniel, kejayaan tidak diukur dengan populariti semata-mata, tetapi melalui perkembangan diri sendiri.
BACA LAGI : Bukan Sekadar Drama, ‘Generasi: Perfect 10’ Angkat Semangat Atlet Malaysia
“Bila saya dapat buat lebih baik daripada apa yang saya capai tahun lepas, itu sudah cukup membuat saya gembira.
“Lakonan adalah satu perjalanan pembelajaran tanpa henti. Saya masih belajar, masih menghadiri kelas lakonan bila ada masa, sebab saya mahu jadi lebih baik dari semalam,” jelasnya.
Daripada seorang pelakon iklan komersial sambilan kepada bintang drama Melayu, perjalanan Daniel Fong adalah kisah tentang kesungguhan, keberanian mencuba dan semangat untuk berkembang.
Kini, menerusi ‘Generasi: Perfect 10’, penonton dapat melihat sisi berbeza Daniel yang penuh energi, humor dan keikhlasan.
Drama ‘Generasi Perfect 10’ bersiaran setiap Jumaat, 12 tengah malam hanya menerusi Astro One & sooka.
Ia bukan sekadar drama remaja, tetapi sebuah cerminan realiti tentang tekanan dan kesempurnaan yang sering dikejar generasi muda hari ini dengan Daniel Fong antara wajah utama yang bakal menjadi tarikan penonton.